Topik diikuti
Pergi ke BHkuRangka kerja perundangan perlu dinilai semula dalam harungi cabaran AI
Rangka kerja perundangan perlu dinilai semula dalam harungi cabaran AI
PM Wong: Pertimbangan manusia tetap menjadi teras utama tegak keadilan
Rangka kerja perundangan perlu dinilai semula dalam harungi cabaran AI
Rangka kerja perundangan di Singapura tidak direka untuk dunia di mana mesin boleh membuat keputusan penting.
Negara ini juga perlu memikirkan semula andaian asas mengenai tanggungjawab, liabiliti dan kebertanggungjawapan pada masa hadapan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 13 Mei.
Namun begitu, ketika masyarakat bergelut dengan persoalan sedemikian dan memanfaatkan teknologi, jelas undang-undang pada akhirnya tetap bergantung kepada pertimbangan manusia, tambah Encik Wong, ketika berucap di Forum Belia, SGLaw200, di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh prinsip yang mendasari sistem perundangan Singapura, bidang bagi sistem tersebut boleh diperbaiki serta kedaulatan undang-undang antarabangsa.
Acara sempena ulang tahun ke-200 sistem perundangan Singapura itu dianjurkan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Encik Wong berkata kecerdasan buatan (AI) sedang berkembang lebih pantas daripada kemampuan sistem perundangan di seluruh dunia untuk menyesuaikan diri.
Akibatnya dapat dilihat melalui penipuan yang semakin canggih, ‘deepfake’ (pemalsuan mendalam), yang boleh memusnahkan reputasi dalam sekelip mata, serta penyebaran maklumat palsu secara pantas.
“Ini bukan risiko hipotesis. Ia sudah pun berlaku,” kata Encik Wong.
Berhubung semakan undang-undang Singapura dalam era AI, Encik Wong berkata proses itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Merujuk kepada masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan berbilang agama, beliau berkata kestabilan adalah satu “keperluan asas untuk kewujudan”, yang tanpanya, Singapura tidak akan wujud.
Menurut Encik Wong, realiti ini telah membentuk pendekatan Singapura terhadap kedaulatan undang-undang, dengan penekanan diberikan kepada usaha melindungi kepentingan awam yang lebih luas, dan pemerintah mempunyai keupayaan untuk bertindak secara tegas dan pantas apabila keadaan memerlukannya.
“Tetapi kuasa ini bukan tanpa batas.
“Ia dilaksanakan dalam satu sistem institusi yang kukuh – badan kehakiman yang bebas, perkhidmatan awam yang profesional dan tidak berat sebelah, serta pilihan raya bebas dan adil secara berkala,” kata beliau.
Kunci kepada institusi ini adalah mengekalkan keseimbangan antara sistem yang cukup kuat untuk mentadbir dengan berkesan dan cukup terkawal untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa, ujar Encik Wong.
Beliau menambah: “Keseimbangan ini hanya berfungsi kerana adanya kepercayaan.
“Rakyat Singapura percaya pemerintah yang mereka pilih akan menggunakan kuasanya secara bertanggungjawab.
“Pemerintah pula bertanggungjawab kepada rakyat atas cara kuasa tersebut digunakan.”
Dalam pada itu, Encik Wong turut menekankan peranan Pejabat Peguam Bela Awam (PDO) dalam memastikan akses yang lebih baik kepada keadilan bagi individu yang dituduh tetapi tidak mampu mendapatkan perwakilan guaman.
Ditubuhkan pada 2022, PDO menyediakan bantuan pembelaan jenayah kepada golongan rentan yang mempunyai sumber kewangan terhad dan berdepan pertuduhan bukan melibatkan hukuman mati.
Beliau berkata walaupun Singapura mampu membina sistem perundangan terbaik di dunia, ia tidak membawa banyak makna kepada rakyat biasa jika sistem tersebut sukar dicapai oleh mereka.
“Sesuatu sistem hanya berfungsi jika rakyat biasa Singapura dapat menggunakannya untuk mencari keadilan dan menuntut hak mereka,” tambah Encik Wong.
