Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Kepimpinan berpengalaman pemerintah jadi tumpuan dalam hadapi ketidaktentuan sejagat
Pengamat: Kepimpinan berpengalaman pemerintah jadi tumpuan dalam hadapi ketidaktentuan sejagat
Pemimpin 4G bukti keupayaan dalam sekitaran tidak menentu akan terus diuji; tumpuan pada kepimpinan WP susuli pelucutan jawatan Ketua Pembangkang
Pengamat: Kepimpinan berpengalaman pemerintah jadi tumpuan dalam hadapi ketidaktentuan sejagat
Pendekatan pemerintah pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam mengemudi Singapura melalui fasa mencabar setahun selang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) kini menjadi perhatian, terutamanya dari segi kesiapsiagaan dan kecekapan kepimpinannya.
Penganalisis yang dihubungi Berita Harian (BH) berpendapat bahawa di sebalik pelbagai tekanan domestik dan antarabangsa, pemerintah telah mengambil langkah-langkah proaktif.
Antara contoh yang diketengahkan termasuk penubuhan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) serta Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) bagi menangani impak konflik di Timur Tengah.
Langkah itu dilihat sebagai tindak balas terhadap persekitaran sejagat yang semakin tidak menentu, sekali gus menyusuli komitmen yang digariskan semasa kempen GE2025.
Memberi penilaian setahun selepas mandat tersebut diberikan, para pengamat berpandangan pengalaman sedia ada telah membantu pemerintah dalam aspek pengurusan krisis.
Keputusan pilihan raya lalu juga ditafsirkan sebagai kecenderungan pengundi untuk mengekalkan kepimpinan yang dianggap mempunyai kestabilan dan pengalaman bagi menghadapi cabaran luar yang dinamik.
Menurut Zamil Penyelidik Kanan Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Gillian Koh, konteks GE2025 sangat dipengaruhi oleh faktor luaran, termasuk pengumuman tarif perdagangan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang membawa risiko gangguan ekonomi kepada Singapura.
“Jelas sekali bahawa rakyat Singapura telah mengundi kepimpinan yang teguh untuk menerajui negara mengharungi cabaran yang didorong oleh cabaran luaran ini.
“Sert telah ditubuhkan pada 8 April (2025) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perdagangan, Encik Gan Kim Yong, untuk membangun pelan tindakan baharu bagi pembangunan ekonomi Singapura di bawah perubahan prospek perdagangan dan pelaburan di seluruh dunia hasil daripada (tarif itu).
“Dalam mempromosikan perkara ini melalui kempen GE, PM Wong memberi isyarat bahawa (pemerintahnya) mempunyai orang yang tepat untuk mengambil tindakan tegas dalam hal ini,” jelas Dr Koh.
Pensyarah (Hubungan Antarabangsa) dari Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, berpendapat meskipun sesetengah pihak mungkin telah mengkritik mesej kempen GE2025 PAP yang menyatakan ia boleh mengemudi Singapura dalam landskap sejagat yang jauh lebih berbahaya, ini menunjukkan kebolehan parti tersebut berpandangan jauh.
“Walaupun sesetengah pihak mengkritik mesej sedemikian sebagai mencetuskan kebimbangan, ia juga boleh ditafsirkan sebagai mencerminkan pandangan jauh,” katanya.
“PAP telah berulang kali menggalakkan rakyat Singapura agar terus berwaspada dan mengelakkan sikap sambil lewa, menekankan keperluan untuk bersedia menghadapi cabaran akan datang.
“Pendekatan ini mungkin telah menyumbang kepada keupayaan Singapura untuk mengharungi tempoh ketidakpastian, dari Covid-19 hingga kini,” tambah Dr Tan.
KEBOLEHAN PEMIMPIN 4G DIUJI
Dr Koh berkata dari aspek ekonomi, pemerintah telah menunjukkan ia mempunyai kebolehan pengurusan krisis yang baik.
Ini termasuk dengan pembentukan Sert yang dianggotai beberapa pemimpin 4G.
Selain Encik Gan, Sert turut dianggotai oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; serta Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jefrrey Siow.
“Gabungan pemimpin 3G dan 4G ini menyediakan portfolio kekuatan, pengalaman dan rangkaian yang pelbagai. Masih ada masa untuk lebih ramai pemimpin 4G baharu diuji melalui kerja sebagai pengerusi bersama ESR (Semakan Strategi Ekonomi) dan dalam pelbagai kementerian dan agensi mereka.
