Topic followed successfully
Go to BHkuAkauntan tabur bakti, salur dana buat penduduk memerlukan
Akauntan tabur bakti, salur dana buat penduduk memerlukan
Inisiatif CDC North West, Club-100, digerak 750 anggota korporat, individu demi bangkit semangat keluarga pendapatan rendah
Akauntan tabur bakti, salur dana buat penduduk memerlukan
Sejak dahulu lagi, datuk dan bapa, Encik Sallim Abdul Kadir, sering menanam semangat buatnya menyumbang kembali kepada masyarakat.
Datuknya, Encik Mansoor Alkadree, pernah mengendalikan khidmat madrasah sendiri di Jalan Eunos, yang kini tidak lagi wujud, serta menubuhkan Khairat Kematian Telok Kurau dan pernah menjadi Presidennya.
Pertubuhan tersebut masih beroperasi hingga hari ini.
Bapanya, Encik Azarah Falli, pernah menjadi dermawan kepada para pekerja di Hospital Besar Singapura (SGH) yang memerlukan bantuan kewangan.
Kerana inspirasi mereka berdua, Encik Sallim, 71 tahun, seorang akauntan dan karyawan sumber insan mapan, secara semula jadi dikenali sebagai penggerak kegiatan kemasyarakatan di beberapa pertubuhan.
Antara lain, beliau menabur bakti di beberapa pertubuhan seperti Warees Investments, Yayasan Mendaki dan Persekutuan Palsi Serebrum Singapura (CPAS).
Beliau pernah menyelia projek pembangunan hartanah di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui peranannya sebagai Pengarah Warees Investments Pte Ltd.
Beliau juga aktif bersama CPAS dan merupakan ahli Jawatankuasa Perkhidmatan di Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).
Dalam pada itu, lebih sedekad lalu, beliau digalakkan seorang rakan sekerja agar menyertai Club-100 @ North West, wadah di bawah Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West.
Inisiatif itu menyalurkan sumbangan bulanan sekurang-kurangnya $100 daripada individu dan syarikat bagi menyokong penduduk memerlukan.
“Apabila saya mengetahui tentang program itu buat julung-julung kalinya, saya faham dananya membantu masyarakat dengan cara bermakna.
“Program yang dijalankan di bawah CDC ini benar-benar memberi khidmat kepada masyarakat, dan saya teruja inisiatif ini bakal diperluaskan ke kawasan lain.
“Pada masa itu, rakan sekerja saya tertanya-tanya sama ada saya berminat membuat sumbangan wang bulanan kerana beliau sedang mempromosikan Club 100. Saya bersetuju kerana jumlahnya mampu saya tanggung,” kata beliau lagi.
Setakat ini, Club-100 @ North West mempunyai 750 anggota, dengan 75 peratus daripada mereka adalah penderma korporat dan 25 peratus pula merupakan penyumbang individu.
Kira-kira 80 peratus juga telah berikrar menyumbang bagi jangka panjang, dengan pengambilan ahli baharu dilakukan melalui rangkaian anggota sedia ada.
Walaupun masanya banyak dicurahkan kepada pelbagai pertubuhan, Encik Sallim tetap menyumbang dari sudut kewangan bila-bila sahaja berkesempatan berbuat demikian.
“Sumbangan saya digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan, dan ini sangat penting bagi saya,” ujarnya.
Laporan tahunan, serta e-mel suku tahunan, dihantar kepada semua anggota supaya mereka sentiasa mendapat maklumat tentang kesan sumbangan, tambah kenyataan media CDC North West.
Salah seorang penerima dana yang disalurkan di bawah CDC North West ialah Encik Azmi Salam, 55 tahun, penyara keluarga yang bersungguh-sungguh bekerja hingga lewat malam sebagai pengawal keselamatan.
Bagi meringankan beban kewangannya, bapa dua anak itu mendapatkan bantuan daripada Dana Bantuan Kecemasan (ERF) CDC North West.
Beliau ialah bapa seorang anak perempuan yang telah berkahwin dan seorang anak lelaki berkeperluan khas berusia 16 tahun.
Anak bongsunya pula telah meninggal dunia pada 2025.
Menurut Encik Azmi, beliau menerima baucar FairPrice bernilai $300, yang membantunya menampung sebahagian perbelanjaan harian.
“Kami pernah mengalami gangguan bekalan air sebelum ini kerana tidak dapat membayar bil tepat pada masanya.
“Bantuan seperti ini daripada CDC membantu kami membeli ayam, telur, mi segera, dan bahan-bahan keperluan lain. Lantas, ia benar-benar mengurangkan tekanan kami sekeluarga,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai cara menjadi anggota Club-100, lungsuri laman web go.gov.sg/nw-c100.

