SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura guna pendekatan baru bantu rakyat hadapi ekon AI

S’pura guna pendekatan baru bantu rakyat hadapi ekon AI

Belajar sepanjang hayat, sokongan berperingkat dan perkasa keluarga teras strategi untuk kekal relevan
Apr 4, 2026 | 5:30 AM

S’pura guna pendekatan baru bantu rakyat hadapi ekon AI

AI, bherbual, berita harian, pekerjaan, kemahiran, relevan
Bagi membantu peralihan kepada ekonomi berteraskan kecerdasan buatan (AI), pemerintah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit), bimbingan kerjaya serta kerjasama dengan agensi seperti Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). - Foto fail

Dalam landskap pekerjaan yang semakin dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI), memiliki segulung ijazah sahaja tidak lagi menjamin masa depan yang stabil.

Sebaliknya, pendekatan baharu yang lebih menyeluruh – merangkumi pembelajaran sepanjang hayat, sokongan berperingkat lagi menyeluruh dan pemerkasaan keluarga – kini menjadi teras strategi pemerintah dalam memastikan rakyat kekal relevan dalam ekonomi yang pesat berubah.

Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang, berkata perubahan global seperti AI dan ketidaktentuan geopolitik telah mencetuskan keresahan dalam kalangan siswazah.

“Kami tahu kebimbangan utama para lulusan universiti kita ialah sama ada mereka akan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Namun, beliau menegaskan peluang pekerjaan sebenarnya masih luas.

“Kita tahu bahawa terdapat lebih banyak jawatan kosong berbanding pencari kerja.

“Peluang itu ada – cabarannya ialah memahami sektor mana dan bagaimana untuk menembusinya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu podcast BHerbual, Berita Harian (BH) yang turut menampilkan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Podcast tersebut membincangkan cabaran dan peluang yang dihadapi pekerja, termasuk pekerja berpendapatan rendah.

Bagi membantu peralihan ini, pemerintah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit), bimbingan kerjaya serta kerjasama dengan agensi seperti Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Encik Huang turut menekankan bahawa pendidikan kekal penting, tetapi hanya sebagai asas.

“Pendidikan masih penting… tetapi sebahagian besar latihan sebenar datang daripada pengalaman di tempat kerja,” katanya, sambil menggalakkan belia mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang (dua dari kanan) dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) dalam podcast BHerbual yang membincangkan cabaran dan peluang bagi segenap lapisan pekerja. Bersama mereka ialah Koresponden BH, Cik Irma Kamarudin (kiri) dan Encik Anwar Saleh.
Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang (dua dari kanan) dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) dalam podcast BHerbual yang membincangkan cabaran dan peluang bagi segenap lapisan pekerja. Bersama mereka ialah Koresponden BH, Cik Irma Kamarudin (kiri) dan Encik Anwar Saleh. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pendekatan kitaran hayat, mobiliti sosial

Sementara itu, Encik Zhulkarnain menjelaskan Belanjawan 2026 mencerminkan pendekatan kitaran hayat atau ‘life cycle approach’ yang lebih menyeluruh.

Daripada peringkat memasuki pasaran pekerjaan, peningkatan kemahiran, sokongan keluarga hingga persaraan, setiap fasa kehidupan diberi perhatian.

“Pada setiap peringkat kehidupan, individu menghadapi tekanan dan cabaran yang berbeza.

“Maka pendekatan kita bukan sahaja dari segi pekerjaan, tetapi juga kesihatan, pendidikan dan keluarga,” katanya.

Beliau menambah pendekatan ini kini beralih daripada sekadar bantuan sosial kepada pemerkasaan sosial.

“Kita bergerak melebihi bantuan atau sokongan sosial kepada pemerkasaan sosial, kerana keluarga kita juga mempunyai peranan penting dalam mengubah masa depan mereka kepada yang lebih baik,” jelas beliau.

Dalam konteks mobiliti sosial, Encik Zhulkarnain menggariskan tiga matlamat utama.

Yang pertama kestabilan dengan pemerintah menyediakan jaring keselamatan, kedua ialah keupayaan berdikari dengan membolehkan keluarga membina keupayaan sendiri dan yang ketiga ialah mobiliti sosial, iaitu membantu dan menyokong keluarga mendaki tangga kehidupan.

“Kita bukan sekadar tangkap mereka apabila jatuh, tetapi bantu mereka bangun dan bangkit,” katanya.

Belajar sepanjang hayat: Lebih daripada sekadar sijil

Isu pembelajaran sepanjang hayat turut disentuh sebagai kunci utama dalam ekonomi baharu.

Encik Huang mengakui cabaran utama bukan sekadar kesedaran, tetapi masa dan kos.

“Soalan yang bermain di minda pekerja kita ialah, Bagaimanakah saya hendak mencari masa apabila saya mempunyai komitmen keluarga dan pekerjaan?’ Ini satu dilema yang nyata,” katanya.

Justeru, skim seperti elaun latihan, SkillsFuture dan sokongan pencari kerja diperluaskan bagi membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran tanpa tekanan kewangan.

Namun, beliau menegaskan bahawa peningkatan kemahiran tidak semestinya membawa kenaikan gaji serta-merta.

“Kadangkala kita meningkatkan kemahiran hanya untuk kekal relevan… bukan semestinya untuk mendapatkan kenaikan gaji serta-merta,” ujar beliau.

Sebaliknya, pekerja perlu melihat bagaimana kemahiran tersebut boleh menyelesaikan masalah sebenar majikan.

“Apabila anda membawa nilai kepada syarikat, nilai anda sebagai pekerja juga akan meningkat,” tambahnya.

AI dan pekerjaan masa depan

Dalam jangka panjang, tumpuan terhadap AI dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan kewujudan pekerjaan baik di Singapura.

Encik Huang berkata sektor digital dan AI akan menjadi pemacu utama produktiviti dan daya saing global.

“Kita mahu rakyat Singapura bukan sahaja bersaing di pasaran domestik, tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Beliau menggalakkan rakyat memanfaatkan kursus AI di bawah SkillsFuture dan memulakan langkah pertama dalam pembelajaran digital.

Pertumbuhan ekon tetap cipta pekerjaan

Encik Zhulkarnain menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi Singapura tidak akan mengorbankan peluang pekerjaan.

“Kita tidak mengejar pertumbuhan semata-mata… tidak akan ada jobless growth,” tegas beliau.

Beliau menjelaskan bahawa usaha membuka pasaran baharu dan menarik pelaburan akan terus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.

Pada masa yang sama, golongan berpendapatan rendah tidak dipinggirkan melalui program seperti ComLink+, yang menggabungkan sokongan pekerjaan, kesihatan dan keluarga.

Akhirnya, kedua-dua pemimpin itu menekankan bahawa dalam dunia yang berubah pantas, aset paling bernilai bukan lagi kelayakan semata-mata.

“Dua perkara yang tidak boleh diambil daripada anda ialah ilmu dan pengalaman,” kata Encik Zhulkarnain.

“Pendidikan masih penting… tetapi sebahagian besar latihan sebenar datang daripada pengalaman di tempat kerja.” 
Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang.

“Pada setiap peringkat kehidupan, individu menghadapi tekanan dan cabaran yang berbeza. Maka pendekatan kita bukan sahaja dari segi pekerjaan, tetapi juga kesihatan, pendidikan dan keluarga.”
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg