Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeni kraf tangan kembali popular sebagai hobi penenang
Seni kraf tangan kembali popular sebagai hobi penenang
Seni kraf tangan kembali popular sebagai hobi penenang
Dalam dunia serba digital, perkara pertama yang lazim seseorang lakukan untuk berehat adalah menatap skrin telefon pintar.
Namun, kegiatan tersebut ada hadnya dan lama-kelamaan, ia tidak lagi terasa seperti satu bentuk rehat yang sebenar.
Sering kali, tabiat itu meninggalkan perasaan kosong kerana masa yang diluangkan hanya sekadar diisi dengan lambakan kandungan yang kemudian dilupakan begitu sahaja.
Mungkin itulah sebabnya ramai mula beralih kepada kegiatan yang menuntut sedikit komitmen, namun memberi kepuasan dan ketenangan daripada hiruk-pikuk kehidupan, seperti menghasilkan kraf tangan.
Sejak kebelakangan ini, minat terhadap kegiatan menggunakan tangan (hands-on) kian meningkat, lapor The Straits Times (ST).
Pasaran seni dan kraf di Singapura dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.7 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2032, lapor firma penyelidikan pasaran India, 6Wresearch, pada Mac.
Data kajian kecerdasan budaya oleh wadah penjualan tiket, Eventbrite, pada Januari 2025 menunjukkan peningkatan 34 peratus dalam penyenaraian bengkel pembuatan aksesori perhiasan peribadi dan lonjakan 44 peratus bagi bengkel mengait pada 2024.
Di Google Trends, istilah seperti kit tebuk jarum (punch needle kit) dan kelas membuat tembikar menunjukkan lonjakan dari akhir 2023 sehingga 2025, terutama menjelang penghujung tahun dan musim cuti.
Minat baru itu, yang sebelum ini dianggap sebagai satu hobi terlalu khusus atau ketinggalan zaman, kini dianggap sebagai cara menenangkan diri, mengasah daya tumpuan dan menjauhkan diri daripada skrin.
Daya tarikannya bukan hanya terletak pada seni yang dihasilkan, malah, pada kepuasan dalam proses penghasilan itu sendiri.
Berikut beberapa seni kraf tangan yang boleh dicuba.
Seni jarum oleh Craft Club
Kraf berasaskan jarum merupakan antara hobi amali yang paling mudah dimulakan, terutama kerana ia tidak memerlukan peralatan rumit.
Kebanyakan cabang seni itu hanya bergantung pada alat asas – seperti jarum atau cangkuk, benang dan fabrik – dengan teknik mudah seperti membuat gelung, jahitan dan membuat corak.
Sebaik sahaja teknik asas dikuasai, anda dapat terus berkarya tanpa perlu merujuk kepada arahan langkah demi langkah secara berterusan.
Untuk mencuba seni jarum mengikut masa anda sendiri – tanpa perlu melangkah keluar rumah – jenama kit kraf dari Australia, Craft Club, ada penyelesaiannya.
Jenama itu menyediakan khidmat penghantaran ke Singapura, sekali gus memudahkan anda mendapatkan bahan bermutu tanpa perlu mengusutkan fikiran.
Craft Club memberi tumpuan kepada kraf berasaskan jahitan, dengan pilihan mesra pemula seperti kit sulaman dan jahitan silang (cross-stitch).
Setiap set dilengkapi dengan barangan keperluan fabrik atau kanvas dengan cetakan corak, benang, jarum, serta panduan.
Kos penghantaran ke Singapura bermula daripada $8.95 dan lazimnya mengambil masa antara satu dengan dua minggu.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, craftclubco.com
Seni ‘lampworking’ di Gurasu House
Terokai sisi kreatif anda dengan ‘bermain api’ secara selamat melalui teknik ‘lampworking’.
Teknik seni kaca itu melibatkan proses memanaskan rod kaca di atas peniup api (torch) sebelum membentuknya menjadi hiasan kecil terperinci, seperti bunga atau aksesori perhiasan peribadi.
Ditubuhkan pada Januari 2025, Gurasu House merupakan studio pertama di Singapura yang menawarkan bengkel ‘lampworking’, yang mampu memuatkan sehingga 14 peserta dalam satu sesi.
Sesi pengenalan berlangsung selama kira-kira dua jam, yang memberi tumpuan kepada teknik asas membuat bentuk ringkas seperti bunga kaca dengan kelopak bulat.
Dalam bengkel bunga ($158), peserta berpeluang mempelajari cara mengendalikan dan melebur rod kaca, membentuk kelopak, serta memasang hasil kerja mereka menjadi sekuntum bunga atau jambangan kecil.
Pilihan bengkel lain termasuk pembuatan cincin kaca (bermula $189), serta pembuatan straw dan alat pengacau minuman kaca ($138).
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, gurasuhouse.com
Hasilkan perhiasan aksesori peribadi di Artisan8 Studio
Jika anda ingin menghasilkan sesuatu yang kecil namun bermakna, perhiasan aksesori peribadi adalah titik permulaan paling sesuai.
Di Artisan8 Studio, peserta boleh menghasilkan rantai ($100), cincin ($100) atau anting-anting ($148) dalam sesi yang berlangsung selama dua hingga tiga jam.
Bengkel itu memberi tumpuan kepada teknik anyaman manik, dengan manik-manik kecil bersaiz sama dijahit untuk membentuk corak rata seperti grid.
Sesi itu direka khusus untuk pemula dan terbuka kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas.
Setiap hasil kerja yang siap akan dipadankan dengan rantai saduran emas atau perak untuk melengkapkan gaya.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, artisan8studio.com
