Meskipun perkataan mungkin tidak mudah diungkapkan oleh Muhammad Nuh Alfian, 8 tahun, emosinya sering jelas kelihatan.

Ia kadangkala muncul dalam bentuk kekecewaan, tangisan, atau diam.

Rumah sewa dua bilik mereka di Sin Ming Avenue menjadi saksi kepada detik-detik ibunya, Cik Nadia Tukiran, 28 tahun, menenangkan anaknya ketika berlaku ledakan emosi.

“Kalau dia buat perangai, dia akan lempar barang, jadi marah dan hentak kaki.

“Saya akan tarik tangan dia, peluk dia dan tanya kenapa. Saya akan terangkan kepadanya untuk tenangkan diri. Selepas itu, dia akan perlahan-lahan bertenang.

“Saya peluk dia lebih kurang setengah jam, sampai dia betul-betul tenang,” ujarnya kepada Berita Harian (BH), seorang suri rumah.

Disahkan mengalami kelewatan pertuturan pada usia empat tahun, Alfian menghadapi kesukaran untuk meluahkan dirinya dan sering bersikap pendiam serta sukar bergaul baik di rumah mahupun di sekolah.

Namun, Cik Nadia mula melihat perubahan kecil sejak anak kedua daripada empat beradik itu menyertai sesi terapi bermain dan program sukan anjuran REACH Community Services pada September 2025.

Semasa di sesi terapi bermain, Alfian akan terlibat dalam aktiviti seperti bermain dengan mainan dan menggunakan dulang pasir untuk meneroka pelbagai bentuk.

Selain itu, dalam program sukan, Alfian turut menyertai permainan seperti sukan bola lantai, atau floorball, bersama rakan-rakannya di sana.

Alfian menyertai program tersebut di Pusat Perkhidmatan Keluarga REACH @ Sin Ming, yang terletak di Sin Ming Avenue.

Dia merupakan benefisiari kedua-kedua program tersebut, yang kini dijalankan secara berasingan.

Namun, kedua-dua program itu akan digabungkan di bawah inisiatif baharu, Projek GEMinate, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Inisiatif tersebut diketengahkan semasa lawatan Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Pusat Perkhidmatan Keluarga REACH @ Sin Ming sempena Cabaran Presiden 2026 pada 30 April.

Projek GEMinate bertujuan untuk menyokong kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang mungkin pernah mengalami pengalaman zaman kanak-kanak yang mencabar melalui terapi bermain dan program sukan masyarakat.

Ini dengan membantu mereka membina daya tahan, keyakinan diri serta kesejahteraan emosi.

Semasa lawatan ke Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Reach di Sin Ming Avenue pada 30 April, Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri) bersama isterinya, Puan Jane Ittogi (dua dari kiri) telah diperkenalkan kepada komponen terapi bermain inisiatif Projek GEMinate, termasuk peluang untuk mencuba alat terapi berkenaan.
Semasa lawatan ke Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Reach di Sin Ming Avenue pada 30 April, Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri) bersama isterinya, Puan Jane Ittogi (dua dari kiri) telah diperkenalkan kepada komponen terapi bermain inisiatif Projek GEMinate, termasuk peluang untuk mencuba alat terapi berkenaan. - Foto ZAOBAO

Selain diberi taklimat mengenai pelbagai program di REACH Community Services, lawatan tersebut merangkumi sesi di gelanggang sukan di mana mereka berpeluang berinteraksi dengan kanak-kanak, ibu bapa, dan jurulatih dalam komponen sukan Project GEMinate itu.

Semasa sesi bertemu media, Presiden Tharman berkata inisiatif Program GEMinate itu akan disokong oleh Cabaran Presiden mulai 2026.

“Melalui gabungan sukan dan terapi bermain, program ini membantu kanak-kanak membina keyakinan diri, daya tahan serta kemahiran sosial.

“Matlamatnya adalah untuk membantu mereka mengatasi cabaran emosi pada peringkat awal sebelum ia menjadi lebih berakar umbi. Kanak-kanak juga mempelajari kemahiran baharu, membina persahabatan dan yang paling penting, membentuk keyakinan terhadap diri sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, inisiatif sebegitu turut melibatkan individu yang berdedikasi seperti pekerja sosial, pekerja belia dan ahli terapi, selain sukarelawan yang membawa kemahiran serta empati dan belas ihsan mereka sendiri.

“Apabila kita menyokong program seperti GEMinate, kita juga sebenarnya menyokong mereka yang menjadikan impak berterusan itu satu kenyataan.

“Mereka menjadikan usaha meningkatkan kehidupan golongan kurang bernasib baik satu kenyataan,” kongsi Tuan Presiden.

Menjelaskan bahawa detik perubahan paling ketara mula dilihat sekitar Februari 2026, ibu kepada empat orang anak itu berkata:

“Sekarang dia lebih selesa, dia boleh cakap dan luahkan perasaan dia. Contohnya, bila balik rumah dia akan cerita ‘Mama, tadi adik main bola, main floorball’.”

“(Aktiviti) di sekolah pun sama, dia akan cerita apa yang dia buat, kerja rumah dia, dan dia juga akan kongsi apa yang dia makan dengan kami.”

“Dulu, dia tidak sebegini, dia diam sahaja dan tidak banyak berkongsi apa-apa. Bila tanya pun, dia akan jawapan sepatah-sepatah.”

Menyentuh tentang penglibatan anak keduanya, Muhammad Nuh Alfian, Cik Nadia Tukiran (kanan) mendapati dia kini lebih yakin dan mampu mengurus emosi serta meluahkan perasaan dengan lebih baik.
Menyentuh tentang penglibatan anak keduanya, Muhammad Nuh Alfian, Cik Nadia Tukiran (kanan) mendapati dia kini lebih yakin dan mampu mengurus emosi serta meluahkan perasaan dengan lebih baik. - Foto ZAOBAO