Situasi semasa yang melanda dunia dan Singapura secara khusus, memerlukan pendekatan yang lebih adaptif dan lebih mudah dijangka terhadap pembangunan tenaga kerja di sini, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Oleh itu, beliau berkata pembentukan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) yang baru – hasil gabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG) yang kedua-duanya dibentuk pada Oktober 2016 – menjadi semakin penting.

Hal ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah kemajuan teknologi pesat yang dipacu kecerdasan buatan (AI), gejolak geopolitik dan perubahan pada demografi Singapura yang menua, kata beliau semasa membentangkan Rang Undang-Undang SWDA di Parlimen pada 5 Mei.

Rang undang-undang itu telah diluluskan di Parlimen pada hari yang sama.

Dr Tan berkata Singapura perlu menangani cabaran sebegini dan “terus menyesuaikan diri dengan peredaran masa dan realiti baru”.

“Usaha yang membuahkan hasil sedekad lalu memerlukan anjakan ketara, (ke arah hasil) yang lebih diduga serta lebih responsif dan disasarkan bagi masa hadapan.

“Itulah sebabnya pemerintah menyatukan SSG dan WSG, dengan menggabungkan kekuatan yang dijana oleh kedua-dua agensi sepanjang sedekad lalu untuk menjadi penggerak tunggal yang dinaik taraf bagi pembangunan kemahiran dan tenaga kerja.

“Agensi sehenti ini bersedia untuk menyokong rakyat Singapura dan majikan mengharungi era perubahan yang belum pernah terjadi,” ujarnya.

Diumumkan buat kali pertama oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2026 pada Februari, penggabungan dua agensi itu bertujuan menyelaras urusan pekerjaan dan kemahiran bagi rakyat Singapura dengan lebih cekap.

Ketika ini, WSG merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), manakala SSG di bawah Kementerian Pendidikan (MOE).

Dr Tan menggesa agar rakyat Singapura mengambil berat tentang aspek pembelajaran sepanjang hayat dan melihatnya sebagai sesuatu yang berterusan dan “bukannya sumber yang digunakan hanya apabila keadaan memaksa anda untuk berbuat demikian”.

Beliau berkata: “Dalam era AI yang mengubah keperluan pekerjaan dalam kelajuan tidak terjangka sepenuhnya oleh mana-mana institusi, pembelajaran sepanjang hayat dan kesihatan kerjaya mesti menjadi norma dan realiti praktikal.

“Pihak majikan juga harus melabur dalam kesihatan kerjaya pekerja anda, supaya pekerja anda dapat dilengkapi dengan baik untuk menyumbang kepada kejayaan perniagaan.

“Aspirasinya adalah untuk membina tenaga kerja Singapura yang dapat menghadapi perubahan dengan yakin – yang bukan sahaja terjerumus ke arah menangani sesuatu gangguan, tetapi ke arah merebut peluang dek gangguan.”

Sebanyak 21 Anggota Parlimen (AP) tampil memberikan hujah masing-masing dalam perbahasan yang berlangsung selama lebih lima jam. Ini termasuk seorang AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), empat AP Dilantik (NMP), dan 16 AP.

Hujah yang diketengahkan AP merangkumi antara lain penyepadanan pekerjaan, penilaian hasil prestasi dan meningkatkan mutu mahupun bentuk latihan agar ia sesuai dengan pelbagai golongan.

Semasa menggulungkan perbahasan, Dr Tan berkata penubuhan SWDA memperluaskan dan memperkukuhkan ekosistem pengambilan dan latihan kerja, sekali gus memberikan jangkauan lebih holistik.

“Realiti operasi telah berubah dengan begitu ketara, dan kita juga harus berubah.

“Strategi tenaga kerja kami bagi masa hadapan memerlukan sistem menyeluruh yang menghubungkan kemahiran dan pekerjaan secara lebih pantas serta lebih tepat,” ujarnya.

Mentelah, dengan keperluan pekerja dan majikan yang lebih rumit dan pelbagai, perkhidmatan yang ditawarkan juga harus ditingkatkan demi “menyokong penyelesaian inovatif dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan berkualiti”, ujar Dr Tan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), yang bertanya tonggak baru SWDA yang dapat menjangkau fungsi sedia ada bagi SSG dan WSG.

Encik Saktiandi berkata: “Ia berguna bagi warga Singapura untuk memahami bahawa penubuhan SWDA bukan gabungan birokratik semata-mata, tetapi perubahan yang membawa kepada lebih banyak manfaat.”

Dalam pada itu, Dr Tan menyifatkan gabungan SSG dan WSG sebagai satu keputusan yang tepat pada masanya dan bukan satu langkah kembali kepada kewujudan Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA), sebagai menyanggah hujah AP pembangkang, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied).

WDA ditubuhkan pada 2003 bagi memacu latihan dan pembelajaran berterusan, sebelum ia dibahagikan kepada dua agensi iaitu SSG dan WSG pada 2016.

Dalam hujahnya, Encik Giam berkata WSDA “menterbalikkan dasar yang ditetapkan pada 2016 untuk membahagikan WDA”.

Dr Tan berkata: “Penstrukturan yang berlaku pada 2016 membolehkan SSG dan WSG untuk membangunkan keupayaan khusus yang masing-masing berteraskan latihan bagi golongan dewasa dan memudahkan pencarian pekerjaan.”

Akta SWDA ini memansuhkan Akta SSG dan Akta WSG sedia ada, dan meminda undang-undang berkaitan seperti Akta Pendidikan Swasta dan Akta Levi Pembangunan Kemahiran di bawah pentadbiran SWDA, katanya.

Beliau menambah bahawa SWDA akan mula beroperasi pada suku ketiga 2026, dengan pekerja WSG dan SSG sedia ada akan diserap masuk ke dalam SWDA “atas terma yang sejajar dengan terma sediakala”.

Menurut kenyataan MOM pada 5 Mei, SWDA akan menjadi pusat sehenti bagi rakyat Singapura mengakses panduan kerjaya, latihan kemahiran dan sokongan pemadanan kerja.

Agensi baru itu, tambah MOM, dapat memperkasa segenap lapisan golongan pekerja.

Ini meliputi pekerja pertengahan kerjaya, para lulusan dan pekerja warga emas dengan program atau perkhidmatan yang sesuai bagi setiap individu demi memenuhi keperluan kerjaya yang berbeza.

SWDA akan berada di bawah MOM dan diselia bersama dengan MOE. Ketua Eksekutif semasa bagi WSG, Cik Dilys Boey, akan menerajui agensi baru itu.

“Usaha yang membuahkan hasil sedekad lalu memerlukan anjakan ketara, (ke arah hasil) yang lebih diduga serta lebih responsif dan disasarkan bagi masa hadapan. Itulah sebabnya pemerintah menyatukan SSG dan WSG, dengan menggabungkan kekuatan yang dijana oleh kedua-dua agensi sepanjang sedekad lalu untuk menjadi penggerak tunggal yang dinaik taraf bagi pembangunan kemahiran dan tenaga kerja. Agensi sehenti ini bersedia untuk menyokong rakyat Singapura dan majikan mengharungi era perubahan yang belum pernah terjadi.”
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.