SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PM Wong: Pemerintah akan tangani keprihatinan kesan konflik Timur Tengah

PM Wong: Pemerintah akan tangani keprihatinan kesan konflik Timur Tengah

Prihatin kesan pada harga barangan, tenaga, rantaian bekalan jika konflik berlarutan
Mar 28, 2026 | 6:54 PM

PM Wong: Pemerintah akan tangani keprihatinan kesan konflik Timur Tengah

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata pemerintah akan memberikan kemas kini mengenai cara-cara yang bakal diambil untuk menangani kesan konflik di Timur Tengah, semasa sidang parlimen akan datang.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata pemerintah akan memberikan kemas kini mengenai cara-cara yang bakal diambil untuk menangani kesan konflik di Timur Tengah, semasa sidang parlimen akan datang. - Foto ST

Pemerintah Singapura akan berkongsi bagaimana ia sedang bersedia menghadapi semua kemungkinan berhubung perang di Iran dan bagaimana keadaan itu menjejas ekonomi di sidang parlimen pada 7 April, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini termasuk cara-cara untuk memperkukuh daya tahan tenaga dan rantaian bekalan Singapura, kata beliau, menambah.

Buat masa ini, kebanyakan keprihatinan yang timbul berhubung konflik yang sedang berlangsung adalah kesannya terhadap harga barangan,” kata Encik Wong.

“Tapi, kita juga prihatin mengenai apa yang boleh berlaku jika keadaan di Timur Tengah berterusan bagi jangka yang berlanjutan, atau jika ia kian meruncing.”

Encik Wong berkata demikian semasa bercakap kepada media Singapura di Hong Kong pada 28 Mac untuk menggulung lawatannya ke China.

Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, mengundang serangan balas dari Iran yang kini telah menjejas laluan perkapalan menerusi Selat Hormuz.

Sekitar 20 peratus bekalan minyak mentah sedunia melalui selat tersebut.

Sekatan di selat tersebut telah menjejas bekalan minyak sedunia, menyebabkan harga barangan melonjak, dengan perniagaan yang terjejas menyalurkan kos yang meningkat kepada pengguna. Urutan kejadian ini boleh menyebabkan kadar inflasi meningkat, dengan negara-negara yang tidak terbabit dalam konflik, termasuk Singapura turut terjejas.

Ditanya sama ada pemerintah bercadang untuk menyediakan sebarang peruntukan segera untuk mengurangkan kesan ini terhadap warga Singapura, Encik Wong berkata pemerintah sedang mengawasi keadaan ini dengan teliti – dari segi bagaimana keadaan sedang berkembang di Timur Tengah dan bagaimana ia mendatangkan kesan ke atas ekonomi Singapura.

Beliau memberi amaran bahawa kesan terhadap ekonomi tidak akan terhad kepada harga tenaga yang bertambah semata-mata, jika Selat Hormuz terus disekat lebih lama.

“Kita perlu mengambil kira kesan yang hebat terhadap rantaian bekalan, ke atas pasaran tenaga, yang akan mempunyai kesan hebat ke atas ekonomi sedunia dan juga ke atas Singapura,” kata Encik Wong.

“Ini termasuk bekalan susulan dalam industri yang amat berbeza, bukan sahaja dalam pasaran minyak malah minyak diesel yang digunakan oleh banyak industri dan bahan api jet, yang digunakan dalam penerbangan.”

Menambah, Encik Wong berkata: “Pegawai kami sedang gigih berusaha untuk membuat persiapan menghadapi apa sahaja yang boleh berlaku dan untuk meneroka cara-cara memperkukuh daya tahan tenaga dan rantaian bekalan kita.”

Encik Wong berkata ada peluang di sidang parlimen akan datang untuk memberikan lebih banyak kemas kini.

Pada 18 Mac, Encik Wong berkata Pemerintah bersedia mengadakan langkah sokongan melebihi apa yang diumumkan semasa Belanjawan 2026 jika ada keperluan berlatar keadaan di Timur Tengah.

Singapura memiliki sumber untuk berbuat demikian dengan tegas dan segera, kata beliau pada ketika itu.

Bantuan yang telah diumumkan di Belanjawan 2026 termasuk rebat bil air api dan pelbagai bantuan untuk perniagaan.

Encik Wong berkata beliau telah mengadakan beberapa perbincangan sejak beberapa hari lalu, antara lain dengan pemimpin Malaysia, Hong Kong, Australia dan New Zealand berhubung keadaan di Iran.

Semua pihak di Asia amat prihatin, kata Encik Wong.

Sementara orang di rantau ini berharapan agar perbincangan yang sedang diadakan boleh menyebabkan keadaan menjadi kurang tegang dan menimbulkan huraian untuk krisis tersebut, tetap ada keperluan untuk membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan, kata beliau lagi.

“Bagi negara-negara Asia yang kebanyakannya merupakan pengimport tenaga, kita tidak mempunyai banyak huraian yang baik kerana kita bergantung pada tenaga yang diimport/

“Di Singapura, seberapa banyak yang termampu, kita akan meneroka bagaimana kita boleh mempelbagaikan sumber bekalan dan menjamin daya tahan rantaian bekalan tenaga kita.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg