SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Era baharu BH: Lebih daripada bahasa dan peristiwa 

Era baharu BH: Lebih daripada bahasa dan peristiwa 

Format daripada lembaran lebar kepada saiz kompak bukan sekadar perubahan zahir. Ia bawa pengertian penakatan dan peranan akhbar ini dalam kota raya watan yang dinamik
Mar 24, 2026 | 5:00 PM

Era baharu BH: Lebih daripada bahasa dan peristiwa 

Berita Harian, kompak, perubahan, penakatan akhbar
Tumpuan peranan Berita Harian (BH) sebagai perakam peristiwa dan pendidikan, khususnya bahasa Melayu, merentas generasi.  - Foto-foto fail

Syabas kepada Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) dan kakitangan pendukungnya kerana masih menakat dalam suasana persuratkhabaran jagat yang merudum lagi amat mencabar.

Perubahan format BH daripada lembaran lebar kepada saiz kompak tidak sekadar alih saiz demi hemat ekonomi, tetapi lebih daripada itu.

Lewat rencana pandangan wartawan muda, Nur Syuhrah Hassan (’Peranan BH sebagai bahan pendidikan, rujukan kajian, dan jendela masyarakat’; 23 Mac 2026), terpapar tumpuan pada peranan BH sebagai perakam peristiwa dan pendidikan, khususnya bahasa Melayu, merentasi generasi.

Makalahnya memberi tumpuan bersifat mikrokosme yang menarik – dari sudut pandang pelajar sekolah, ibu bapa, guru Bahasa Melayu sehingga kepada Supki Sidek (guru kanan pesara dan aktivis masyarakat).

PERANAN

Dwiperanan tadi bukanlah baru bagi akhbar Melayu.

Sejak zaman kemunculan akhbar perintis, Jawi Peranakkan (JP, 1876-1895) iaitu akhbar Melayu pertama di Singapura, dek kekurangan buku teks, maka akhbar digunakan sebagai bacaan di sekolah rendah Melayu.

Dasar ini dimanfaatkan kerajaan penjajah British sebagai jalan mudah untuk menyediakan bahan bacaan di sekolah vernakular Melayu sehinggalah Pejabat Karang Mengarang ditubuhkan di Tanjung Malim, Perak, pada 1924.

Yang menarik, JP yang beraksara Jawi merupakan asuhan Baba Ounos (sebut: ‘Yunus’) Saldin (1832-1906), asal diaspora Melayu di Serendib atau Ceylon (kini Sri Lanka).

Setelah JP ditutup dek rugi, beliau kembali ke Ceylon untuk memimpin akhbar, Wajah Selong, pada 1895.

Padahal, beliau jugalah editor pengasas Alamat Langkapuri (1869) di Colombo, Ceylon, iaitu antara akhbar terawal berbahasa Melayu, yang diterbitkan bagi masyarakat diaspora Melayu di Ceylon, tetapi turut mempunyai pembaca di kepulauan Melayu.

Seyogia, akhbar perintis di Dunia Melayu ialah Soerat Kabar Bahasa Melaijoe beraksara Rumi, pada Januari 1856 di Surabaya, Hindia Timur Belanda (kini Indonesia sejak 1945).

Menurut para sarjana media, akhbar punya peranan menyampaikan berita, menghibur, mendidik dan menggerakkan masyarakat.

Di Barat, peranan ‘menggerakkan’ masyarakat begitu dikagumi.

Bahkan akhbar (kemudian dipanggil ‘media’ saja) diangkat sebagai “The Fourth Estate” (’Estet Keempat’) oleh penulis yang juga ahli falsafah, Thomas Carlyle, kerana dapat menegur tiga pihak (’Estet’) iaitu pemerintah, kehakiman dan rakyat.

Semasa saya dan rakan-rakan mengikuti kelas wajib sebagai wartawan iaitu The Straits Times’ School of Journalism, aspek ini dibincangkan.

VERNAKULAR

BH dikategorikan sebagai akhbar berbahasa setempat atau vernakular, iaitu bukan Inggeris.

Istilah ini penting dalam perhitungan siasah (politik) penjajah Barat (khususnya British di Singapura, Malaya atau Tanah Melayu, dan Borneo) dalam rangka mengizinkan suasana jati diri (identiti) berbilang kaum yang harmoni.

