Hampir setahun berlalu sejak Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim menyandang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan dalam tempoh itu, beliau telah berusaha mendekatkan sokongan kepada masyarakat.

Di samping itu, beliau memastikan sokongan yang ditawarkan berkait langsung dengan realiti yang dilalui anggota masyarakat dalam kehidupan harian mereka.

Dr Faishal menyifatkan sebagai amanah besar, untuk memahami keprihatinan masyarakat dan bertindak balas secara adil dan praktikal.

Apa yang turut penting adalah untuk beliau melakukannya tanpa berpandangan sempit atau melemahkan kepercayaan antara masyarakat berbeza di Singapura.

Dr Faishal menyatakan demikian dalam wawancara bersama Berita Harian bagi menyingkap tahun pertamanya menyandang portfolio Ehwal Masyarakat Islam.

Beliau menggalas tanggungjawab itu pada Mei 2025, beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), bagi menggantikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dampingi masyarakat secara meluas, tidak formal

Sejak menyandang jawatan baru itu, Dr Faishal berkata beliau berpeluang melakukan pendampingan secara lebih meluas merentasi segmen berbeza masyarakat Melayu/Islam menerusi lawatan ke masjid, dialog dan sesi tidak formal.

Beliau juga telah memulakan siri lawatan kawasan undi ke daerah seperti Teban Gardens, East Coast, Tampines dan Pasir Ris bagi menemui anggota masyarakat di tempat mereka dan mendengar keprihatinan serta aspirasi mereka yang selalunya tidak diutarakan dalam sesi formal.

Beliau turut mendampingi pertubuhan Melayu/Islam, pertubuhan India/Islam, kumpulan tidak formal serta belia daripada institut pengajian tinggi dan madrasah.

Bagi Dr Faishal, pendampingan yang berterusan dapat memupuk kepercayaan.

“Sebahagian daripada kerja kepimpinan yang paling penting berlaku dalam ruang yang lebih senyap – dengan mendengar secara teliti, membina hubungan dari semasa ke semasa, dan memastikan tindak balas kita sentiasa berdasarkan apa yang sedang dialami oleh masyarakat,” katanya.

KEPIMPINAN DALAM RUANG ‘SENYAP’

“Sebahagian daripada kerja kepimpinan yang paling penting berlaku dalam ruang yang lebih ‘senyap’ – dengan mendengar secara teliti, membina hubungan dari semasa ke semasa, dan memastikan tindak balas kita sentiasa berdasarkan apa yang sedang dialami oleh masyarakat.” 
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menurut Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), usaha pendampingan itu telah membuatnya memahami dengan lebih jelas bagaimana aspirasi masyarakat sedang berubah.

Memberi contoh, beliau berkata walaupun keluarga masih bergelut dengan tekanan kos, mereka tetap prihatin sama ada anak-anak akan mempunyai haluan masa depan yang kukuh.

Pekerja pula tidak sekadar risau tentang pekerjaan semasa, malah, mahu kekal relevan dalam ekonomi yang berubah-ubah.

Melalui pendampingan yang dijalankan juga Dr Faishal mendapati rasa pemilikan kian marak dalam masyarakat.

Masyarakat tidak tunggu untuk dibantu

“Ramai tidak mahu sekadar disokong atau dirunding. Mereka mahu menyumbang, membentuk huraian dan menjadi sebahagian daripada usaha akan datang. Masyarakat tidak menunggu untuk dibantu,” katanya.

Semangat ini antara lain dilihat dalam usaha rakan kongsi masyarakat memastikan semakan strategi ekonomi di peringkat nasional menjadi sesuatu yang berguna untuk pekerja, perniagaan dan keluarga Melayu/Islam menerusi Jawatankuasa Daya Ekonomi.

Menyedari keinginan mencari huraian ini, Dr Faishal berkata beliau, bersama pemegang jawatan Melayu/Islam dan rakan masyarakat lain, berperanan menyediakan ruang, struktur dan kerjasama supaya orang ramai boleh menyumbang dengan bermakna, dan usaha yang dijalankan membawa kepada kemajuan yang nyata dan tersusun.

“Jadi, tugas saya melebihi sekadar mendengar dan mendampingi.

