Topik diikuti
Pergi ke BHkuRobot manusia sedia dekati masyarakat, kongsi panduan cegah jenayah
Robot manusia sedia dekati masyarakat, kongsi panduan cegah jenayah
Penggunaan dron pintar, kenderaan tanpa pemandu antara usaha Pasukan Polis S’pura manfaat teknologi baru
Robot manusia sedia dekati masyarakat, kongsi panduan cegah jenayah
Sebuah robot manusia atau humanoid baharu akan tampil pada acara mendekati masyarakat anjuran Pasukan Polis Singapura (SPF) tidak lama lagi, di mana orang ramai boleh bergambar atau mendengar kisah pencegahan jenayah yang disampaikan robot tersebut.
Dikenali sebagai Duta Robot Penglibatan Masyarakat, atau Community Engagement Robot Ambassador (Cera), robot itu direka bagi menyampaikan nasihat keselamatan serta demonstrasi pencegahan jenayah secara lebih interaktif.
Cera adalah antara keupayaan teknologi terkini yang diperkenalkan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, semasa Seminar Pelan Kerja SPF pada 22 Mei di Akademi Home Team (HTA).
Seminar itu menyaksikan peluasan keupayaan tanpa pemandu di udara, darat dan laut, bagi meningkatkan keberkesanan operasi pegawai polis, selain penggunaan sistem Kecerdasan Buatan (AI).
Dalam ucapannya, Encik Tong menyifatkan teknologi sebagai pengukuh keupayaan SPF.
“Teknologi bukan sekadar sesuatu yang baik untuk dimiliki SPF.
“Malah, ia adalah pemangkin dan pengganda keupayaan yang diperlukan. Memanfaatkan kuasa teknologi penting dalam memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan ancaman meskipun berdepan sumber tenaga manusia yang terhad,” kata beliau.
Di darat, lebih banyak robot rondaan polis akan dikerahkan secara berperingkat-peringkat mulai 2027 ke beberapa lokasi termasuk terminal lain di Lapangan Terbang Changi serta nod pengangkutan awam terpilih.
Robot tersebut dilengkapi skrin sentuh bagi memaparkan pengumuman khidmat awam dan kandungan mendekati masyarakat.
Ia juga dibina dengan alat bantuan pernafasan Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang boleh digunakan ketika kecemasan melanda, di mana ia boleh digunakan bagi merawat individu yang mengalami serangan jantung mengejut.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan pegawai polis menerusi fungsi sidang video yang tersedia pada robot tersebut.
Menurut SPF, sistem autonomi itu dibangunkan dengan kerjasama Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team (HTX) dan membolehkan operasi dijalankan sepanjang masa untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan sekeliling, memperluas kehadiran polis serta mengurangkan risiko terhadap pegawai menerusi tugasan jarak jauh dan rondaan rutin.
Di udara pula, dron ‘Home Team SkyGuardian’ bersama sistem kotak dron merupakan platform udara tanpa pemandu terkini SPF.
Ia akan mula beroperasi pada Mei 2026 dari lapan lokasi, termasuk Tuas dan Pulau Brani.
Sistem itu meluaskan jangkauan operasi SPF ke kawasan yang mempunyai kehadiran polis terhad seperti zon perindustrian maritim dan kawasan terpencil atau sukar diakses yang mempunyai liputan kamera jalan raya yang minimum.
Keupayaan tersebut turut dimanfaatkan bersama oleh SPF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), termasuk penggunaan kamera dan sistem pengimejan haba definisi tinggi bagi membantu penilaian situasi serta operasi mencari dan menyelamat.
Dron itu juga dilengkapi lampu kecemasan, lampu sorot dan pembesar suara yang boleh digerakkan apabila perlu bagi menyokong operasi di darat dan berkomunikasi dengan orang awam.
Di laut pula, SPF kini sedang menguji kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) untuk melengkapi rondaan maritim dan menyokong tindak balas kejadian bersama kapal berpengendali.
Kapal sepanjang 13 meter itu telah dikerahkan di Selat Johor Barat sejak November 2025 bagi menjalankan operasi rondaan dan pemantauan.
Ia mampu mencapai kelajuan sehingga 40 knot (1 knot bersamaan 1.85 kilometer sejam) dan boleh beroperasi sehingga 15 jam pada satu-satu masa.
Sistem tersebut dijangka memperkukuh operasi keselamatan maritim Polis Pengawal Pantai (PCG) menerusi pemantauan dan usaha pencegahan di perairan Singapura, kata SPF.
