Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee kunjung Pusat Konservasi Harimau Malaya di Pahang pada hari pertama lawatan ke M’sia
SM Lee kunjung Pusat Konservasi Harimau Malaya di Pahang pada hari pertama lawatan ke M’sia
SM Lee kunjung Pusat Konservasi Harimau Malaya di Pahang pada hari pertama lawatan ke M’sia
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) pada hari pertama kunjungannya ke Pahang pada 4 Mei.
Encik Lee sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Pahang, disusuli Terengganu dari 4 hingga 8 Mei.
Encik Lee berada di Pahang atas undangan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sultan Abdullah juga merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dari 2019 hingga 2024.
Pada hari pertama lawatan beliau ke Pahang, Encik Lee telah ke MTCC, yang terletak di Lanchang, Pahang.
MTCC mula beroperasi pada 1 Februari 2022 di mana ia bertujuan meningkatkan pembiakan harimau dan proses mengembalikan harimau ke habitat asalnya.
Encik Lee pernah melawat Pahang pada 2002 ketika beliau menggalas jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam satu catatan Facebook pada 4 Mei, Encik Lee berkata:
“Lawatan saya ini dibina atas momentum pertukaran dua hala yang kukuh dan saya berharap ia akan memperkukuh hubungan pelbagai aspek yang telah lama terjalin antara Singapura dengan negeri-negeri di Malaysia serta barisan pemimpinnya.”
Kunjungan ini juga menyusuli panggilan telefon pada 20 April antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana mereka menekankan kepentingan usaha diplomatik ketika kedua-dua negara itu menumpukan perhatian kepada pengukuhan rantaian bekalan dan daya tahan tenaga di tengah-tengah perang di Timur Tengah.
Encik Lee dijangka melakukan kunjungan ke atas Sultan Abdullah di samping menghadiri santapan tengah hari yang dihoskan Sultan Abdullah pada 5 Mei.
Dalam lawatannya, Encik Lee diiringi isterinya, Cik Lee; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Anggota Parlimen Cik Joan Pereira; dan pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Menurut laporan sebelumnya, kali terakhir Pahang dan Terengganu dikunjungi Menteri Singapura ialah pada 2023 apabila Menteri Pembangunan Negara ketika itu, Encik Desmond Lee, melawat Pahang, manakala mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, melawat Terengganu.
