Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong dedah usul wujudkan stok bahan api serantau di peringkat awal
PM Wong dedah usul wujudkan stok bahan api serantau di peringkat awal
Sidang Kemuncak Asean tekan kepentingan kerjasama hadapi dunia bergolak, urus gangguan geopolitik
PM Wong dedah usul wujudkan stok bahan api serantau di peringkat awal
CEBU (Filipina): Asean akan lebih berupaya mencorak hasil menggalakkan dan mengurus gangguan serta kejutan dalam dunia yang semakin berpecah-belah apabila ia bekerjasama sebagai satu blok yang bersatu-padu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 9 Mei.
Perpaduan itu dinyatakan dengan jelas oleh semua pemimpin kumpulan 11 anggota Asean itu pada 8 Mei, dengan semua pihak bersetuju tentang keperluan mendesak untuk memastikan Asean kekal kuat dan bersatu serta terus memajukan usaha perpaduan, tambah beliau.
Pemimpin Asean bahkan telah mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai situasi di Timur Tengah dan juga deklarasi mengenai kerjasama maritim pada akhir Sidang Kemuncak Asean yang berlangsung selama sehari di Cebu.
Ketika ditemui media Singapura di akhir lawatannya, Encik Wong berkata: “Kami telah mengadakan perbincangan yang jujur mengenai sifat konflik yang kami hadapi.
“Kami memberi tumpuan kepada cabaran yang ada, dan semua pihak bersetuju kami perlu melakukan lebih lagi untuk memperkukuh daya tahan kolektif kami, terutamanya dalam memantapkan keselamatan tenaga dan makanan.
“Jadi, ia merupakan satu pertemuan yang sangat membuahkan hasil.”
Beliau menambah, semangat satu hati dan perpaduan Asean akan menjadi lebih penting dalam persekitaran sejagat baru yang dicirikan oleh landskap geopolitik yang lebih berpecah-belah dan berdaya saing.
“Ia bukan lagi lebih pada peraturan tetapi lebih kepada kuasa. Ia bukan lagi tentang ekonomi tetapi lebih kepada keselamatan. Ia bukan lagi tentang kecekapan tetapi lebih kepada daya tahan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan perbincangan mengenai stok simpanan bahan api serantau Asean masih di peringkat awal, dan akan diteruskan jika idea itu berbaloi untuk diteruskan.
Menurut Encik Wong, stok simpanan bahan api serantau adalah salah satu idea baru yang dibangkitkan pada mesyuarat itu.
Menurutnya, Asean mempunyai stok simpanan beras, yang melibatkan negara anggota serta China, Jepun dan Korea Selatan.
Di bawah Rizab Beras Kecemasan Asean Plus Three, beras disimpan untuk pelepasan segera semasa bencana tanpa mengganggu harga pasaran.
“Jadi persoalannya, adakah kita dapat melakukan sesuatu yang serupa untuk tenaga, sama ada dalam Asean atau dengan rakan kongsi luar.
“Ia adalah idea yang telah dibincangkan secara ringkas dalam kalangan pemimpin, tetapi ia belum dihuraikan sepenuhnya,” ujar Encik Wong.
Perbincangan itu akan diteruskan pada Sidang Kemuncak Asean seterusnya, yang dijangka pada November 2026 di Manila, dan mungkin di Singapura pada 2027, apabila negara ini mengambil alih sebagai Pengerusi Asean, tambahnya.
Ditanya sama ada pemimpin Asean komited terhadap garis masa yang konkrit untuk merasmikan perjanjian mengenai keselamatan petroleum, rantaian bekalan intra-Asean dan realisasi grid kuasa serantau yang dipercepatkan, Encik Wong berkata terdapat konsensus yang jelas perjanjian itu harus disahkan dengan segera.
