Lima Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam – daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) – yang tampil sebagai muka baharu semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2025 mengimbau perjalanan setahun dalam dunia politik.

Melangkah ke tahun kedua sebagai Anggota Parlimen (AP) di GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik akur realiti berkhidmat di lapangan jauh berbeza daripada apa yang dibayangkannya semasa berkempen.

Baginya, tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar menyuarakan visi, tetapi memikul berat emosi setiap aduan penduduk yang datang memohon bantuan.

“Sebaik sahaja terpilih, penduduk mula datang dengan pelbagai isu seperti perumahan, pekerjaan, pertikaian keluarga, hingga kesulitan kewangan – ada di antaranya tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.

“Saya juga terlepas pandang betapa besarnya tugas di sebalik tabir. Pengurusan estet bukan sekadar tentang penyelenggaraan fizikal; ia melibatkan pemahaman dan menangani realiti kehidupan penduduk,” kata Encik Muhaimin.

Bagi beliau, setiap ucapan yang disampaikan di Parlimen ialah hasil daripada kajian mendalam dan konsultasi yang teliti.

Beliau menyifatkan peranannya sebagai pembangkang adalah untuk menjalankan penelitian rapi demi kebaikan tadbir urus negara.

“Peranan pembangkang yang berkesan bukan untuk meruntuhkan dasar, tetapi untuk menelitinya secara rapi... Matlamatnya adalah untuk menjadikan tadbir urus lebih baik, bukan sekadar mengkritik.

“Antara detik paling berkesan adalah semasa berucap di Parlimen buat kali pertama.

“Apa yang menguatkan semangat saya pada saat itu adalah bayangan penduduk yang saya temui di sesi MPS (sesi bertemu penduduk) – mereka yang berkongsi perjuangan peribadi dan meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menjadi suara mereka,” tambah beliau.

Sebagai seorang bapa yang membesar dalam keluarga berpendapatan rendah ke sederhana, isu mobiliti sosial dan kos sara hidup adalah sesuatu yang sangat dekat di hatinya.

Beliau turut menyentuh mengenai kemajuan masyarakat Melayu/Islam yang perlu diiktiraf, namun menekankan masih ada jurang yang perlu dirapatkan.

“Jurang yang ada, terutamanya dalam pendidikan dan akses kepada peluang, adakalanya bukan bersifat kewangan, tetapi maklumat.

“Saya ingin melihat institusi masyarakat kita mengambil pendekatan yang lebih proaktif dalam jangkauan – menemui penduduk di mana sahaja mereka berada dan bukannya untuk menunggu mereka tampil untuk berjumpa.

“Harapan saya adalah untuk sebuah Singapura di mana titik permulaan seseorang itu tidak menentukan di mana mereka berakhir,” ujar beliau lagi.

“Apa yang menguatkan semangat saya pada saat itu adalah bayangan penduduk yang saya temui di sesi MPS (sesi bertemu penduduk) – mereka yang berkongsi perjuangan peribadi dan meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menjadi suara mereka.” 
Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Anggota Parlimen di GRC Sengkang.