Saya hadir pada malam itu menjangkakan sebuah persembahan tarian yang biasa-biasa sahaja.

Namun, yang saya saksikan dalam produksi Selagi Hayat Dikandung Badan di Pusat Seni Goodman pada Sabtu, 9 Mei, jauh lebih daripada itu.

Para penarinya, yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), bukan sahaja bergerak dengan penuh tenaga dan keyakinan di pentas, malah tampil mendeklamasikan puisi dan prosa tulisan mereka sendiri melalui monolog-monolog yang penuh penghayatan dan cukup menyentuh perasaan.

Ada keberanian dalam getaran suara mereka.

Ada kejujuran dalam penulisan kata-kata yang lahir dari hati mereka.

Dan yang paling penting, ada rasa cinta terhadap bahasa, budaya dan seni yang terpancar secara tulus.

Malam itu mengingatkan saya bahawa kita kadangkala terlalu cepat membincangkan anak muda Melayu melalui lensa cabaran dunia moden yang mereka hadapi, kekurangan mereka berbanding anak-anak bangsa lain dan keresahan tentang masa hadapan mereka bergelut dengan AI.

Seringkali, kita berbicara tentang pencapaian akademik, peluang pekerjaan dan pelbagai statistik yang sering meletakkan masyarakat Melayu kita dalam kedudukan yang seolah-olah sentiasa perlu “diperbaiki”.

Pastinya semua perkara ini penting untuk dibincangkan secara serius dan jujur.

Namun dalam kesungguhan kita meneliti dan menilai masyarakat melalui angka dan kedudukan ekonomi, usahlah kita terlupa untuk melihat bentuk-bentuk kekuatan dan daya cipta yang mekar subur dalam kalangan anak muda Melayu kita.

Karya seperti Selagi Hayat Dikandung Badan oleh pereka tari mapan Azmi Juhari mengingatkan saya bahawa di sebalik segala perbincangan tentang kekurangan dan cabaran yang dihadapi masyarakat, orang Melayu Singapura juga memiliki kekuatan dan sisi-sisi yang membanggakan, malah sedang giat membina, mencipta dan memimpin wacana dengan cara kita yang tersendiri.

Apa yang saya saksikan di pentas tari itu bukan sekadar sebuah persembahan seni tari Melayu.

Ia memperlihatkan kekayaan modal budaya yang cukup bernilai dalam kalangan anak muda kita.

Mereka bukan sekadar menari mengikut gerak yang diberikan.

Para mahasiswa ini turut bekerjasama dengan pereka tari mereka untuk membangunkan idea, emosi dan naratif persembahan.

Keupayaan menggabungkan elemen moden dengan warisan budaya serta mentafsir semula estetika tradisional itu ialah satu bentuk intelektualisme seni yang tidak harus dipandang kecil.

Karya seperti Selagi Hayat Dikandung Badan dijayakan oleh para penari yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU)
Karya seperti Selagi Hayat Dikandung Badan dijayakan oleh para penari yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) - Foto DR ROSZALINA RAWI
Penulis (tengah) bergambar dengan pereka tari ‘Selagi Hayat Dikandung Badan’, Azmi Juhari (kiri) dan guru tari, Osman Abdul Hamid (kanan).
Penulis (tengah) bergambar dengan pereka tari ‘Selagi Hayat Dikandung Badan’, Azmi Juhari (kiri) dan guru tari, Osman Abdul Hamid (kanan). - Foto ihsan DR ROSZALINA RAWI

Sebagai seorang anak Melayu Singapura, saya menonton persembahan itu dengan rasa bangga yang sukar digambarkan.

Bangga kerana melihat anak-anak muda kita bukan sahaja masih mahu mendekati seni dan budaya Melayu, malah berani mengangkatnya dalam bentuk yang segar, kreatif dan dekat dengan realiti zaman mereka sendiri.

Mereka tidak sekadar mewarisi budaya, tetapi sedang menghidupkan dan mencorakkannya semula untuk generasi mereka dan generasi yang akan datang.

Rasa bangga yang sama turut hadir ketika saya menonton produksi Kota Impian yang ditulis oleh Nur Hikmah Ali daripada kumpulan Meja Conteng sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu baru-baru ini.

Karya yang dipentaskan memperlihatkan keberanian para penulis muda Melayu untuk bereksperimen, mentafsir semula sejarah dan warisan masyarakat melalui karya seni, serta menjadikan pentas sebagai ruang untuk berbicara tentang identiti, masyarakat dan masa depan.

