Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami isteri senangi perbincangan ‘Arif’ tentang sains, agama
Suami isteri senangi perbincangan ‘Arif’ tentang sains, agama
Suami isteri senangi perbincangan ‘Arif’ tentang sains, agama
Bagi Ustaz Daud Hasan dan isterinya, Cik Nurashima Kamal, program Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif) Yayasan Temasek, atau Projek Arif, merupakan wadah yang menggabungkan pengetahuan sains dengan apa yang dianjurkan agama.
Ustaz Daud, 38 tahun, memberi contoh isu seks dalam perkahwinan, yang biasanya dilihat sebagai perkara berasingan dari lensa agama dan sains.
Namun, program itu mengesahkan semula kedua-dua aspek ini saling terkait, katanya.
Beliau berkata: “Agama Islam telah mengetengahkan pembentukan seorang bayi daripada (gabungan) sperma dan telur sejak ribuan tahun dahulu dan sains pula memberikan bukti proses sedemikian.
“Itulah sebabnya kami gemar menghadiri acara di bawah Projek Arif kerana ada unsur agama dan juga unsur sains.”
Ustaz Daud berkata demikian ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas menghadiri sesi perkongsian di bawah program itu dan Majlis Penghargaan Projek Arif di Masjid Yusof Ishak pada 10 Mei.
Majlis itu dihadiri sekitar 120 peserta, dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu terhormat.
Semasa berucap, Dr Faishal mengumumkan Projek Arif dan AMP Singapura akan bergabung sebagai satu komponen tetap di bawah program sokongan perkahwinan Bersamamu mulai Jun 2026.
Beliau berkata program itu akan diterajui oleh AMP Singapura dan dikenali sebagai Arif.
Projek Arif sebelum ini merupakan program rintis pada September 2020 dan kemudian dilancarkan secara rasmi pada Mac 2021, dengan kerjasama Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan AMP Singapura.
Menurut Cik Nurashima, 34 tahun, pasangan itu menyertai Projek Arif pada Mei 2025 selepas menghadiri salah satu sesi perkongsian yang dianjurkan oleh program itu.
Pada tahun itu juga, mereka menimang cahaya mata pertama setelah lapan tahun berusaha.
Beliau berkata mereka hampir berputus asa setelah melalui satu pusingan rawatan Inseminasi Intrauterin (IUI) pada 2019, dan persenyawaan in vitro (IVF) pada 2023 dan 2024, sebelum pusingan kedua IVF membuahkan hasil.
Beliau menjelaskan: “Hikmah di sebalik kami tidak dianugerahkan cahaya mata pada dua tahun pertama perkahwinan kami mungkin adalah kerana Allah ingin menyuntik bibit persefahaman antara saya dengan suami.
“(Barangkali Tuhan juga) ingin mempersiapkan kami untuk reda, sama ada dianugerahkan anak atau tidak.
“Ia mengajar kami erti sabar dan apabila kami dikurniakan anak, waktunya begitu sesuai.”