“Ia juga mengenai memahami keprihatinan dan aspirasi, menetapkan keutamaan lebih jelas dan memastikan tindak balas kita terselaras, praktikal dan berkait dengan apa yang dilalui anggota masyarakat dalam kehidupan harian mereka,” tambahnya.

Keperluan masyarakat berubah

Selain skop tanggungjawabnya yang telah berubah dalam tempoh setahun lalu, Dr Faishal juga mendapati suasana serta keperluan masyarakat telah beralih, ekoran persekitaran yang lebih tidak menentu dan cepat berubah.

Melangkaui keprihatinan tentang masa depan anak-anak dan kerelevanan pekerja, anggota masyarakat juga ingin tahu sama ada sokongan mudah diakses, dan sama ada institusi mampu seiring dengan keperluan masyarakat, kata Dr Faishal.

Masyarakat juga mahukan identiti, warisan serta sumbangan mereka diiktiraf sebagai sebahagian kisah Singapura yang lebih luas, tambahnya.

“Itulah sebabnya tindak balas kami telah tertumpu kepada memperkukuh kehidupan dan mata pencarian, meningkatkan hasil sosial dan ekonomi, mengamalkan kehidupan beragama dengan yakin dan berbangga dengan budaya, warisan dan identiti kita, supaya masyarakat berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi masa depan yang sentiasa berubah,” tambah Dr Faishal.

Sokongan lebih dekat, lebih awal

Beliau menyenaraikan beberapa tindak balas yang telah diambil seperti membawa sokongan lebih dekat dan lebih awal kepada keluarga menerusi usaha seperti perluasan program Bersamamu yang menyaksikan kadi dan naib kadi membimbing pasangan yang bakal dan baru berumah tangga.

Projek Arif – yang bertujuan mempersiapkan pasangan bagi alam keibubapaan serta memperkukuh kesejahteraan ibu dan pembangunan kanak-kanak – juga akan dijadikan sebagai komponen tetap di bawah Bersamamu mulai Jun 2026.

Bagi pendidikan, belia dan daya tahan ekonomi, peningkatan yang dilakukan termasuk kepada skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) supaya lebih ramai pelajar Melayu boleh melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Inisiatif Langkah Digital diperkenalkan bagi membantu lebih ramai anggota masyarakat mengukuhkan kesediaan mereka dalam ruang kecerdasan buatan (AI).

Jawatankuasa Daya Ekonomi pula membantu perniagaan dan pekerja Melayu/Islam merebut peluang ekonomi lebih baik.

“Secara lebih luas, M³+ (M Kuasa Tiga+) mencerminkan cara kita ingin bekerja pada masa hadapan – dengan menghimpunkan ekosistem sokongan yang lebih luas melalui pertubuhan Melayu/Islam, pertubuhan India/Islam dan kumpulan tidak formal supaya sumber dapat diselaraskan dengan lebih baik, lebih responsif dan lebih dekat kepada mereka yang lebih memerlukannya,” ujar Dr Faishal.

Amanah kepada negara, masyarakat tidak bersaing

Ditanya tentang pendekatannya menangani keprihatinan masyarakat Melayu/Islam sambil memastikan masyarakat Singapura lebih luas kekal dilibatkan, beliau berkata kedua-duanya bukanlah tanggungjawab yang saling bersaing.

Beliau menekankan bahawa menyokong masyarakat Melayu/Islam dengan baik adalah sebahagian daripada usaha mengukuhkan Singapura dan menyumbang kepada daya tahan dan perpaduannya.

“Saya melihat tugas ini satu amanah besar. Tugasnya adalah memahami betul-betul keprihatinan masyarakat, beri respons secara adil dan praktikal, dan berbuat demikian tanpa berpandangan sempit atau melemahkan kepercayaan antara masyarakat.

“Kemajuan masyarakat Melayu/Islam mesti seiring pembinaan kepercayaan merentas masyarakat, perpaduan sosial yang kukuh dan rasa tanggungjawab kepada Singapura yang dikongsi bersama,” kata Dr Faishal.

“Peranan saya bukan untuk memberi jawapan mudah. Ia mengenai menyatukan kumpulan berbeza bagi memperdalamkan kerjasama, kepercayaan dan memanfaatkan kekuatan kepelbagaian kita untuk kebaikan bersama.

“Ini juga bermakna bersikap terbuka kepada kepakaran yang lebih luas yang mana dapat memperkukuh masyarakat,” tambahnya.

TIADA JAWAPAN MUDAH

“Saya melihat tugas ini satu amanah besar. Tugasnya adalah memahami betul-betul keprihatinan masyarakat, beri respons secara adil dan praktikal, dan berbuat demikian tanpa berpandangan sempit atau melemahkan kepercayaan antara masyarakat...  Peranan saya bukan untuk memberi jawapan mudah. Ia mengenai menyatukan kumpulan berbeza bagi memperdalamkan kerjasama, kepercayaan dan memanfaatkan kekuatan kepelbagaian kita untuk kebaikan bersama.”
Dr Faishal Ibrahim.

Memberi contoh pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), Dr Faishal berkata pandangan ahli akademik, karyawan, asatizah dan pengamal masyarakat dimanfaatkan supaya kepimpinan agama masa depan kekal berlandaskan keperluan masyarakat Melayu/Islam di samping turut dilengkapi dengan kemahiran untuk konteks pelbagai budaya dan agama Singapura yang lebih luas.

Pendekatan serupa juga dilihat dalam cara masyarakat memberi respons kepada isu yang dekat kepada hati mereka, seperti kemelut di Gaza, kata Dr Faishal lagi.

Dalam isu tersebut, kutipan derma Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menunjukkan warga Singapura, termasuk ramai dalam masyarakat Melayu/Islam, mahu tampil dalam cara yang penuh belas kasihan, bertanggungjawab dan membina, sambil terus berada dalam kerangka kerja nasional.

“Bagi saya, ini mencerminkan sesuatu yang penting tentang sifat masyarakat – bahawa walaupun dengan isu-isu bersifat emosi, terdapat keinginan bukan sahaja untuk merasai sesuatu dengan kuat, tetapi juga untuk menyalurkan keprihatinan itu kepada tindakan yang bermakna serta khidmat kepada orang lain,” ujarnya.

Meluahkan harapannya bagi masyarakat Melayu/Islam, Dr Faishal berkata:

“Harapan saya ialah agar kita terus berkembang menjadi sebuah masyarakat yang bukan sahaja tabah menghadapi cabaran, bahkan juga yakin dengan jati diri kita, murah hati dalam saling menyokong, dan bersedia untuk menyumbang dengan bermakna kepada Singapura. Kita kekal berpegang pada nilai diri kita dan yakin dengan hala tuju kita.”

SOKONGAN MASYARAKAT DIPERLUAS

  1. Keluarga:
  2. Sedia sokongan lebih awal dan lebih dekat melalui perluasan Bersamamu dan jadikan Projek Arif komponen tetap Bersamamu
  3. Pendidikan, belia dan daya tahan ekonomi:
  4. Pertingkat Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) supaya lebih ramai pelajar Melayu dapat lanjutkan pendidikan
  5. Tubuhkan Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam untuk lebih dekati dan sokong aspirasi golongan muda
  6. Perkenal Inisiatif Langkah Digital bagi bantu lebih ramai siap sedia dalam bidang kecerdasan buatan (AI)
  7. Bentuk Jawatankuasa Daya Ekonomi untuk bantu masyarakat hadapi ekonomi berubah
  8. Warga emas:
  9. Inisiatif Santunan Emas beri bimbingan, penjagaan dan sokongan yang dekat dengan kehidupan seharian warga emas
  10. Ruang sosioagama:
  11. Labur dalam pembangunan kepimpinan jangka panjang melalui Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
  12. Tambah ruang solat melalui rangkaian kariah serta naik taraf dan bina masjid baru bagi penuhi keperluan kawasan perumahan yang berubah-ubah.
  13. Identiti dan warisan:
  14. Naik taraf Taman Warisan Melayu; pastikan budaya dan warisan Melayu bukan sesuatu yang terpisah daripada kisah Singapura
  15. M Kuasa Tiga+ (M³+) himpunkan ekosistem sokongan lebih luas