Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan Melayu/Islam raih sokongan awal keibubapaan dengan program rintis dikekal
Pasangan Melayu/Islam raih sokongan awal keibubapaan dengan program rintis dikekal
AMP S’pura terajui Projek Arif di bawah peluasan program sokongan perkahwinan ‘Bersamamu’ mulai Jun
Pasangan Melayu/Islam raih sokongan awal keibubapaan dengan program rintis dikekal
Mulai Jun 2026, pasangan Melayu/Islam merentasi pelbagai peringkat kehidupan berkeluarga dapat meraih sokongan berterusan dan mudah diakses, sedang mereka melalui alam perkahwinan.
Ia menyusuli gabungan program Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif) Yayasan Temasek atau Projek Arif, dan AMP Singapura sebagai satu komponen tetap di bawah program sokongan perkahwinan Bersamamu yang diperluas.
Ini diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap pada Majlis Penghargaan Projek Arif di Masjid Yusof Ishak di Woodlands pada 10 Mei.
Masjid tersebut merupakan lokasi pelancaran bagi program itu apabila ia dilancarkan pada Mac 2021.
Acara itu turut dihadiri Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; dan Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam Islam (ROMM), Ustaz Syakir Pasuni.
Beliau berkata AMP Singapura akan menerajui inisiatif ini kerana “kepakaran mendalam badan itu dalam proses mengukuhkan keluarga dan sokongan berasaskan masyarakat” dan program tersebut akan dikenali sebagai Arif.
Dr Faishal menjelaskan: “Ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh sokongan untuk pasangan Muslim merentasi pelbagai peringkat kehidupan berkeluarga yang berbeza tetapi saling terkait.
“(Inisiatif) Bersamamu menyokong pasangan semasa mereka memulakan kehidupan berumah tangga – dari peringkat sebelum akad nikah hingga tahun-tahun awal perkahwinan.
“Arif kemudian memperkukuh peringkat seterusnya dalam perjalanan itu – meliputi peringkat sebelum kehamilan, kehamilan, keibubapaan dan (pertumbuhan) awal kanak-kanak.”
Dengan menggabungkan Arif dalam ekosistem Bersamamu, sokongan bagi pasangan tersedia lebih awal, lebih berterusan dan lebih mudah diakses, katanya.
Malah, Dr Faishal berkata program itu akan memperluaskan jalinan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), ROMM dan Muis.
Ini selain Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), 14 masjid yang terlibat dan rakan kongsi lain untuk melakar program dan perkhidmatan bagi lebih ramai pasangan Melayu/Islam.
Menurutnya, Arif – salah satu aspek dalam Bidang Tumpuan Satu (FA1) M Kuasa Tiga + (M3+) bagi mengukuhkan perkahwinan dan keluarga masyarakat Melayu/Islam – adalah contoh usaha yang dijalankan badan Melayu/Islam bersama pertubuhan dan agensi lain di bawah rangkaian masyarakat M3+.
M3+ merupakan peluasan kepada daya usaha M3 bagi mendorong kerjasama lebih mendalam dan meluas dengan badan-badan Melayu/Islam – seperti AMP Singapura – dan India/Islam, termasuk kumpulan tidak formal.
Ia kali pertama diumumkan Dr Faishal semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) mengenai ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 5 Mac.
M3 sebelum ini hanya merangkumi Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).
Beliau berkata: “Ini (program Arif) adalah contoh yang baik bagaimana fungsi M3+ dalam memupuk dan menjalinkan kerjasama.”
Sejak dilancarkan, beliau berkata lebih 12,000 individu telah meraih manfaat daripada sesi perkongsian di bawah program itu, yang antara lain, menyentuh tentang penjagaan semasa hamil, penyusuan dan persediaan bersalin bagi ibu dan anak.
Perangkaan sedemikian, katanya, menunjukkan Arif sudah menjangkau pasangan, ibu bapa dan masyarakat merentasi pelbagai peringkat kehidupan berkeluarga.
Dr Faishal berkata: “Hari ini, Projek Arif juga menyokong lebih 200 bayi, dengan lebih kurang separuh daripadanya terlibat dalam program penyelidikan yang sedang dijalankan.
“Melalui program ini, kami melihat petunjuk awal utama seperti imunisasi, penyusuan dan penglibatan ibu bapa.
“Ini membantu kami memahami bagaimana sokongan awal dapat mempersiapkan ibu bapa dengan lebih baik dan memberi kanak-kanak dalam memberi masyarakat kita permulaan paling kukuh.”
Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata peranan badan itu selaku peneraju Arif dapat mempertingkatkan keupayaan kakitangan program ini, misalnya Naib Kadi, melalui latihan dan pembangunan profesional kelolaannya.
Badan itu juga dapat mengumpulkan data daripada program itu menerusi cabang Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) AMP Singapura bagi memastikan usaha yang dijalankan kekal relevan dan memenuhi keperluan masyarakat yang kian berubah.
Ini di samping menyalurkan keluarga kepada inisiatif lain yang relevan, merangkumi celik kewangan, demi memperkukuhkan institusi keluarga, tambah beliau.
Ustaz Fathurrahman, yang juga Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, berkata:
“Beberapa tahun lalu apabila program ini diutarakan kepada AMP Singapura, kami melihat AMP ada kelebihan yang boleh kami sumbangkan kepada masyarakat dan juga dalam program Arif – antaranya adalah kaunseling.
“Dengan adanya Bersamamu dan juga M3+, kami boleh memperluaskan lagi sokongan tersebut bukan sahaja di peringkat AMP, tetapi dengan pertubuhan lain di luar M3+.”
Ketua bersama Projek Arif, yang juga Konsultan Kanan, Timbalan Pengerusi, Divisyen Obstetrik dan Ginekologi KKH, Profesor Madya Dr Suzanna Sulaiman, berkata KKH akan terus menyediakan kepakaran perubatan seperti sedia kala.
Ini meskipun dengan peralihan Arif di bawah peneraju baru.
Beliau menambah: “Setiap pasangan ingin mempersiapkan diri masing-masing sebelum mereka menempuhi alam perkahwinan mahupun kehidupan berkeluarga.
“Bersama-sama daya usaha M3+, ia menjadi wadah (bagi mereka) untuk memulakan (perancangan) dari peringkat awal.
“Penting untuk menyediakan sumber dan sokongan seperti ini untuk mereka kerana sebaik sahaja mereka dilengkapi dengan persediaan lebih baik, mereka sebenarnya akan melihat keibubapaan dan kehidupan berkeluarga sebagai sesuatu yang tidak menakutkan, malah sesuatu pengalaman yang indah.”
Majlis itu dihadiri sekitar 120 hadirin, yang terdiri daripada pasangan di bawah program Arif. Antaranya ialah Ustaz Daud Hasan dan isterinya, Cik Nurashima Kamal, yang telah menyertai Projek Arif sejak 2025.
Ia turut menyaksikan perasmian logo baharu Arif, dengan penghargaan turut diberikan kepada rakan kongsi program itu, termasuk Yayasan Temasek serta Yayasan Wee atas saluran dana sepanjang lima tahun program itu dijalankan.
Sebelum itu, hadirin disajikan dengan sesi perkongsian berkenaan kesihatan dan kemaslahatan keluarga.
Ia disampaikan oleh Konsultan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi KKH, Dr Muhammad Fairuz Abdul Rahman; Konsultan Kanan Perkhidmatan Pediatrik Umum KKH, Dr Nur Adila Ahmad Hatib; dan Kadi ROMM, yang juga Pengurus Program AMP Singapura, Ustaz Mohamed Tajuddin Noor.
