SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura, 65 ahli WTO perkenal peraturan perdagangan digital sedunia pertama

S’pura, 65 ahli WTO perkenal peraturan perdagangan digital sedunia pertama

Grace Fu: Peraturan buka peluang ekonomi digital kepada rakyat, perniagaan S’pura
Mar 29, 2026 | 8:03 PM

S’pura, 65 ahli WTO perkenal peraturan perdagangan digital sedunia pertama

Ahli Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) yang mewakili sekitar 70 peratus perdagangan sedunia bersetuju untuk melaksanakan perjanjian tersebut di negara masing-masing.
Ahli Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) yang mewakili sekitar 70 peratus perdagangan sedunia bersetuju untuk melaksanakan perjanjian tersebut di negara masing-masing. - Foto PIXABAY

Peraturan perdagangan digital sedunia pertama yang diterima oleh sekumpulan anggota Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) pada 28 Mac akan membuka peluang kepada rakyat dan perniagaan Singapura dalam ekonomi digital, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu.

Singapura antara 66 anggota WTO yang bersetuju melaksanakan Perjanjian WTO mengenai Perdagangan Elektronik (ECA) di negara masing-masing pada Persidangan Menteri WTO ke-14 di Cameroon.

Anggota WTO itu mewakili sekitar 70 peratus perdagangan sedunia.

Mereka termasuk Australia, Jepun, Canada, China, Kesatuan Eropah (EU), Laos, Filipina, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Britain.

Perkembangan ini dicapai selepas usaha saban tahun untuk menerapkan peraturan perdagangan digital ke dalam peraturan WTO itu dihalang oleh beberapa anggota seperti India.

Perjanjian tersebut merupakan hasil usaha Inisiatif Kenyataan Bersama mengenai E-Dagang, yang dipimpin Singapura, Australia dan Jepun yang bermula hampir sedekad lalu, untuk mewujudkan rangka kerja rasmi perdagangan digital dalam WTO.

Cik Fu berkata perjanjian itu “akan membuka peluang baru untuk rakyat dan perniagaan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat, dengan mengurangkan kos, meningkatkan kepercayaan serta menggalak keterangkuman bagi urus niaga rentas sempadan”.

Menambah, Cik Fu berkata ECA menekankan peranan WTO dalam membangun peraturan perdagangan sedunia bagi isu-isu abad ke-21 dan semua anggota WTO boleh menyertainya pada bila-bila masa.

“Kami berharap untuk menguatkuasakan ECA sambil meneruskan usaha merasmikannya.”

Menurut Suruhanjaya Eropah (EC), urus niaga digital menyumbang lebih 60 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sedunia.

WTO menyatakan perjanjian ini menyokong “keperluan mendesak” untuk membolehkan perniagaan dan pengguna memanfaatkan perdagangan digital.

Antara langkah utama ialah menggalakkan rangka kerja undang-undang untuk mengiktiraf urus niaga elektronik serta memberi kedudukan undang-undang yang sama kepada maklumat digital dan maklumat yang dicetak di kertas.

Ia juga melarang cukai kastam ke atas penghantaran elektronik untuk menggalak perdagangan terbuka.

Hasil penyelidikan WTO dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menunjukkan kegagalan melaksanakan ECA boleh menyebabkan kerugian perdagangan sekitar AS$159 bilion ($205 bilion) setahun.

Negara-negara turut bersetuju melindungi pengguna dalam talian daripada aktiviti mengelirukan dan menipu serta bekerjasama dalam perdagangan digital.

Bercakap kepada The Straits Times, Encik Gareth Tan, penasihat kanan kepada gabungan Kemakmuran Digital untuk Asia yang mewakili perusahaan teknologi kecil dan sederhana di rantau Asia-Pasifik, berkata langkah ini telah “lama dinantikan” industri.

Perjanjian itu penting kerana Singapura ialah ekonomi yang bergantung pada perdagangan, dengan perniagaan dan syarikat pemula niaga yang semakin aktif dalam perdagangan digital, kata Encik Tan.

“Ia juga membuka laluan kepada rundingan fasa kedua, termasuk aliran data rentas sempadan.”

Namun, perjanjian ini dijangka berdepan cabaran untuk diterima secara keseluruhan oleh WTO.

India kekal menentangnya kerana berpendapat perjanjian perdagangan perlu dicapai secara muafakat.

Amerika Syarikat pula belum menandatangani perjanjian tersebut kerana masih menyemaknya.

Ketua dasar perdagangan Yayasan Hinrich, Cik Deborah Elms, menyifatkan langkah 66 anggota WTO itu sebagai pendekatan pragmatik.

Beliau berkata negara penganjur seperti Singapura serta Australia dan Jepun melihat keperluan peraturan digital yang konsisten dan berhasrat menerapkan peraturan tersebut dalam WTO.

Namun tindakan beberapa negara yang tidak bersetuju mendorong negara-negara penganjut itu untuk bertindak di peringkat tempatan terlebih dahulu sebelum mengukuhkan kedudukan perjanjian dalam WTO.

ECA berbeza daripada moratorium e-dagang sedia ada yang melarang cukai kastam ke atas muat turun dan penstriman digital.

Moratorium tersebut, yang dilaksana sejak 1998, telah diperbaharui secara berkala dan dijadualkan luput pada Mac di Persidangan Menteri WTO di Cameroon, menekankan keperluan kepada perjanjian yang lebih kekal seperti ECA.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg