Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesawat retak bukan penghalang raih kejayaan
Pesawat retak bukan penghalang raih kejayaan
Pelajar Sekolah Menengah Evergreen raih tempat kedua dalam kategori ‘radio-controlled’ dalam Pertandingan Mesin Terbang Hebat Singapura
Pesawat retak bukan penghalang raih kejayaan
Didorong semangat daya saing yang tinggi serta minat terhadap cabaran praktikal, Muhammad Ilham Mirza Khairol meletakkan sasaran tinggi apabila menyertai Pertandingan Mesin Terbang Hebat Singapura (SAFMC).
Pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Evergreen itu berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Kawalan Radio (RC) atau ‘radio-controlled’ bagi edisi pertandingan pada 2026.
Kemenangan itu dianggap lebih bermakna buat ahli Kelab Penerbangan Muda sekolahnya itu, memandangkan minatnya terhadap dunia penerbangan lahir daripada rasa ingin tahu sejak kecil.
Mewakili pasukan ‘Joel Racing’, Ilham Mirza merupakan antara 2,500 peserta daripada 768 pasukan yang memeriahkan edisi SAFMC kali ini.
Pertandingan anjuran bersama Makmal Nasional DSO dan Pusat Sains Singapura itu berakhir dengan majlis penyampaian anugerah di Singapore Expo, pada 11 April lalu.
Bagi Ilham Mirza, semangat daya saingnya bukan sahaja dipupuk melalui bidang kejuruteraan, tetapi juga menerusi sukan seperti bola sepak dan badminton.
“Perasaan semasa berada di pertandingan itu sangat mengghairahkan,” katanya, sambil menyifatkan dirinya sebagai individu yang gemar dengan cabaran mendebarkan.
Walau bagaimanapun, perjalanan menuju kejayaan tidak mudah apabila pesawat pasukannya mengalami keretakan kira-kira sebulan sebelum pertandingan bermula.
Insiden tersebut memaksa pasukannya membina semula pesawat berkenaan dalam tempoh yang singkat.
“Pada mulanya kami sangat kecewa. Kami fikir tidak sempat untuk membaikinya,” jelas Ilham Mirza.
Namun, semangat kental mendorong mereka bekerja keras semasa sesi kegiatan kokurikulum (CCA) bagi memastikan setiap peranan – daripada juruterbang hingga mekanik – berjalan lancar.
Proses membina semula pesawat itu bukan sahaja memakan masa, malah menguatkan lagi kerjasama antara anggota pasukan.
Ilham Mirza turut berkongsi subjek kegemarannya iaitu Muzik, banyak mengajarnya tentang erti kerjasama pasukan.
Beliau melihat bagaimana pelbagai instrumen bergabung menghasilkan satu bunyi yang lengkap. Ia serupa dengan penyelarasan yang diperlukan dalam mengendalikan mesin terbang.
“Ia sangat berbaloi. Apabila semuanya menjadi, perasaannya tidak dapat digambarkan,” tambahnya lagi.
Memandang ke hadapan, beliau berharap dapat terus menyertai pertandingan serupa bagi mengukuhkan kemahirannya dalam bidang kejuruteraan dan penyelesaian masalah secara praktikal.
Beliau turut berkata pertandingan itu telah mengajarnya tentang kepentingan usaha, ketekunan dan kerja berpasukan, yang akan terus menjadi pengajaran penting dalam hidupnya.
