Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu halal: Hikmah agama landaskan fiqh utuh, ambil kira kehidupan bilang agama, kaum
Isu halal: Hikmah agama landaskan fiqh utuh, ambil kira kehidupan bilang agama, kaum
Isu halal: Hikmah agama landaskan fiqh utuh, ambil kira kehidupan bilang agama, kaum
Baru-baru ini, muncul perbahasan di media sosial mengenai status makanan halal yang disediakan oleh syarikat penerbangan antarabangsa Singapura (SIA).
Perbahasan ini muncul pada 20 April setelah seorang pengguna Thread memberi komen tentang penggunaan ketuhar yang sama untuk makanan halal dan makanan yang mengandungi babi.
Catatan beliau menular sehingga pihak SIA memberi kenyataan kepada media bahawa makanan halal di dalam penerbangannya didapatkan daripada pembekal bersijil halal.
Namun, ini tidak meredakan sebilangan pihak yang merasa tidak yakin selagi makanan di dalam penerbangan tidak mendapatkan sijil halal. Bagi mereka, keraguan tidak akan terhapus selagi tidak ada prosedur ketat dan pemantauan.
Konteks muncul industri sijil halal
Secara umum, pensijilan halal yang memberikan logo halal secara formal adalah perkembangan baru di abad ke-20.
Ia selari dengan perkembangan moden yang menyaksikan migrasi manusia secara besar-besaran di peringkat global.
Ini menimbulkan situasi masyarakat Muslim yang hidup di negara yang majoriti bukan Islam.
Keprihatinan tentang makanan halal kemudiannya mendorong pembentukan institusi Muslim yang dapat menentukan apa yang halal atau tidak melalui sijil atau logo halal.
Di Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mula meletakkan standard dan mengeluarkan pensijilan halal pada 1978.
Proses ini terus berkembang dan diikuti oleh negara majoriti Muslim seperti Malaysia dan Indonesia pada tahun 1990-an.
Kini, industri pensijilan dan makanan halal bernilai lebih kurang AS$3 trilion ($3.8 bilion) dan sektor industri pemakanan global yang paling besar dan pesat berkembang.
Ianya tidak lagi menjadi persoalan agama tetapi melibatkan sistem kapitalisme yang merangkul gaya hidup “patuh syariah”.
Persoalan pilihan dan hubungan antara kelompok
Menurut Dr Norshahril Saat dan Sharifah Afra Alatas, dua pengkaji dari Iseas-Institut Yusof Ishak, gaya hidup ini turut menjadi persoalan politik kerana berlatarbelakangkan gerakan Islam yang mahu mengembangkan Islamisasi bercorak eksklusivis.
Inilah yang menimbulkan juga fenomena ‘halal vigilantism’ yang memantau pilihan atau penjualan makanan orang lain.
Ini menimbulkan sedikit ketegangan, sama ada di peringkat peribadi mahupun antara kaum.
Sebagai contoh, seorang mualaf Cina, Encik Anis Ang mengeluh tentang sikap sebahagian orang Melayu yang mempersoalkan kehalalan makanan yang dijual di gerainya semata-mata kerana beliau bukan Melayu.
Pada 2018, berlaku polemik ketika restoran berantai, Subway, mengumumkan tidak akan lagi menjual daging babi dan akan mendapatkan sijil halal.
Ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan sesetengah pelanggan bukan Islam kerana dilihat menyempitkan pilihan mereka.
Namun, ada juga yang menyokong kerana memperluaskan pilihan untuk minoriti Muslim yang sukar mendapatkan sandwic yang halal.
Keputusan untuk restoran mendapatkan sijil halal atau tidak sudah tentunya pertimbangan bisnes.
Inilah yang merumitkan persoalan di mana selera dan hukum pemakanan untuk setiap kaum mungkin sedikit berbeza.
Sebagai contoh, golongan Hindu tidak memakan daging lembu.
Golongan Jain pula menjauhi sayur-sayuran berakar seperti bawang, ubi dan lobak. Ada juga orang beragama Sikh yang tidak boleh memakan daging halal kerana konsep agama “kutha”, yakni sembelihan ritual agama lain.