“Kita masih di awal penggal dan PM Wong mungkin ingin memberi sedikit masa lagi, selepas tugas formal ESR selesai, untuk memikirkan rombakan Kabinet seterusnya dan pemimpin 4G baharu yang manakah telah menunjukkan bahawa mereka boleh memikul beban yang tetap atau lebih berat,” kata Dr Koh.
Dr Tan pula menambah: “Kemasukan Anggota Parlimen yang baru dipilih dalam Kabinet juga boleh dilihat sebagai isyarat keterbukaan untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu menyumbang dan menimba pengalaman.
“Seterusnya, ini menyediakan mereka dengan platform untuk membuktikan keupayaan mereka, terutamanya dalam mengurus jangkaan awam di tengah-tengah ketidakpastian sejagat.”
KESAN PELUCUTAN PRITAM SINGH SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG
Menyifatkannya sebagai “perkembangan paling penting sejak GE2025” dalam politik negara, Dr Koh berkata perbahasan tentang Setiausaha Agung, Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, sebagai Ketua Pembangkang (LO) serta pelucutannya daripada jawatan tersebut telah menjejas reputasi WP.
Namun, ini tidak berlaku di kawasan dan dalam kalangan penduduk yang menyokong parti itu.
Dr Tan berkata keseluruhan saga tersebut mungkin meninggalkan “kesan jangka panjang, terutama dari segi bagaimana dinamik pembangkang berkembang”.
Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula berpendapat pelucutan Encik Pritam sebagai LO “tidak akan menjejas kedudukan WP sebagai parti pembangkang utama dalam apa jua cara yang ketara”.
“Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan dan kredibiliti WP telah terjejas.
“WP perlu berhati-hati kerana satu-satunya cara ia boleh berkembang adalah dengan memastikan pengundi mengundi bagi parti itu dan bukannya mengundi menentang PAP,” ulas Profesor Tan.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa PAP masih dilihat sebagai “hegemon politik” dan “legitimasi politiknya masih tinggi”.
Namun, bagi Dr Tan, oleh kerana kejadian tersebut berlaku awal tahun ini (2026), perhatian orang ramai kemungkinan besar akan beralih menjelang pilihan raya akan datang, katanya.
CABARAN MASA HADAPAN
Menurut Dr Tan, cabaran utama bagi penggal pentadbiran kali ini adalah untuk melindungi kepentingan Singapura di tengah-tengah persekitaran antarabangsa yang semakin tidak menentu dan sentiasa berubah.
Landskap sejagat dilihat kian kurang stabil, dengan beberapa negara mula menyimpang daripada norma antarabangsa yang telah lama ditetapkan.
“Walau bagaimanapun, mengambil kira kesan potensi terhadap Singapura dan rakyatnya, tindak balas pemerintah boleh dianggap sebagai agak berkesan.
“Ini khususnya dalam memperkukuh komitmen pemerintah untuk melindungi kepentingan nasional serta kesejahteraan rakyatnya,” kata beliau.
Selain persekitaran sejagat yang tidak menentu, kebangkitan kecerdasan buatan (AI) serta kesannya terhadap pekerjaan dan kestabilan sosial akan menguji pemerintah bagi beberapa tahun mendatang, kata Profesor Tan.
“Selain membuat persediaan untuk gangguan teknologi, adakah orang ramai akan berasa yakin bahawa pemerintah akan terus menyokong rakyat?
“Cabaran asas bagi PM Wong dan pasukannya adalah bagaimana memastikan Singapura dapat terus berkembang maju dalam dunia yang tidak menentu.
“Dalam nada yang sama, pemerintah perlu membantu rakyat memahami dunia supaya rakyat akan menyokong kepimpinannya,” ujar beliau.
“Pelbagai krisis yang dialami dunia sejak kebelakangan ini boleh membingungkan dan membimbangkan rakyat Singapura.
“Bagaimana untuk memastikan dan meyakinkan rakyat Singapura bahawa mereka dapat memahami pelbagai ancaman terhadap kesejahteraan individu dan masyarakat serta dapat menyatukan rakyat di belakang pemerintah akan menjadi ujian kritikal bagi pentadbiran PM Wong,” tambah Profesor Tan.
