Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakaman kesalahan trafik bakal disaring AI mulai Jul 2026
Rakaman kesalahan trafik bakal disaring AI mulai Jul 2026
Inisiatif baru mampu potong masa semakan video orang ramai dari 15 minit ke 6 minit sahaja
Rakaman kesalahan trafik bakal disaring AI mulai Jul 2026
Rakaman video kesalahan trafik yang dihantar orang ramai mungkin akan disaring menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) mulai Julai 2026.
Keupayaan baharu itu, yang dikenali sebagai Analisis Peraturan Lalu Lintas dan Pengiktirafan Pematuhan, atau ‘Traffic Rule Analysis and Compliance Recognition’ (Tracer), merupakan antara beberapa inisiatif AI yang sedang diteroka Pasukan Polis Singapura (SPF), bagi mengurangkan keperluan tenaga manusia dalam memproses kes secara manual.
Ini sekali gus memperkukuh keupayaan operasi mereka, kata SPF dalam kenyataan mereka.
Perkembangan itu berlaku sedang golongan penipu kini menyalahgunakan AI untuk menjadikan penipuan mereka lebih meyakinkan dan berkesan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, semasa Seminar Pelan Kerja SPF di Akademi Home Team (HTA) pada 22 Mei.
“Saya gembira SPF tidak pernah berpuas hati dengan pencapaiannya. Lagipun, penjenayah juga tidak berdiam diri. Walaupun jumlah penipuan dan jenayah siber menurun pada 2025, ancamannya tidak semakin reda.
“Sebaliknya, penipu kini menggunakan AI bagi memperluas dan mempercepat operasi mereka, selain menjadikan penipuan mereka lebih meyakinkan dan berkesan,” kata beliau.
Encik Tong turut menyentuh tentang cabaran kekurangan tenaga manusia yang dihadapi SPF.
“SPF tidak boleh terus menambah bilangan pegawainya tanpa had atau sesuka hati. Dengan demografi Singapura ketika ini, kita tidak boleh hanya menambah lebih ramai pegawai untuk menangani sesuatu masalah.
“Cabaran ini menjelaskan satu perkara: Teknologi bukan sekadar sesuatu yang baik untuk dimiliki SPF. Ia merupakan pemangkin dan pengganda keupayaan yang diperlukan.
“Memanfaatkan kuasa teknologi penting dalam memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan ancaman meskipun berdepan sumber tenaga manusia yang terhad,” ujar beliau.
Tracer, yang merupakan sistem analitik video berkuasa AI, mampu memproses rakaman yang dihantar orang ramai untuk mengenal pasti kesalahan trafik secara automatik dan menandakan masa tepat kesalahan berlaku dalam video tersebut.
Pada masa ini, SPF menerima sekitar 3,000 video dakwaan pelanggaran lalu lintas yang dihantar orang ramai setiap bulan, dengan setiap kes memerlukan kira-kira 15 minit untuk diteliti pegawai polis.
Versi Tracer pada masa ini mampu mengesan kesalahan seperti melintasi garisan putih berkembar, memandu merentasi pembahagi jalan, memandu di pembahagi tengah lebuh raya, melanggar lampu merah serta gagal memberi laluan kepada pejalan kaki.
Ia mengurangkan masa yang diperlukan untuk meneliti setiap kes kepada sekitar enam minit.
Sistem itu juga sedang dipertingkat untuk mengesan pemandu yang gagal memberi isyarat, gagal memberi laluan kepada kenderaan yang menghampiri serta gagal berada di lorong yang betul ketika memandu.
Menurut SPF, keupayaan itu akan dipertimbangkan untuk penggunaan rakaman video lain.
Semasa acara itu, Encik Tong turut diperkenalkan kepada alat AI lain, seperti ‘Investigator Co-Pilot’ atau Pembantu Pintar Penyiasat, yang membantu pegawai penyiasat sepanjang proses pengurusan kes, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada analisis yang lebih kompleks dan hasil siasatan lebih menyeluruh, kata SPF.
Namun, SPF menegaskan pegawai penyiasat tetap membuat keputusan akhir dalam setiap kes bagi memastikan sentiasa wujud penglibatan manusia dalam proses tersebut.
Teknologi lain yang dipamerkan semasa acara itu termasuk ‘Report Lodging Co-Pilot’ (R-COP atau Pembantu Pintar Membuat Laporan), iaitu chatbot berasaskan AI yang membantu orang ramai membuat laporan polis di kios layan diri.
Ia telah diperkenalkan kepada tujuh ibu pejabat divisyen polis darat sejak Oktober 2025 sebelum dibawa ke 21 lagi Pusat Polis Kejiranan sejak April 2026.
Melalui pemahaman konteks dan soalan susulan yang relevan, sistem itu membantu memastikan maklumat penting diperoleh sejak awal, sekali gus mengurangkan keperluan pegawai penyiasat menghubungi semula pelapor untuk mendapatkan penjelasan tambahan.
