Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: AP Melayu WP gigih di lapangan, namun terlalu awal nilai kelakonan di Parlimen
Pengamat: AP Melayu WP gigih di lapangan, namun terlalu awal nilai kelakonan di Parlimen
Pengamat: AP Melayu WP gigih di lapangan, namun terlalu awal nilai kelakonan di Parlimen
Dua Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam Parti Pekerja (WP) telah menunjukkan kegigihan mendekati penduduk di kawasan undi masing-masing, manakala penglibatan mereka di Parlimen juga mencerminkan kesedaran terhadap isu-isu yang dekat dengan hati rakyat.
“Mereka adalah golongan karyawan muda,” kata Dr Norshahril Saat, Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak.
“Saya rasa Encik Fadli lebih menyerlah berbanding Encik Muhaimin kerana Encik Fadli mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam, dan dikenali sebagai aktivis serta pemikir.”
Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, pula menyifatkan Encik Fadli dan Encik Muhaimin sebagai “sedikit pendiam” buat tempoh setahun ini.
Namun, beliau berpendapat bahawa tempoh setahun adalah “terlalu awal untuk menilai prestasi mereka secara menyeluruh” merujuk kepada AP pembangkang sebelum ini, Encik Faisal Manap, yang telah berkhidmat lama sebagai AP GRC Aljunied dari 2011 hingga 2025.
Ketua Program Keselamatan dan Perlindungan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum, pula berkata terdapat nilai dalam mempunyai pelbagai perspektif di Parlimen, termasuk yang dibentuk oleh pengalaman masyarakat yang berbeza.
Ini, katanya, boleh membantu apabila membincangkan isu seperti keluarga, pembangunan belia, pemulihan dan integrasi semula, mobiliti sosial dan kesejahteraan masyarakat, di mana pandangan dari lapangan adalah penting.
“Apa yang penting ialah AP kekal terhubung dengan lapangan, dapat mencerminkan kebimbangan masyarakat yang berbeza dan menyumbang idea yang mengukuhkan hasil masyarakat dan perpaduan sosial kita bersama,” kata Dr Razwana.
Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata Encik Fadli dan Encik Muhaimin telah berjaya melampaui gelaran “wajah baharu” sejak dipilih sebagai AP setahun lalu dengan memikul peranan di Parlimen yang penting dan menangani pelbagai isu nasional yang rencam.
Namun begitu, beliau berkata melangkah ke hadapan, mereka perlu membezakan diri, bukan sahaja sebagai pengkritik semata-mata, malah sebagai penggubal undang-undang yang boleh mencadangkan kertas dasar alternatif yang terperinci.
“Walaupun kedua-duanya aktif dalam portfolio mereka, pengkhususan selanjutnya dalam bidang berimpak tinggi seperti dasar perumahan, isu penuaan boleh membantu mereka menjadi tokoh negara yang lebih dikenali,” kata Dr Faizal.
Di Parlimen, Encik Fadli antara lain telah membangkitkan isu-isu struktur seperti kesan meritokrasi terhadap perpaduan sosial dan peri pentingnya membina masyarakat yang antara lain mengutamakan kesejahteraan bersama atau “Kita Dahulu”.
Beliau juga telah menyuarakan tentang perlunya undang-undang mengikuti perkembangan semasa, khususnya dalam menangani jenayah yang diperkasakan oleh teknologi demi melindungi penjawat awam dan masyarakat.
Sementara itu, Encik Muhaimin pula lebih banyak menumpukan perhatian pada isu-isu harian yang melibatkan kebajikan pekerja dan keadilan di tempat kerja.
Beliau juga telah menekankan keperluan untuk memudahkan proses skim bantuan pemerintah agar lebih mesra pengguna dan memastikan ia dapat dinikmati oleh rakyat biasa tanpa kerenah birokrasi yang rumit.