Di bawah arahan Hidayat Nordin, seorang seniman multidisiplin yang aktif mengangkat sastera Melayu melalui pelbagai medium, Kota Impian memperlihatkan mutu pengarahan dan kepekaan artistik yang cukup tinggi.

Ditambah pula dengan iringan muzik daripada para pemuzik Nobat Kota Singa yang begitu kaya dan berlapis, persembahan tersebut membuktikan bahawa seni Melayu kontemporari mampu berdiri dengan penuh yakin, canggih dan bermutu tinggi.

Yang menariknya, saya memerhatikan bahawa anak-anak muda Melayu kini tidak lagi melihat budaya dan warisan Melayu sebagai sesuatu yang lapuk atau tidak relevan.

Sebaliknya, mereka giat mencari pendekatan baharu untuk menyemarakkan semangat dan cinta terhadap bahasa, budaya dan warisan itu semula.

Mereka memanfaatkan ruang media sosial, teknologi digital, seni visual dan persembahan multimedia untuk membawa warisan Melayu lebih dekat dengan generasi hari ini.

Sebagai contoh, saya terpegun menyaksikan pertunjukan cahaya Tales of Light: Sang Kancil yang dipancarkan ke bangunan Istana Kampong Gelam sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu.

Penulis (tengah) bergambar dengan Nur Hikmah (penulis skrip ‘Kota Impian’) dan Hidayat Nordin (pengarah)
Penulis (tengah) bergambar dengan Nur Hikmah (penulis skrip ‘Kota Impian’) dan Hidayat Nordin (pengarah) - Foto ihsan DR ROSZALINA RAWI

Dalam gelap malam, bangunan bersejarah itu seolah-olah hidup kembali dengan pancaran cahaya, warna dan naratif yang mengangkat kisah Sang Kancil dalam bentuk yang begitu segar dan memukau.

Diusahakan oleh kumpulan penulis Meja Conteng, pertunjukan itu memperlihatkan bagaimana gabungan teknologi, muzik dan penceritaan visual mampu menghidupkan semula kisah warisan Melayu agar tidak sekadar tinggal di halaman buku atau ruang muzium, tetapi terus dekat dan bermakna bagi semua lapisan masyarakat.

Jelas, anak-anak seni muda di Singapura kian membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu memahami rentak zaman, malah berani meneroka bentuk-bentuk baharu dan cekap menjembatani warisan tradisi dengan dunia kontemporari.

Dan mungkin di situlah harapan sebenar masyarakat kita.

Kemajuan sesebuah masyarakat tidak boleh diukur semata-mata melalui jawatan profesional yang diraih, laluan elit yang ditempuh atau angka pendapatan yang tinggi.

Ada bentuk kemajuan lain yang lebih halus tetapi tidak kurang pentingnya, iaitu keberanian anak muda untuk menceburi bidang yang benar-benar mereka cintai.

Tidak kiralah sama ada dalam budaya, sastera, seni mahupun agama, kemampuan anak-anak muda Melayu kita untuk berfikir secara kritis dan kreatif, kesediaan mereka untuk memimpin dengan penuh adab dan amanah, serta rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap ilmu, masyarakat dan warisan merupakan sesuatu yang harus kita iktiraf dan raikan.

Pastinya, anak-anak muda ini juga tidak berkembang dalam ruang yang kosong.

Di sebalik keberanian dan kreativiti mereka, ada peranan generasi terdahulu yang terus membimbing, berkongsi pengalaman dan memindahkan ilmu dengan penuh kasih dan keyakinan.

Dalam hubungan antara generasi inilah terletaknya satu lagi bentuk kemajuan masyarakat yang sering tidak kelihatan iaitu apabila seni, bahasa, nilai dan warisan terus diperturunkan dan dihidupkan semula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.

Produksi seperti Selagi Hayat Dikandung Badan dan Kota Impian mengingatkan saya bahawa selagi hayat dikandung badan, selagi itu juga akan ada anak-anak muda Melayu yang terus memperkayakan modal budaya masyarakat Melayu kita, bukan sahaja dengan mempertahankan bahasa dan warisan yang ada, tetapi dengan mentafsir, menghidupkan dan mencorakkannya semula dengan penuh kesungguhan.

Apa guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan,
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.

(Pantun sumber Kurik Kundi Merah Saga, 2005)

Penulis ialah Penolong Ketua (Bahasa Melayu) dan pensyarah di Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE).