Topik diikuti
Pergi ke BHkuRangkaian sukarelawan pertahanan demi perkukuh penyertaan masyarakat dilancar
Rangkaian sukarelawan pertahanan demi perkukuh penyertaan masyarakat dilancar
SG Defence perkukuh ekosistem relawan, himpun 10 skim untuk wujud kapasiti 400 relawan baharu
Rangkaian sukarelawan pertahanan demi perkukuh penyertaan masyarakat dilancar
Satu rangkaian yang menghimpunkan pelbagai skim sukarelawan pertahanan di bawah satu platform telah dilancarkan dalam usaha memperkukuh penyertaan masyarakat dalam menyokong usaha pertahanan Singapura.
Antaranya, ia menghimpunkan 10 skim sukarelawan awam yang mampu mewujudkan kapasiti bagi hampir 400 sukarelawan baharu.
Ia termasuk dalam peranan seperti pereka kreatif, pembantu penyelidik kandungan, dan pembantu koleksi (bahan pameran) bagi Galeri Perkhidmatan Negara (NS), yang dijadual siap di Dataran NS pada 2027.
Rangkaian sukarelawan tersebut, yang dinamakan Rangkaian Sukarelawan Pertahanan SG, atau SG Defence, bertujuan memperkukuh ekosistem sukarelawan pertahanan Singapura dengan menyatukan sukarelawan daripada Kementerian Pertahanan (Mindef), Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), serta pertubuhan berkaitan di bawah satu identiti bersama.
Berkongsi kepada pihak media semasa pelancaran rangkaian tersebut di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB), yang terletak di Hillview Link, pada 12 Mei, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berkata inisiatif itu mencerminkan keperluan bagi pendekatan seisi masyarakat terhadap pertahanan dalam suasana keselamatan sejagat yang semakin kompleks.
Beliau menukil contoh konflik di Eropah dan Timur Tengah yang menunjukkan bagaimana ancaman masa kini bukan sahaja melibatkan peperangan konvensional.
“Kita melihat bagaimana peperangan maklumat digunakan. Kita juga melihat bagaimana rantaian bekalan boleh terganggu, serta bagaimana ancaman hari ini memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Oleh itu, respons kita dalam situasi sedemikian perlu melibatkan pendekatan seluruh masyarakat. Sebab itulah hari ini kita mengubah paradigma.
“Pada masa yang sama, kami juga menyediakan peluang untuk mereka berkhidmat dengan lebih dekat, bersama-sama anggota perkhidmatan kami dalam SAF,” ujarnya.
Sejauh ini, sekitar 1,500 sukarelawan tentera dan awam menyumbang kepada pertahanan Singapura.
Inisiatif tersebut pernah dikemukakan Encik Zaqy semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 27 Februari.
Sementara itu, SG Defence akan diselaraskan oleh cabang Pendidikan Nasional (NE) Mindef, Nexus.
Menurut Mindef dalam satu kenyataan media pada 12 Mei, SG Defence menawarkan pelbagai peluang yang disesuaikan dengan minat, kemahiran, dan ketersediaan masa yang berbeza-beza.
“Individu yang meminati pelbagai bidang seperti pendidikan, pemeliharaan warisan, reka bentuk kreatif atau sokongan ketenteraan secara langsung, boleh mencari cara bermakna untuk menyumbang kepada pertahanan negara,” ujarnya.
Antara sukarelawan sedia ada di bawah SG Defence adalah pencipta kandungan dan hos, Fauzi Aziz, yang telah berkhidmat sebagai Duta NE sejak lewat 2025.
Beliau berkongsi dengan Berita Harian (BH) pengalaman tersebut mengubah perspektifnya terhadap konsep pertahanan negara.
“Pengalaman saya setakat ini membolehkan saya merumuskan konsep pertahanan di Singapura sebagai sesuatu yang melangkaui dunia ketenteraan, bahkan ia sebenarnya sesuatu yang kita alami dalam kehidupan harian kita,” ujarnya, yang berusia 37 tahun.
Sementara itu, mahasiswa Tahun Ketiga Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Cik Maria Zahid Zahid, pula berminat menggalas peranan sebagai Sukarelawan Acara Kolektif Pertahanan Singapura (DCS), salah satu peranan sukarelawan di bawah SG Defence.
Ketika ditemui BH, Pengerusi Kumpulan Kepentingan Ehwal Semasa (CAIG) SUSS itu berkata peluang tersebut sejajar dengan minatnya dalam bidang geopolitik dan diplomasi.
“Saya sudah biasa menganjurkan acara, jadi saya melihatnya sebagai satu kemahiran yang boleh dipindahkan.
“Jadi, saya melihatnya sebagai satu set kemahiran yang sesuai untuk saya bawa ke dalam peranan acara di DCS,” katanya, yang berusia 25 tahun.
Bagi aspek sukarelawan ketenteraan, skim sukarelawan tentera seperti Kor Sukarelawan SAF (SAFVC) dalam SG Defence akan terus dikembangkan pada tahun-tahun mendatang.
Ia termasuk memperluas peluang penugasan dalam unit SAF melalui semakan keperluan kerahan serta pendekatan latihan bagi membolehkan lebih ramai individu dengan pelbagai kebolehan dan pengalaman menyumbang dengan lebih bermakna.
Semenjak pelancaran SAFVC pada 2014, ia mempunyai sekitar 1,100 sukarelawan.
Dalam pada itu, SG Defence menyasarkan untuk menggandakan jumlah tersebut dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Mengulas lebih lanjut mengenai rangkaian sukarelawan pertahanan tersebut, Encik Zaqy berkata:
“Kami mahu menjadikan (pengalaman menyumbang ini) lebih bermakna… kami galakkan anda untuk tampil kepada kami, dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk memadankan anda dengan peluang yang paling sesuai.”
Individu yang berminat boleh meneroka pelbagai skim sukarelawan dan membuat permohonan melalui portal SG Defence di go.gov.sg/sgdefence.
