Topik diikuti
Pergi ke BHkuMinat lipat kapal terbang kertas bawa tuah bagi murid di pertandingan sains
Minat lipat kapal terbang kertas bawa tuah bagi murid di pertandingan sains
Murid Sekolah Rendah Springdale raih tempat kedua dalam Pertandingan Mesin Terbang Hebat Singapura
Minat lipat kapal terbang kertas bawa tuah bagi murid di pertandingan sains
Didorong minat terhadap sains dan keinginan mencabar diri, dua pelajar tampil menyerlah di Sngapore Amazing Flying Machine Competition (SAFMC) atau Pertandingan Mesin Terbang Hebat Singapura menerusi kreativiti dan kerja berpasukan dalam membina mesin terbang.
Berita Minggu (BM) menemu bual kededua pelajar yang melalui persiapan yang mencabar namun bermakna semasa menyertai pertandingan di peringkat nasional itu.
Apa yang bermula dengan sekadar melipat kapal terbang kertas di dalam bilik darjah kini membuahkan hasil apabila Omar Zarrar Sunan berjaya meraih tempat kedua dalam Pertandingan Mesin Terbang Hebat Singapura (SAFMC).
Murid Sekolah Rendah Springdale itu menduduki tempat kedua bagi kategori kapal terbang kertas, sekali gus membuktikan minatnya yang berputik sejak Darjah 1 dalam bidang penciptaan.
Bagi Omar, rasa ingin tahu tersebut kini berkembang menjadi minat berterusan dalam aspek reka bentuk dan penyelesaian masalah, selain memasang impian jangka panjang untuk menjadi seorang usahawan.
Pasukannya, Springdale Flyers One, menyertai edisi pertandingan terbesar setakat ini yang menghimpunkan kira-kira 2,500 peserta daripada 768 pasukan.
Pertandingan yang berlangsung dari penghujung Mac hingga awal April itu diakhiri dengan majlis penyampaian anugerah di Singapore Expo, pada 11 April.
Dianjurkan bersama oleh Makmal Nasional DSO dan Pusat Sains Singapura, SAFMC menjadi wadah bagi pelajar menggunakan konsep sains dan kejuruteraan menerusi rekaan mesin terbang.
Omar berkata minatnya tercetus semasa ‘Minggu X-perience’ Sains di sekolahnya pada 2025, apabila murid didedahkan kepada aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).
Dia mengimbau kembali bagaimana perbincangan mengenai kapal terbang kertas mendorongnya meneroka kesan perubahan reka bentuk terhadap prestasi penerbangan.
“Dahulu, saya gemar melipat kapal terbang kertas di kelas, terutama apabila guru tiada. Dari situ, saya mula tertarik dengan reka bentuknya,” katanya.
Dia menambah bahawa meskipun percubaan awalnya sering gagal, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba.
Bersama rakan sepasukan, Darrel Amadeo Wang dan Clement Chong Yee Shun, kesemuanya berusia 12 tahun, Omar menghabiskan masa beberapa minggu melakukan kajian dan mencuba pelbagai reka bentuk baharu.
Proses tersebut melibatkan ujian berulang kali bagi meningkatkan jarak, kestabilan serta tempoh penerbangan mesin mereka.
Dia turut menghargai bimbingan guru sekolahnya, Encik Zulkarnain Junaidi, atau lebih dikenali sebagai ‘Mr Zul’, sepanjang tempoh persiapan itu.
Antara cabaran terbesar menurut Omar merupakan sesi pembentangan, di mana pasukan perlu menjelaskan konsep sains di sebalik rekaan mereka kepada barisan juri.
Namun begitu, Omar menyifatkan pengalaman itu sebagai amat berharga, terutama apabila melihat hasil usaha mereka selepas berminggu-minggu persiapan.
“Saya sangat bersyukur dan menghargai usaha rakan sepasukan.
“Kerjasama dan keserasian kami banyak membantu,” katanya, sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.
Di luar bilik darjah, minat Omar terhadap subjek sains dan matematik terus berkembang kerana gemar melihat bagaimana kededua subjek itu digunakan dalam penyelesaian masalah dunia sebenar.
Dia juga melihat persamaan antara pertandingan itu dengan dunia keusahawanan, apabila idea diuji, diperbaiki dan dibangunkan melalui usaha berterusan.
“
“Dahulu, saya gemar melipat kapal terbang kertas di kelas, terutama apabila guru tiada. Dari situ, saya mula tertarik dengan reka bentuknya... Saya sangat bersyukur dan menghargai usaha rakan sepasukan. Kerjasama dan keserasian kami banyak membantu.”