Sebahagian kelompok juga hanya memakan sayur-sayuran atas sebab agama (seperti sebahagian pengikut Buddha aliran Mahayana) atau faktor kesihatan.
Natijahnya, di dalam sebuah masyarakat yang majmuk, menyeragamkan pilihan makanan mungkin bagus untuk mengembangkan ruang awam yang inklusif.
Pada masa yang sama, kita juga harus peka siapa yang terkecuali dan menyempitkan pilihan mereka.
Ini yang terjadi ketika Maktab Rendah Temasek mengatakan mereka mahu meneroka kemungkinan membuat seluruh kantin sekolah menjual makanan halal atas sebab memudahkan operasi dan tidak terjadi cross-contamination antara makanan halal dan tidak halal.
Cadangan ini dibantah banyak pihak kerana tidak memberi pilihan kepada mereka yang mahukan pilihan mereka sendiri.
Selain persoalan pilihan, sudah tentu adanya juga pertimbangan kos, termasuk memastikan adanya dapur khusus dengan tempat penyimpanan, peralatan dan ruang penyediaan yang tidak bercampur aduk dengan bahan yang tidak halal.
Sekurang-kurang seorang pekerja Muslim juga harus ada untuk memastikan piawai halal dipatuhi, termasuk audit dan pantauan secara tetap.
Kos ini akan akhirnya akan kembali kepada pengguna melalui kenaikan harga atau pengurangan servis lain.
Isu rumit dan pertimbangan luas
Kita dapat lihat betapa rumitnya persoalan halal yang merangkumi isu politik, ekonomi dan hubungan kemasyarakatan.
Oleh itu, harus ada pertimbangan yang tidak bersifat mendesak atau hanya memikirkan keperluan sesuatu masyarakat tanpa pertimbangan yang lebih luas.
Pertimbangan ini tidak semestinya bertentangan dengan agama yang mengambil kira konteks dan realiti kehidupan.
Di dalam persoalan agama, pemakanan halal adalah tuntutan wajib di dalam Islam.
Ini mempunyai perbahasannya tersendiri yang terangkum di dalam ilmu fiqh.
Fiqh yang digunakan juga bersifat ragam.
Walaupun secara umum ulama berpandukan sumber agama yang sama seperti kitab suci Al-Quran dan kitab hadis, konteks dan penafsiran mewujudkan nuansa yang berbeza-beza mengikut mazhab.
Sebagai contoh, mazhab Hanafi mengharamkan udang walaupun ianya halal untuk dimakan di dalam mazhab Sunni lainnya, yakni Syafii, Hanbali dan Maliki.
Mazhab Maliki pula menganggap buaya sebagai halal dimakan walaupun mazhab lainnya menolaknya.
Daging kuda pula halal dimakan di dalam mazhab Syafii dan Hanbali tetapi haram di dalam mazhab Maliki, makruh untuk Hanafi.
Perbezaan begini merumitkan upaya untuk menyeragamkan proses pensijilan halal sedunia.
Ulama masih lagi berbeza pendapat di dalam persoalan fiqh yang semakin rumit dengan perkembangan teknologi dan masyarakat.
Iktilaf atau perbezaan pendapat di kalangan ulama menunjukkan bahawa apa yang halal dapat dipisahkan daripada logo halal.
Halal adalah konsep agama yang melalui proses penggubalan hukum atau tashrik.
Logo halal pula mematuhi proses yang ditetapkan oleh badan pensijilan.
Oleh kerana ulama berbeza pendapat di dalam sebahagian hal berkaitan pemakanan, kita tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada logo halal.
Ianya harus bersifat kontekstual dan ini memerlukan pendidikan untuk memperkasakan pemahaman agama yang mendalam di dalam masyarakat.
Pendek kata, pertimbangan pemakanan haruslah dibuat oleh setiap individu dan bukan desakan dari mana-mana pihak.
Inilah yang sebenarnya terjadi di peringkat kehidupan harian.
Sebagai contoh, ketika saya berada di luar negara, saya akan membuat pertimbangan sendiri sekiranya sukar untuk mendapatkan makanan yang dijamin halal. Ini termasuk memilih makanan laut atau sayuran.
Selagi saya yakin proses memasak dan menyediakan makanan tersebut tidak bercampur dengan bahan lain yang haram seperti babi dan arak, ini mencukupi untuk pertimbangan peribadi saya.
Sekiranya terjadi percampuran tanpa disengajakan yang tidak saya ketahui, saya tidak akan dipersalahkan menurut pandangan fiqh.
Sepanjang sejarah sebelum kemunculan industri pensijilan halal, umat Islam hidup seperti biasa tanpa gusar.
Tanggungjawab memastikan pemakanan halal ditentukan oleh peribadi dan pengawasan terhadap orang lain hampir tidak wujud kerana dianggap itu adalah pilihan individu dan pertanggungjawaban peribadi.
Seorang ulama berpengaruh di Singapura pernah menegur obsesi terhadap logo halal.
Di dalam perbualannya dengan saya, beliau bercerita:
“Ketika saya kecil, saya dibawa oleh ayah saya untuk makan di gerai nasi ayam di stesen kereta api Malaya yang dikendalikan seorang Cina Hainan. Penjualnya memastikan makanannya halal kerana ramai pelanggannya adalah Muslim. Waktu itu, belum ada sijil halal. Apakah ayah saya - juga seorang tokoh agama - memberi saya makanan yang haram? Tidak! Itu halal dan beliau yakin kerana wujud sikap saling percaya antara kaum.”
Kisah ini sangat memberi kesan kepada saya.
Walaupun pensijilan halal memudahkan kita memilih, kita harus sedar bahawa ianya juga mewujudkan ketergantungan yang berlebihan sehingga kita tidak mahu mempertingkatkan pemahaman agama yang mendalam kerana diserahkan kepada pihak yang memastikan yang mana halal untuk kita.
Di sudut yang ekstrem, saya pernah berjumpa seorang individu yang memakan mi segera setiap hari sewaktu bercuti.
Mi segera tersebut mempunyai logo halal dari Muis dan beliau tidak mahu memakan apa jua makanan yang tidak mengandungi logo halal.
Kemudaratan memakan mi segera setiap hari tanpa khasiat lainnya tidak menjadi pertimbangan individu tersebut.
Ketergantungan seperti ini tidak wujud sebelum industri pensijilan halal.
Oleh itu, kita harus membezakan halal dengan logo halal. Tidak semua yang tiada logo halal merupakan makanan yang tidak halal.
Tanpa perbezaan ini, kita sukar hidup di dunia nyata yang majmuk.
Hemah agama
Di dalam persoalan makanan halal di dalam penerbangan SIA, Muis telah memberi panduan.
Di dalam Siri Irsyad Kontemporari tahun 2019, Muis telah menjelaskan penggunaan peti sejuk atau ketuhar gelombang mikro tidak menjejas status halal makanan selagi “tiada sentuhan secara langsung atau percampuran antara makanan halal dan tidak halal”.
Dan jika terjadi pencemaran secara tidak sengaja, “masih boleh dimakan – apatah lagi yang disimpan dalam bekas yang ditutup rapat”.
Irsyad Muis mengandungi hikmah untuk kita yang hidup di dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.
Ianya berlandaskan kaedah fiqh yang utuh.
Kita bersyukur kerana urusan pemakanan halal dipermudahkan oleh agensi pemerintah seperti Muis melalui pensijilan halal.
Ini tidak terjadi di banyak negara lain.
Tetapi, jangan pula sampai kita mendesak hak untuk keinginan konsumsi bagi segala hal tanpa mengambil kira pertimbangan lain.
Apatah lagi sehingga tidak dapat melabel sesuatu yang halal menjadi tidak halal semata-mata kerana tidak ada logo atau sijil halal.
Inilah yang membuat semangat inklusif yang wajar bertukar menjadi apa yang saya sebut sebagai “entitlement mentality”.
Apatah lagi sekiranya sifat ini membuatkan masyarakat lain memandang serong terhadap masyarakat Muslim sehingga terjadi ketegangan antara kaum.
Kita hidup dengan berakomodasi tanpa mengorbankan prinsip.
Di dalam isu yang mengandungi ‘iktilaf’ atau perbezaan pendapat, kita berlapang dada supaya mendatangkan rahmah untuk semua dan menjaga keharmonian hidup bertetangga.
Penulis ialah Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited.
