Penggunaan alat bantuan penerbangan berpandukan enjin jet yang membolehkan pegawai polis ‘terbang’ mungkin menjadi pemandangan biasa di perairan Singapura pada masa hadapan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang meneroka teknologi futuristik itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh keupayaan operasi khas di laut, khususnya dalam keadaan mencabar seperti menyerbu kapal musuh.

“Tujuannya membantu pegawai mengekalkan kelebihan taktikal menerusi keupayaan membuat penilaian situasi lebih baik, pergerakan lebih pantas serta unsur kejutan dan tindak balas lebih berkesan,” kata SPF dalam satu kenyataan.

Teknologi tersebut akan digunakan Pegawai Skuadron Tindakan Khas Polis Pengawal Pantai (PCG) di bawah SPF.

Dalam keadaan sedemikian, sistem bersenjata tanpa pemandu atau weaponised unmanned system (WUS) yang berbentuk seperti dron boleh dikerah serentak bagi memberikan tembakan perlindungan kepada pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut.

Sistem bersenjata tanpa pemandu atau ‘weaponised unmanned system’ (WUS) yang berbentuk seperti dron, boleh dikerah bagi memberikan tembakan perlindungan kepada pegawai yang terlibat dalam sebuah operasi.
Sistem bersenjata tanpa pemandu atau ‘weaponised unmanned system’ (WUS) yang berbentuk seperti dron, boleh dikerah bagi memberikan tembakan perlindungan kepada pegawai yang terlibat dalam sebuah operasi. - Foto ST

Alat tersebut boleh diterbangkan langsung ke sasaran bagi membantu operasi seperti menaiki kapal musuh, selain memberi kelebihan dari segi pergerakan dan pandangan lebih jelas di kawasan yang sukar diakses.

Alat seberat sekitar 35 kilogram, dihasilkan syarikat berpangkalan di Britain, Gravity Industries.

Menurut syarikat tersebut, pengguna dikatakan mampu ‘terbang’ selama sekitar tiga minit pada satu-satu masa dengan kelajuan sehingga 137 kilometer sejam.

Alat seberat sekitar 35 kilogram dihasilkan syarikat berpangkalan di Britain, Gravity Industries.
Alat seberat sekitar 35 kilogram dihasilkan syarikat berpangkalan di Britain, Gravity Industries. - Foto ST

Kedua-dua sistem itu merupakan sebahagian rancangan SPF dalam menilai keberkesanan dan kesesuaian penggunaannya dalam operasi khas.

Bercakap mengenai perkembangan tersebut di Pangkalan Brani Polis Pengawal Pantai (PCG) pada 14 Mei, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menyifatkannya sebagai satu ‘lonjakan besar’ dalam memperkukuh keupayaan pasukan Home Team di darat, udara dan laut dalam berdepan ancaman yang kian canggih.

“Sejak beberapa lama, saya telah meminta SPF dan agensi Home Team lain supaya benar-benar mempergiat usaha ke arah ini secara agresif. Pada asasnya, teknologi ini boleh melindungi pegawai kita.

“Ia merupakan satu peningkatan besar berbanding cara pengawasan dijalankan beberapa tahun lalu,” katanya.

“Perkembangan itu dianggap mustahak memandangkan Singapura merupakan sebuah pusat maritim penting,” kata Encik Shanmugam lagi.

Beliau menambah penggunaan teknologi canggih sedemikian sudah lama menjadi sebahagian hala tuju Home Team, namun ancaman keselamatan juga semakin meningkat.

“Anda dapat melihat bagaimana pihak yang mahu mencetuskan kemudaratan menggunakan pelbagai teknologi di seluruh dunia.

“Ancaman keganasan, serangan dan sebagainya, sudah lama wujud dan saya berpendapat ia semakin meningkat,” ujar beliau.

Perkara sama turut dikongsi Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis (SAC), Encik Leon Chan, yang menekankan penggunaan sistem bersenjata dan autonomi sedemikian perlu dikawal menerusi prinsip perundangan yang ketat serta pendekatan berhati-hati.

“Penggunaan sistem bersenjata dan autonomi perlu dikawal melalui prinsip perundangan yang ketat, peraturan penglibatan yang jelas serta langkah perlindungan kukuh bagi memastikan setiap penggunaan kekal sesuai, seimbang dan selamat.

“SPF akan terus mengambil pendekatan bertanggungjawab dan berhati-hati dalam menguji serta melaksanakan teknologi baharu seperti ini, dengan keselamatan pegawai dan orang awam kekal menjadi pertimbangan utama kami,” katanya.

Menurut SPF, ujian bagi kedua-dua sistem tersebut akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang, namun, butiran lanjut mengenai pelaksanaannya belum dikongsi.