SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PM Wong: China main peranan penting bentuk peraturan sejagat berdaya tahan

PM Wong: China main peranan penting bentuk peraturan sejagat berdaya tahan

Forum Bo’ao Asia di Hainan bincang kerjasama ekonomi serantau, keprihatinan sekitaran dunia kian tidak tentu dengan peperangan, persaingan geopolitik
Mar 26, 2026 | 7:15 PM

PM Wong: China main peranan penting bentuk peraturan sejagat berdaya tahan

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap di Forum Bo’ao Asia di Hainan, China, pada 26 Mac.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap di Forum Bo’ao Asia di Hainan, China, pada 26 Mac. - Foto ST

BO’AO (Hainan): Dalam dunia yang memerlukan negara mencari cara baru untuk bekerjasama, China akan memainkan peranan penting dalam membentuk aturan sejagat yang lebih berdaya tahan, sejajar dengan keupayaan ekonominya yang semakin berkembang, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

China telah menyumbang kepada pembangunan dan gagasan sejagat melalui daya usaha seperti Bank Pelaburan Prasarana Asia serta Inisiatif, Jalur dan Laluan atau ‘Belt and Road’ (BRI).

Ia di samping membantu menetapkan peraturan baru dalam bidang baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI) bagi perdagangan.

Dengan penekanan terhadap penggunaan domestik di bawah Pelan Lima Tahun ke-15 yang baru diumumkan, China turut berpotensi untuk terus memacu pertumbuhan di rantau ini.

“Singapura percaya China boleh memainkan peranan lebih besar dalam menyokong kemakmuran dan kestabilan serantau,” kata Encik Wong.

Berucap semasa sesi pembukaan Forum Bo’ao Asia pada 26 Mac, beliau berkata persekitaran dunia semakin tidak menentu, dengan peperangan, persaingan geopolitik dan pelbagai hala semakin berdepan cabaran.

Hal itu memberi tekanan kepada sistem antarabangsa dan menjadikan kerjasama semakin sukar.

Forum Bo’ao Asia, yang diadakan setiap tahun di Hainan, menghimpunkan 2,000 wakil daripada sektor pemerintah, perniagaan dan akademik untuk membincangkan tentang kerjasama ekonomi serantau.

“Kita sedang menyaksikan kegagalan membimbangkan dalam institusi dan norma yang telah lama menjadi tunjang kepada sistem sejagat,” ujar Encik Wong.

Perang di Ukraine dan konflik berterusan di Timur Tengah mengakibatkan kenaikan harga makanan dan tenaga, mengganggu rantaian bekalan dan meningkatkan risiko kelembapan ekonomi sejagat.

Terdapat masalah lebih mendalam, iaitu negara semakin mengabaikan peraturan antarabangsa dan lebih cenderung bertindak menurut keupayaan kuasa mereka, katanya.

“Apabila peraturan tewas kepada kuasa mutlak, ketertiban akan runtuh, dan tiada negara – besar atau kecil – yang benar-benar selamat,” tambahnya.

Encik Wong berkata perubahan geopolitik itu turut membentuk semula ekonomi sejagat, dengan negara memberi penekanan lebih besar terhadap daya tahan dan keselamatan. 

Negara membuat peralihan bagi mengurangkan kebergantungan dan menyusun semula cara mereka terlibat dalam ekonomi sejagat.

Dalam persekitaran sedemikian, perjanjian pelbagai hala tradisional lebih sukar dicapai, dan negara perlu mencari cara lebih fleksibel untuk bekerjasama, katanya.

“Satu cara praktikal ialah mewujudkan perjanjian plurilateral (melibatkan beberapa negara) dengan kumpulan kecil rakan kongsi sehaluan. Ini boleh bergerak lebih pantas – bagi menguji idea, menetapkan piawaian dan menghasilkan keputusan.”

Encik Wong memberi contoh perjanjian perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau, Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (Depa).

Encik Wong menambah, Singapura menyokong minat China untuk menyertai perjanjian perdagangan seperti CPTPP dan Depa, meskipun tidak mudah menyepadukan ekonomi sebesar China di dalam perjanjian sedemikian.

“Namun langkah sebegitu akan membawa manfaat besar kepada rantau ini, dan mengukuhkan kerelevanan perjanjian yang bertaraf tinggi ini,” katanya.

Encik Wong berkata keupayaan China yang semakin berkembang bermakna negara itu akan memainkan peranan penting dalam membentuk fasa pertumbuhan sejagat seterusnya.

“China berada dalam kedudukan baik bukan sahaja bagi mengambil bahagian dalam gelombang perubahan teknologi seterusnya, malah untuk membentuk dan menerajuinya,” kata beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg