SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

DPM Gan: S’pura akan kekal pada prinsip dagang berdasar peraturan

DPM Gan: S’pura akan kekal pada prinsip dagang berdasar peraturan

S’pura, Amerika masih rundingkan perjanjian dagangan yang lebih baik
Mar 25, 2026 | 1:43 PM

DPM Gan: S’pura akan kekal pada prinsip dagang berdasar peraturan

DPM Gan, ekonomi, lawatan ke Jerman,
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata Jerman, seperti Singapura, adalah sebuah hab ekonomi kerana ia pusat utama dalam pasaran Eropah serta pintu masuk ke Eropah Timur dan Barat. - Foto ST

Amalan dan keputusan perdagangan Singapura berteraskan prinsip berasaskan peraturan, dan negara ini akan terus mempertahankannya sungguhpun jika terpaksa menanggung kerugian jangka pendek, ujar Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

“Singapura sentiasa mengamalkan sikap bahawa pendekatan dan keputusan kami adalah berdasarkan prinsip,” kata Encik Gan.

“Ini penting bagi kami sebagai hab ekonomi. Kami perlu menjadi rakan kongsi yang dipercayai... tiada siapa yang akan menghantar barangan mereka melalui Singapura jika mereka tidak mempercayai kami,” tambah Encik Gan, menjelang lawatan rasmi ke Jerman dari 25 hingga 28 Mac.

Beliau menjawab soalan mengenai penilaian Singapura terhadap Amerika Syarikat sebagai rakan strategik dan ekonomi jangka panjang semasa wawancara media.

Wawancara itu diadakan menjelang lawatan rasmi beliau ke Jerman selama dua hari minggu ini, lawatan pertamanya ke negara itu sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Semasa lawatan tersebut, beliau dijadual bertemu dengan anggota Parlimen, persatuan perniagaan, dan syarikat.

Beliau juga akan menyampaikan ucapan di Ostasiatische Liebesmahl, acara gala tahunan untuk rangkaian masyarakat perniagaan Jerman-Asia-Pasifik yang diadakan di Hamburg.

Kenyataan beliau dibuat selepas Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada awal Mac menyangkal asas siasatan perdagangan Amerika.

Siasatan itu menamakan Singapura sebagai antara 16 ekonomi yang disiasat atas dakwaan amalan perdagangan tidak adil.

Siasatan itu, yang lazimnya memakan masa berbulan-bulan, diperlukan sebelum Presiden Amerika, Encik Donald Trump, boleh mengenakan cukai secara sepihak ke atas import dari negara tertentu yang didapati mengamalkan perdagangan tidak adil.

Dalam kenyataannya, MTI mendedahkan bahawa Singapura sebenarnya mencatat defisit perdagangan dua hala dengan Amerika, kira-kira AS$27 bilion ($34.5 bilion) pada 2024 – bercanggah dengan dakwaan Wakil Perdagangan Amerika (USTR) tentang lebihan jumlah yang sama.

MTI menyatakan ia telah memberikan data yang betul kepada USTR dan akan mendapatkan penjelasan mengenai angka perdagangan tersebut serta skop siasatan Seksyen 301 itu.

Kementerian itu turut menangkis dakwaan Singapura terus melonjakkan keupayaan perkilangannya meskipun kadar penghunian industri merosot.

Sebaliknya, penghunian ruang industri kekal sihat, teguh, dan konsisten pada paras sekitar 90 peratus.

Encik Gan menjelaskan, Singapura akan terus teguh pada prinsipnya, memacu sistem berasaskan peraturan dan mengekalkan kebolehramalan.

Tambahnya, rundingan dengan Amerika bagi perjanjian yang lebih baik sedang berjalan, namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dunia ini yang telah berubah, malah sentiasa berubah,” katanya.

“Kita perlu terus memerhati, berusaha sebaiknya, dan berunding untuk hasil yang lebih baik.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg