Sepanjang tempoh setahun Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), kepimpinan politik Melayu Singapura telah memberi tumpuan kepada memperkukuh keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam melalui pelbagai usaha dan pendekatan yang lebih segar, lagi menyeluruh.

Ini telah meletakkan barisan kepimpinan baharu ini dalam kedudukan yang baik sedang mereka melangkah ke hadapan dan melaksanakan fasa perancangan seterusnya, menurut beberapa pemerhati politik kepada Berita Harian (BH).

Sejak dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama pasukannya telah melancarkan pelbagai inisiatif penting bagi memperkasa masyarakat.

Ini termasuk peluasan daya usaha M3 kepada M3+, penubuhan Jawatankuasa Daya Ekonomi (ERC), peningkatan subsidi pendidikan pelajar, sokongan lebih kukuh buat golongan asatizah, serta usaha menaik taraf masjid dan penyediaan ruang solat tambahan.

Memandang ke depan, para penganalisis menekankan pemimpin politik Melayu/Islam pemerintah perlu bijak mengimbangi tanggungjawab kepimpinan yang mereka pikul dalam memacu kemajuan masyarakat dan menangani isu-isu semasa yang timbul, termasuk isu-isu geopolitik yang dekat dengan jiwa masyarakat Melayu/Islam.

Perkukuh kepercayaan masyarakat

Peralihan kepimpinan yang berlaku selepas GE2025 dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperteguhkan jambatan antara pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Ini kerana terdapat rasa kurang senang dalam segelintir masyarakat berhubung dengan beberapa isu termasuk konflik di Gaza dan tanggapan kurangnya sifat empati, kata pengamat.

Ini meskipun Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya meraih mandat yang kukuh sebanyak 65.57 peratus undi semasa GE2025 yang diadakan pada 3 Mei 2025, lebih tinggi berbanding peratusan undi nasionalnya sebanyak 61.24 peratus pada GE2020.

Para pengamat menekankan, rasa kurang senang itu barangkali disebabkan persepsi, namun untuk menanganinya ia memerlukan satu pendekatan yang berbeza daripada kepimpinan politik Melayu/Islam – pendekatan yang tampak lebih bermusyarawah dan lembut.

Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, berpandangan keadaan sebelum GE2025 menunjukkan terdapat keperluan bagi mengukuhkan kepercayaan itu.

Lantaran itu, kehadiran Dr Faishal memberi kesan dalam merangsang kepercayaan masyarakat kerana kekuatan perwatakannya yang mudah mesra.

“Sifat empati dan rendah hati yang ditunjukkannya telah membawa kesan yang besar... dan jelas dari segi usaha membina semula kepercayaan, pastinya kita berada di landasan yang betul,” ujar Dr Walid.

Senada dengan pandangan itu, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata sepanjang tempoh setahun ini, Dr Faishal dilihat telah dapat mengimbangi emosi masyarakat dengan kepentingan nasional Singapura.

Misalnya, pemimpin Melayu proaktif menangani keprihatinan masyarakat berkaitan konflik Gaza dengan usaha seperti pengumpulan dana kemanusiaan melalui Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), menyaksikan penyerahan simboleh cek dari Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada 2 September.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), menyaksikan penyerahan simboleh cek dari Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada 2 September. - Foto fail

Malah, menurutnya, Dr Faishal sendiri telah bertemu dengan para aktivis untuk mendengar kebimbangan mereka, sekali gus menunjukkan sikap kepimpinan yang prihatin dan boleh dipercayai.

Namun begitu, Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata setahun adalah masa yang singkat untuk menilai kelakonan pasukan Dr Faishal dan sejauh mana usaha yang dijalankan benar-benar meninggalkan kesan dan membantu meningkatkan tahap kehidupan masyarakat.

Ketua Program Keselamatan dan Perlindungan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum, pula melihat manfaat perubahan kepimpinan Dr Faishal ini daripada sudut model kepimpinan yang kini lebih “bersifat operasi dan teragih” (distributed leadership).

Menurut beliau, di bawah kepimpinannya, setiap pemegang jawatan politik telah diberikan bidang tugas yang lebih jelas, sementara agensi masyarakat, badan Melayu/Islam (MMO), dan badan-badan tidak rasmi lain diajak untuk bersama-sama menghasilkan huraian bagi masalah yang timbul.

“Manfaatnya bukan sekadar pertukaran pemimpin, tetapi peralihan ke arah kepimpinan teragih, portfolio yang lebih jelas, dan pengeluaran bersama masyarakat,” jelas Dr Razwana.

Pendekatan segar

Sejak Ogos 2025, Dr Faishal telah menyusun semula pasukan kerjanya untuk meningkatkan penglibatan dengan masyarakat melalui lima bidang tumpuan utama M3.

Ia diterajui barisan pemimpin muda seperti Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Barisan itu turut merangkumi penjawat politik baru seperti Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah – yang dilantik sebagai AP Pekerja baru bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Ogos 2025 – serta AP GRC Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat, menerajui Jawatankuasa Daya Ekonomi (ERC) bagi menangani cabaran ekonomi seperti kesan kecerdasan buatan (AI) dan kos sara hidup.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kiri) dan AP GRC Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat, telah dilantik untuk meneraju bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi (ERC) bagi menangani cabaran ekonomi seperti kesan kecerdasan buatan (AI) dan kos sara hidup.
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kiri) dan AP GRC Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat, telah dilantik untuk meneraju bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi (ERC) bagi menangani cabaran ekonomi seperti kesan kecerdasan buatan (AI) dan kos sara hidup. - Foto fail

Dr Faizal berkata perubahan ini menunjukkan pembaharuan dan sebahagian daripada peralihan kepimpinan 4G yang bertujuan menyegarkan pendekatan terhadap ehwal masyarakat Melayu/Islam.

Katanya, di bawah kepimpinan Encik Zaqy selaku Pengerusi baru Yayasan Mendaki, badan itu telah meningkatkan tumpuan kepada program ‘Ready At Work’, antara lain, untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran bagi industri pertumbuhan.

“Peralihan daripada rangka kerja M3 asal kepada M3+ dan ERC menunjukkan tumpuan kepada persediaan masa hadapan – menggerakkan masyarakat daripada sekadar ‘menghadapi’ perubahan kepada ‘merebut’ peluang ekonomi baharu,” kata Dr Faizal.

Inisiatif seperti peningkatan Skim Subsidi Yuran Pengajian Tinggi (TTFS) mulai tahun akademik 2026/2027 yang kini merangkumi tahap subsidi 25 peratus bagi keluarga berpendapatan sederhana turut mendapat perhatian positif.

Ketua Program Keselamatan dan Perlindungan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum, menyifatkan langkah ini menunjukkan pemimpin akur bahawa tekanan kos sara hidup dan aspirasi pendidikan turut dirasai golongan kelas menengah dan bukan sahaja mereka yang bergaji rendah.

Beliau turut memuji pendekatan yang lebih inklusif dan bersepadu dalam inisiatif membina daya tahan ekonomi serta kestabilan sosial masyarakat.

“Apabila individu berasa selamat dengan mata pencarian dan prospek masa hadapan mereka, ia menyumbang secara langsung kepada kestabilan sosial dan mengurangkan kelemahan,” tambah Dr Razwana.

Melangkah ke hadapan

Meskipun terdapat perkembangan positif dalam tempoh setahun sejak GE2025, para penganalisis mempunyai beberapa saranan untuk memanfaatkan sepenuhnya momentum ini.

Dr Norshahril berkata tumpuan kepimpinan pada masa ini banyak diberikan kepada jangkauan akar umbi dan komunikasi, namun beliau melihat keperluan untuk mengukuhkan keupayaan intelek supaya dapat berfikir secara lebih strategik.

“Kita memerlukan individu yang berteraskan kandungan, sejarah dan penyelidikan, serta analisis yang betul tentang perubahan sosial dalam masyarakat,” tegas Dr Norshahril.

Beliau turut menyarankan agar pemimpin politik lebih kerap melibatkan penjawat awam yang berwibawa serta golongan akademik untuk membincangkan masalah masyarakat secara kritikal dan terbuka.

Bagi Dr Walid pula, cabaran besar yang menanti adalah menangani isu-isu struktur yang sudah lama wujud, seperti ketidaksamaan pendapatan yang walaupun bukan isu khusus bagi masyarakat Melayu, ia tetap memberi kesan besar kepada ramai anggota masyarakat.

“Apa yang (Dr Faishal) perlukan sekarang adalah mengusahakan isu-isu yang lebih lama dan bersifat struktur.

“Dr Faishal boleh memikirkan apakah visinya dalam menangani isu-isu besar ini,” ujar Dr Walid.

Dr Razwana berkata komposisi pasukan yang merangkumi kekuatan dan portfolio yang berbeza membolehkan perhatian yang lebih tertumpu dan pendekatan yang baru pada isu-isu tertentu yang dihadapi masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berkata kuncinya adalah sama ada usaha-usaha ini membuahkan hasil, terutamanya sama ada keluarga merasakan impak dari segi akses pendidikan, kestabilan pekerjaan dan perubahan kepada mobiliti sosial.