SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peralihan kepada lembaran kompak cerminan komitmen BH terhadap cita rasa pembaca

Peralihan kepada lembaran kompak cerminan komitmen BH terhadap cita rasa pembaca

Pemimpin masyarakat: Peranan BH sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam di S’pura diperkukuh, dengan misi kekal relevan sebagai wadah berita dipercayai
Mar 24, 2026 | 8:50 PM

Peralihan kepada lembaran kompak cerminan komitmen BH terhadap cita rasa pembaca

Tenaga kerja Berita Harian (BH) meneliti akhbar BH yang berwajah baharu dan bersaiz kompak.
Tenaga kerja Berita Harian (BH) meneliti akhbar BH yang berwajah baharu dan bersaiz kompak. - Foto BH oleh IZWAN RAHIM

Peralihan akhbar Berita Harian (BH) daripada lembaran lebar atau broadsheet kepada lembaran kompak mencerminkan komitmen BH untuk kekal responsif dalam memenuhi cita rasa pembaca yang kian berubah, di samping meningkatkan mutu pengalaman membaca.

Ini sekali gus memperkukuhkan peranan BH sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam di Singapura, memastikan ia kekal relevan sebagai wadah berita dipercayai dan dapat terus menawarkan tahap kewartawanan tinggi dengan cara yang mudah dihadam pembaca.

Demikian kata beberapa pemimpin masyarakat Melayu/Islam yang dihubungi BH pada 24 Mac.

BH beralih kepada lembaran kompak pada 24 Mac, perubahan ketara yang diambil akhbar ini sejak ia mula diterbitkan sebagai lembaran lebar sejak Julai 1957.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, berkata peralihan itu memberi isyarat jelas terhadap kewujudan BH yang “lebih segar, tangkas, serba boleh dan bergerak seiring dengan peredaran zaman”.

“Kita perlu sentiasa tingkatkan diri untuk kekal relevan. Hal Ini bukan bagi organisasi sahaja, tetapi bagi individu juga agar mereka dapat menjalin hubungan bersama orang lain dengan lebih baik. Landskap media arus perdana, dan media cetak, telah berubah dengan ketara menerusi pendigitalan dan (proliferasi) kecerdasan buatan (AI) kini. Kita mesti sentiasa bersedia berkembang maju dan berubah demi kelangsungan hidup.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Penerangan dan Pembangunan Digital, Encik Sharael Taha.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Penerangan dan Pembangunan Digital, berkata:

“Kita perlu sentiasa tingkatkan diri untuk kekal relevan. Hal Ini bukan bagi organisasi sahaja, tetapi bagi individu juga agar mereka dapat menjalin hubungan bersama orang lain dengan lebih baik.

“Landskap media arus perdana, dan media cetak, telah berubah dengan ketara menerusi pendigitalan dan (proliferasi) kecerdasan buatan (AI) kini. Kita mesti sentiasa bersedia berkembang maju dan berubah demi kelangsungan hidup.”

Perubahan ini menunjukkan pemahaman BH terhadap peri pentingnya kaedah penyampaian berita, terutama dalam mengetengahkan kisah pengalaman hidup, bahasa dan identiti masyarakat Melayu/Islam, kata Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid.

Beliau menyifatkan peralihan lembaran BH kepada saiz kompak sebagai satu usaha “menjangkau pembaca dengan cara yang berkesan dan bermakna”, lebih-lebih lagi dalam landskap media yang dinamik.

“Peralihan BH kepada format kompak merupakan contoh jelas adaptasi pengimbangan pada aspek tradisi dan inovasi.

“Usaha ini menekankan kepentingan format dan kaedah penyampaian yang sentiasa berubah, sambil terus kekal tertumpu pada misi (atau tujuan),” ujarnya.

Malah, ini menunjukkan BH mengambil “pendekatan proaktif” kepada perubahan dan peka dengan keinginan pembaca, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.

Menurutnya, format kompak itu “menyuntik nafas baharu, mudah dibawa dan mudah dibaca”.

Perubahan format tersebut menggambarkan transformasi jelas bagi memenuhi keinginan pembaca yang berubah dan seiring dengan peredaran zaman, di samping membolehkan orang ramai membaca akhbar di mana-mana sahaja, ujarnya.

Lebih daripada sekadar aspek membaca, usaha itu juga satu isyarat bagi pihak berkepentingan untuk mengenal pasti bagaimana masyarakat menggunakan kandungan pada masa kini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PPIS, Cik Aidaroyani Adam, peralihan ke lembaran kompak “menekankan kepentingan berkomunikasi secara jelas, relevan dan kekal responsif terhadap cara masyarakat berinteraksi dengan kandungan”.

Beliau menambah, sebagai salah satu pihak berkepentingan BH, akhbar ini bukan sekadar perkongsian maklumat semata-mata, tapi ia wadah bagi mengenal pasti sesuatu maklumat yang diterbitkan diterima, difahami dan bermakna bagi golongan yang disasarkan.

“Ia mencerminkan bagaimana wadah yang dipercayai (seperti BH) berkembang seiring dengan masyarakat dan kekal teguh dalam peranannya, sambil menyesuaikan pendekatan (yang diambil) agar ia berkesan merentas generasi.

“Langkah ini sejajar dengan keperluan lebih luas bagi sesebuah pertubuhan untuk kekal relevan dalam persekitaran yang berubah,” ujar Cik Aidaroyani.

Hal sedemikian sesuatu yang dianjurkan mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.

Dalam satu catatan Facebook pada 24 Mac, beliau berkata peralihan kepada lembaran kompak “bukan hanya transformasi pada bentuk dan rupa”, tetapi ia menyerlahkan visi dan misi akhbar agar ia terus kekal relevan dan bermakna.

Katanya lagi: “Setelah hampir 70 tahun menyumbang (kepada masyarakat sebagai wadah berita) dalam bentuk (lembaran lebar) yang kita telah terbiasa, BH keluarkan edisi kompak.”

Bukan hanya setakat transformasi pada bentuk dan rupa. Yang lebih penting pada visi dan misi, untuk kekal relevan dan bermakna. Tahniah @beritahariansg atas keluaran edisi kompak bermula... setelah lebih 70 tahun...
Mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.

Catatan serupa turut dibuat Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, yang menyatakan sungguhpun akhbar BH telah beralih ke saiz lebih kecil, ia tidak bermakna maklumat yang disajikan kurang padat.

Sebaliknya, sungguhpun bersaiz kompak dan berwajah baru, tekad BH tetap sama – iaitu sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam, jelasnya.

“Ia mencerminkan bagaimana wadah yang dipercayai (seperti BH) berkembang seiring dengan masyarakat dan kekal teguh dalam peranannya, sambil menyesuaikan pendekatan (yang diambil) agar ia berkesan merentas generasi. Langkah ini sejajar dengan keperluan lebih luas bagi sesebuah pertubuhan untuk kekal relevan dalam persekitaran yang berubah.” 
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PPIS, Cik Aidaroyani Adam.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg