Topic followed successfully
Go to BHkuPM Wong lawat Hainan; Hong Kong dari 25-28 Mac
PM Wong lawat Hainan; Hong Kong dari 25-28 Mac
Dijadual sampaikan ucaptama di Hainan, temu warga S’pura yang menetap di Hong Kong
PM Wong lawat Hainan; Hong Kong dari 25-28 Mac
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan melawat wilayah Hainan dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), China, dari 25 hingga 28 Mac.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 24 Mac, Encik Wong akan menyampaikan ucaptama di sesi pembukaan Sidang Tahunan Forum Bo’ao Asia (BFA) 2026.
Ini merupakan kunjungan kedua sejak lawatan pengenalannya ke China pada Jun 2025, apabila beliau baru mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri pada Mei 2024.
Dalam lawatan pengenalan itu, beliau mengadakan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang di Beijing, sebelum ke kota Tianjin untuk menghadiri mesyuarat anjuran Forum Ekonomi Dunia.
Di samping ucaptama, lawatan kali ini bakal menyaksikan Encik Wong mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Encik Zhao Leji; dan Setiausaha Parti Komunis China bagi Jawatankuasa Wilayah Hainan, Encik Feng Fei.
Beliau akan turut menghadiri acara makan malam anjuran pemerintah Hainan dan Setiausaha BFA bagi pemimpin yang menghadiri sidang itu.
Di Hong Kong pula, beliau akan mengadakan pertemuan dan makan tengah hari bersama Ketua Eksekutif HKSAR, Encik John Lee, yang pernah ke Singapura bagi lawatan rasmi pada Julai 2023.
Ini merupakan lawatan pertama Encik Wong ke Hong Kong sebagai Perdana Menteri.
Kali terakhir beliau mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong adalah pada 2019, semasa menyandang jawatan Menteri Pembangunan Negara.
Kali terakhir Perdana Menteri Singapura ke Hong Kong bagi lawatan rasmi adalah pada 2014.
Ketika itu, jawatan tersebut disandang Encik Lee Hsien Loong, yang kini Menteri Kanan.
Menurut PMO, Encik Wong juga akan bertemu dengan pemimpin politik dan perniagaan Hong Kong.
Selain itu, beliau juga dijadual ke beberapa lokasi di kawasan yang dikenali sebagai Northern Metropolis bagi “memahami hala tuju ekonomi dan pembangunan Hong Kong”, serta meneroka peluang kerjasama antara Singapura dengan bandar itu, kata PMO.
Menukil laman rasmi Pejabat Biro Pembangunan Penyelarasan Bersama Northern Metropolis, projek utama pemerintah Hong Kong itu meliputi kawasan seluas 30,000 hektar yang terletak di sepanjang sempadan Shenzhen, selatan China.
Ia antara lain bertujuan menubuhkan hab ekonomi baharu, menyediakan lebih 500,000 unit perumahan terkini serta mewujudkan hab inovasi dan teknologi antarabangsa.
Encik Wong, kata PMO, akan turut bertemu warga Singapura yang menetap di Hong Kong dalam majlis jamuan.
Lawatan beliau diiringi oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann; Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Semasa ketiadaan Encik Wong, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, akan menggalas jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri.

