Pemimpin politik dan perkhidmatan awam Singapura mesti berusaha “jauh lebih keras” untuk mengekalkan kitaran dasar dan tadbir urus yang baik dalam persekitaran global yang mencabar, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Kini, terdapat risiko lebih besar kitaran baik ini akan terjejas, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa perkara tersebut akan menyukarkan langkah menyediakan kemakmuran dan kemajuan bagi rakyat Singapura.

“Kita perlu berusaha jauh lebih keras untuk mengekalkannya, dan memastikan Singapura terus cemerlang. Perkara itu adalah sesuatu yang perlu kita lakukan,” tambahnya.

Berucap pada majlis makan malam tahunan Perkhidmatan Pentadbiran yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 21 April, Encik Lee menggariskan harapan beliau terhadap perkhidmatan awam di depan barisan pegawai tertingginya.

Mereka, katanya, mesti mempunyai keyakinan terhadap dasar yang mereka gubal dan laksanakan.

“Peranan anda bukan sekadar melaksanakan apa sahaja dasar yang diputuskan oleh menteri. Anda mesti mempunyai pandangan, mengambil pendirian, serta mengemukakan usulan bernas dan penuh pertimbangan kepada kepimpinan politik,” jelas Encik Lee.

Seruan beliau ini dibuat ketika dunia sedang mengalami perubahan, manakala sistem antarabangsa menghadapi tekanan.

Singapura telah memanfaatkan sepenuhnya keadaan luaran yang menggalakkan untuk berkembang dan maju dalam tempoh 60 tahun yang lalu, ujar beliau.

Singapura turut mendapat manfaat daripada sistem antarabangsa yang secara umumnya stabil dan berasaskan peraturan, yang diterajui Amerika Syarikat.

Keamanan dan kestabilan berjaya dikekalkan di kebanyakan bahagian dunia, sementara ekonomi serta pasaran baru – khususnya China – mula membuka pintu kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa, ujar Encik Lee.

“Saya tidak percaya 60 tahun akan datang akan sama seperti 60 tahun yang lalu,” kata beliau.

Perubahan kepada aturan global dan cara negara kuasa besar bertindak bermakna kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan akan berkurangan, selain membawa kepada kemerosotan kemakmuran dan kebajikan manusia secara menyeluruh, tambahnya.

“Kehidupan telah menjadi jauh lebih bahaya bagi negara kecil seperti Singapura.”

Menurut Encik Lee, untuk melaksanakan dasar yang baik, negara memerlukan perkhidmatan awam bermutu tinggi, serta barisan menteri yang mampu memberi input politik dan panduan penting bagi penggubalan berkesan.

Meskipun penjawat awam tidak boleh terlibat dalam parti politik, Encik Lee berkata mengambil sikap enggan terlibat dalam politik tidak bermakna mereka harus bersikap berkecuali terhadap hala tuju negara, atau inti pati dasar yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

Mereka tidak boleh bersikap acuh tak acuh sama ada sesuatu dasar itu akhirnya diputuskan atau jika sebaliknya yang dipilih.

Keyakinan seperti ini juga bergantung kepada hubungan mereka dengan menteri, serta memerlukan kestabilan dasar dan hala tuju nasional yang konsisten – sesuatu yang dinikmati Singapura selama ini, tambahnya.

“Kita – baik menteri mahupun penjawat awam – mesti mengekalkan etos kerjasama erat, keyakinan, dan kecemerlangan ini, supaya kita dapat terus menyediakan tadbir urus baik kepada negara,” kata Encik Lee.

Penilaian sama ada sesuatu dasar itu baik atau tidak untuk negara bukan satu pandangan subjektif, katanya.

Sebaliknya, perkara tersebut boleh ditentukan melalui “kajian teliti terhadap isu dan matlamat, analisis logik, pengalaman hidup sebenar, serta pertimbangan bernas”.

“Kita harus membentuk pasukan yang paling berwibawa, yang mempunyai kepakaran dan komitmen, untuk menangani masalah kita dan merangka dasar terbaik untuk negara,” tegas Encik Lee.