Lima Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam – daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) – yang tampil sebagai muka baharu semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2025 mengimbau perjalanan setahun dalam dunia politik.

Tahun pertama berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) merupakan fasa penting dalam proses membina jambatan antara kepimpinan dan nadi rakyat, kata AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim.

Mengimbas perjalanannya pencapaian sejak setahun lalu, Cik Hazlina berkata tahun pertama itu dikhususkan untuk membina pasukan, mengeratkan pertalian, dan memperkukuh prasarana.

Tumpuan Cik Hazlina lebih kepada pengukuhan akar umbi menerusi formula ‘3B’ yang beliau ingin terapkan sebagai identiti khidmat beliau.

“Di kawasan undi Fengshan di GRC East Coast, keutamaan kami sepanjang setahun lalu adalah 3B – bayi, breakfast (sarapan) dan buka puasa.

“Kami melancarkan Kelab Ibu Bapa Fengshan untuk membina masyarakat keluarga muda supaya ibu bapa mendapat sokongan dan bantuan antara satu sama lain,” ujarnya.

Cik Hazlina juga menekankan kepentingannya pendekatan secara fizikal terutamanya dalam mendampingi golongan warga emas.

“Kami menganjurkan lebih 20 sesi sarapan pagi di kejiranan seperti di kolong blok dan dewan serbaguna supaya dapat mendampingi penduduk dekat di rumah mereka, terutama sekali warga emas.

“Selain itu, sukarelawan akar umbi juga menggembleng tenaga mengadakan 10 majlis buka puasa untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk keharmonian sesama kita,” katanya.

Di dewan Parlimen, tumpuan Cik Hazlina lebih meluas, merangkumi isu sosioekonomi dan kebajikan masyarakat Melayu/Islam.

“Di Parlimen pula, saya komited untuk mengetengahkan aspirasi, harapan dan juga keprihatinan penduduk serta masyarakat kita termasuk kesan penuaan, sokongan untuk keluarga yang memerlukan, peranan badan-badan Melayu mahupun Islam yang merupakan rakan kerja penting, serta sokongan ekoran konflik di Timur Tengah yang menjejas pelbagai aspek,” katanya.

Beliau menyimpulkan amanah tersebut seperti pelayaran sebuah kapal.

“Menggalas amanah yang diberikan sebagai wakil dan suara rakyat Singapura ini pengalaman yang amat saya hargai, yang tidak akan disia-siakan, insya-Allah.

“Ibarat pelayaran sebuah kapal yang tenang menyusuri meski badai memukul – yang penting adalah niat yang lurus, arah yang jelas, anak kapal yang berkebolehan dan bersepadu, serta nakhoda yang berwibawa,” tambahnya.

“Menggalas amanah yang diberikan sebagai wakil dan suara rakyat Singapura ini pengalaman yang amat saya hargai, yang tidak akan disia-siakan, insya-Allah.”
Cik Hazlina Abdul Halim, Anggota Parlimen GRC East Coast.