Sejarah menunjukkan Singapura pernah menjadi ‘pusat’ fikir dan dagang utama Dunia Melayu Asia Tenggara dalam abad ke-14 Masihi (era Sang Nila Utama dan zuriatnya) dan kemudian apabila dibuka dan dijajah British dalam abad ke-19 Masihi.

Antara 1840 dengan 1960, watan ini pernah menjadi pusat percetakan, hiburan (bangsawan dan filem serta muzik) serta kecendekiaan (intelligentsia) Dunia Melayu.

Tidak hairanlah daripada sekitar 300 judul akhbar dan majalah di jajahan British Asia Tenggara, dua pertiga berasal dari Singapura!

Peranan wartawan, terutama yang bertindak sebagai pengasuh akhbar, amat tinggi di mata masyarakat.

Kalangan orang Melayu pernah menjulang mereka sebagai “wira”.

Mereka dianggap “cendekia” utama yang sanggup berkorban, diikuti pula golongan guru.

Antara mereka tentulah tokoh gah, Mohd Eunos Abdullah (1876-1932), Pengarang/Editor akhbar Utusan Melayu yang pertama, yang juga merupakan ahli perundangan Melayu perintis dan ketua (yang dipertua) pengasas Kesatuan Melayu Singapura (KMS, 1926-1960).

Menerusi KMS, Eunos dan rakan-rakannya telah membentuk gerakan islah atau pembaharuan termasuk menentang kedaifan orang Melayu dari segi meningkatkan pendidikan dan kejuruan menerusi kelas bimbingan, sehingga kepada membela hak ke atas tanah (tanah rizab) menerusi Petempatan Kampung Melayu (Jalan Eunos dan Kaki Bukit).

BERITA HARIAN

BH muncul pada Julai 1957 (sekitar tiga bulan lebih tua daripada umur penulis) ketika Singapura dan Malaya dibadai gelora perkauman dan idelogi dalam menuntut kemerdekaan sesudah derita Perang Dunia Kedua.

Sejarah mencatatkan bahawa BH yang beraksara rumi dirancangkan sebagai “alternatif” kepada akhbar Utusan Melayu (UM, edisi kedua selepas era Mohd Eunos Abdullah) yang popular tetapi amat bersemangat kebangsaan.

Editor pengasasnya, Abdul Samad Ismail, merupakan anak Singapura dan mantan Editor UM (1945-1955), serta antara pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP).

UM beraksara Jawi merupakan yang pertama milik orang Melayu.

Ia diasaskan pada 1939 oleh kalangan pendukung KMS, termasuk pengurus utamanya, Yusof Ishak (1910-1970, kemudian menjadi Presiden pertama Singapura), dan adiknya, Abdul Rahim Ishak (menteri negara Singapura).

Selain ekonomi atau khususnya pendapatan daripada iklan dan langganan, suasana siasah mempengaruhi bangun jatuh akhbar.

Begitulah dengan BH.

Iaitu, apabila Singapura terpisah daripada Malaysia yang membawa kemerdekaannya, BH yang diasaskan oleh syarikat The Straits Times Press, di Kuala Lumpur, juga mengalami pemisahan operasi.

Itulah sebabnya ada Berita Harian Malaysia dan Berita Harian Singapura sejak 1972.

Selepas tujuh editor (Samad, Mustafa Suhaimi, Hussein Jahidin, Zainul Abidin Rasheed, Yatiman Yusof, Guntor Sadali, Saat A Rahman) dengan editor terkini, Nazry Mokhtar, laluan BH memang jauh.

Dengan era Internet, lebih-lebih lagi dipacu kecerdasan buatan (AI), penakatan akhbar kian rentan.

Mentelah ramai orang kini menerusi wadah media sosial, juga berani atau enak sendiri berperanan “macam wartawan”. Padahal, kewartawanan menuntut disiplin tinggi dari segi ilmu dan ketepatan yang dipertanggungjawab, bahkan juga jiwa (hakikatnya: wartawan antara karyawan paling sering dibunuh).

Yang utama, akhbar perlu menampilkan profesionalisme tinggi dari segi ‘kebenaran’ fakta dan sajian berita/rencana yang bermutu lagi relevan.

Bagi masyarakat Melayu Singapura yang masih ketinggalan (dulu digunakan istilah ‘daif’) dari segi daya saing ekonomi sehingga ilmu serta dirantai pelbagai isu sosial, BH perlu terus menjadi antara wadah untuk dirujuk dan diluahkan keprihatinan bersama.

Penulis mantan wartawan kanan akhbar ini yang berkhidmat dari 1984 hingga 2016.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg