Melihat ayahnya berjuang untuk pulih daripada serangan angin ahmar pada 2025 menyuntik semangat baru kepada pemain bola muda, Ilhan Hady Rezal.

Penjaga gol berusia 16 tahun itu, kini beraksi bersama Lion City Sailors U-17, mengakui beliau kini lebih terdorong mengejar impiannya mewakili Singapura di peringkat senior suatu hari nanti, bukan sekadar demi kerjayanya, tetapi juga untuk membanggakan ayahnya bekas penjaga gawang negara Rezal Hassan.

“Saya fikir dengan lebih mendalam tentang kerjaya saya sejak kejadian itu. Saya cuma mahu buat ayah bangga dan harap satu hari nanti beliau boleh lihat saya berjaya di tahap yang lebih tinggi,” kata Ilhan kepada Berita Harian (BH).

Rezal, bekas jurulatih penjaga gol kebangsaan yang cukup dikenali dalam masyarakat bola sepak tempatan, masih menjalani proses pemulihan selepas diserang angin ahmar pada September 2025.

Keadaannya menyebabkan beliau tidak lagi mampu bekerja atau menjalankan aktiviti harian seperti dahulu.

Ilhan turut berkongsi detik mencemaskan ketika insiden itu berlaku di rumah mereka.

Dia sepatutnya ke latihan bola sepak pada hari tersebut, tetapi mujur dia berada di rumah semasa kejadian tersebut.

“Saya tiba-tiba dengar ayah panggil nama saya. Apabila saya masuk bilik, saya nampak beliau sudah terbaring di depan tandas. Masa itu saya sangat terkejut dan tak tahu apa keadaan sebenarnya,” katanya.

Dia segera menghubungi ibunya sebelum mereka bersama-sama mendapatkan bantuan membawa Rezal ke Hospital Besar Changi (CGH) dan kemudian Hospital Besar Singapura (SGH) bagi rawatan lanjut.

Disebabkan had pelawat di hospital, Ilhan tidak dapat melawat bapanya pada hari pertama, namun mengakui fikirannya dipenuhi pelbagai kebimbangan.

“Banyak perkara bermain di fikiran saya. Di sekolah, saya cuba fokus, tapi ada masa saya teringat semula kejadian itu,” ujarnya.

Sejak kejadian tersebut, kehidupan keluarga mereka berubah dengan ketara.

Rezal kini memerlukan perhatian dan sokongan berterusan, termasuk menjalani sesi terapi dan rawatan pemulihan.

Walaupun Ilhan mempunyai jadual yang padat dengan latihan dan pelajaran, dia berusaha meluangkan masa untuk membantu ibunya menjaga bapanya.

Dalam tempoh mencabar itu, sokongan daripada masyarakat bola sepak tempatan menjadi sumber kekuatan besar buat keluarga mereka.

Satu perlawanan amal yang dianjurkan pada 18 April berjaya menarik kehadiran ramai rakan, bekas pelatih, jurulatih dan kenalan lama.

Sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan keluarga. Kutipan dana yang dijalankan turut mencatatkan jumlah memberangsangkan.

Daripada sasaran awal $5,000, jumlah sumbangan telah meningkat dengan ketara dan setakat 24 April, ia telah mencecah $23,521.

Ibu Ilhan, Suhaila Mohd Sahari, 49 tahun, berkata mereka amat tersentuh dengan sokongan yang diterima dan tidak menjangkakan sambutan sedemikian.

“Bagi kami, dapat jumpa kawan-kawan lama pun sudah cukup bermakna. Tapi sokongan yang datang ini memang luar jangkaan dan saya sangat teruja” ujarnya.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan dan kos pemulihan Rezal, selain membantu perbelanjaan harian keluarga.

Kakak pertama Ilhan, Maya Irdina, 21 tahun, bakal menamatkan pengajian beliau di Politeknik Temasek (TP) dan kakak keduanya, Myra Izzati, 18 tahun, merupakan pelajar TP tahun kedua.

Ilhan juga mempunyai seorang adik, Melia Athirah, seorang pelajar menengah dua di CHIJ Katong Convent.

Dana terkumpul itu juga akan memberi sokongan kewangan kepada Rezal yang kini tidak dapat menjana pendapatan daripada peranannya sebagai jurulatih, serta memenuhi keperluan penjagaan jangka panjangnya.

Ilhan Hady Rezal (kiri) berkata ayahnya, bekas penjaga gawang Singapura, Rezal Hassan (kanan), banyak membantu membentuk dirinya sebagai penjaga gawang. Bapanya membimbingnya sejak beliau seawal tiga tahun.
Ilhan Hady Rezal (kiri) berkata ayahnya, bekas penjaga gawang Singapura, Rezal Hassan (kanan), banyak membantu membentuk dirinya sebagai penjaga gawang. Bapanya membimbingnya sejak beliau seawal tiga tahun. - Foto ihsan ILHAN HADY REZAL

Walaupun masih dalam proses pemulihan, Rezal tetap menunjukkan minat terhadap perkembangan anaknya di padang, termasuk menonton perlawanan Ilhan bersama keluarga di rumah.

Malah, menurut Ilhan, bapanya masih mampu memberikan nasihat apabila diperlukan, walaupun dalam suasana lebih santai.

“Beliau masih ‘kritik’, tapi lebih kepada gurauan. Tapi apabila saya perlukan nasihat, beliau masih boleh beri pandangan yang baik,” katanya.

Ilhan, yang bermula bermain bola sepak seawal tiga tahun, turut mengakui bahawa didikan bapanya yang tegas sebelum ini banyak membantu membentuk dirinya hari ini.

Ilhan kini merancang menyelesaikan peperiksaannya sebelum menjalani perkhidmatan negara (NS) lebih awal, diikuti dengan perancangan menyambung pelajaran dan, jika berpeluang, beraksi di luar negara.

Namun satu perkara kekal menjadi keutamaannya – melihat bapanya kembali pulih.

“Saya harap beliau teruskan pemulihan dan, insyaAllah, dalam beberapa tahun lagi boleh kembali berjalan dan melakukan perkara seperti biasa,” katanya.