SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pembaca setia anggap naskhah kompak BH ‘mesra pembaca’, mampu tarik generasi muda

Pembaca setia anggap naskhah kompak BH ‘mesra pembaca’, mampu tarik generasi muda

Teruja lebih banyak halaman, saiz kecil, lebih analisis dan suara masyarakat di ambang ulang tahun akhbar ke-70 pada 2027

Pembaca setia anggap naskhah kompak BH ‘mesra pembaca’, mampu tarik generasi muda

pembaca setia, naskhah kompak, Berita Harian
Cik Mina Omar, 68 tahun (kiri), dan suaminya, Encik Marzuki Madnan, 71 tahun, ditemui sedang membaca naskhah kompak baharu Berita Harian di sebuah kedai kopi di Haig Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mudah dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang kecil di samping padat dengan visual menarik dan reka bentuk moden.

Begitulah pandangan beberapa pembaca Berita Harian (BH) yang mengalu-alukan edisi kompak naskhah BH yang baru diperkenalkan pada 24 Mac, bagi menggantikan edisi lembaran lebar (broadsheet) yang diterbitkan selama 69 tahun sejak 1957.

Ciri mesra pembaca inilah antara perkara yang membuatkan beberapa pembaca begitu tertarik pada naskhah pertama edisi kompak yang mereka baca pada hari pelancarannya.

Kebanyakan pembaca yang ditemui BH menyambut baik penampilan dan ciri baharu BH Kompak termasuk struktur kandungannya yang lebih jelas dan format lebih mudah dibaca.

Sesetengah pembaca, yang telah mengikuti perkembangan BH sejak kecil, malahan, berkongsi harapan untuk terus melihat lebih banyak liputan tentang perkembangan masyarakat Melayu/Islam.

Pada masa yang sama, ramai yang berkata perubahan naskhah ini tepat pada masanya, memandangkan BH bakal menyambut ulang tahun ke-70 pada 2027, satu petanda akan komitmen akhbar ini dalam menyampaikan berita relevan mengikut tuntutan masa, yang boleh dipercayai buat tatapan masyarakat Melayu.

Ketebalan edisi kompak yang mempunyai 40 halaman adalah ciri utama yang menarik perhatian Encik Norazman Mohamed, 64 tahun.

“Saya amat teruja membaca edisi kompak ini kerana naskhah yang lebih tebal menimbulkan perasaan ada lebih banyak cerita untuk dibaca.

“Pilihan gambar dan grafik juga berjaya menangkap perhatian saya,” kata jurujual bahagian enjin pesawat itu.

Pandangan serupa dikongsi Cik Khatijah Abdul Hamid, 62 tahun, yang berusaha membeli senaskhah BH setiap hari.

Menurutnya, susunan rencana baharu bagi edisi kompak lebih mudah difahami, berbanding edisi lembaran lebar yang dimuatkan dengan banyak ruangan.

Sambil mengalu-alukan penampilan baharu naskhah kompak, Cik Mina Omar, 68 tahun, pula teruja dengan kandungan gaya hidup dan rencana kekeluargaan, yang akan diberikan lebih perhatian sejajar dengan keperluan transformasi BH.

Ramai juga gemar saiz kompak yang lebih mudah dibawa.

Pelancaran surat khabar Berita Harian Edisi Kompak membolehkan pembaca mengikuti berita dengan lebih mudah di mana-mana, sambil menyediakan analisis berita semasa yang lebih mendalam serta kod QR yang menghubungkan pembaca kepada platform digital BH, termasuk video dan podcast.
Pelancaran surat khabar Berita Harian Edisi Kompak membolehkan pembaca mengikuti berita dengan lebih mudah di mana-mana, sambil menyediakan analisis berita semasa yang lebih mendalam serta kod QR yang menghubungkan pembaca kepada platform digital BH, termasuk video dan podcast. - Foto BH oleh IZWAN RAHIM

Bagi Cik Mariam Bee Yacob pula, membaca naskhah BH di dalam kereta akan menjadi lebih mudah.

“Sebelum ini, lembaran lebar BH sering mengganggu suami saya semasa beliau memandu kereta, sehingga saya perlu pergi ke belakang kereta untuk membaca dengan selesa,” seloroh Cik Mariam, 73 tahun.

Dalam pada itu, ramai pembaca berpendapat pembaharuan edisi kompak BH tiba tepat pada masanya, selari dengan peredaran zaman dan tabiat penggunaan media yang menuju ke arah wadah digital.

Perubahan ini merupakan sebahagian usaha transformasi BH untuk kekal relevan dalam kalangan pembaca selepas hampir 70 tahun menyajikan pelbagai jenis berita untuk tatapan masyarakat.

Edisi kompak BH turut menawarkan analisis berita dan rencana berbentuk pandangan yang lebih mendalam bagi membantu pembaca memahami perkembangan semasa, di samping menyajikan lebih banyak senarai dan ringkasan berita.

Ia dilancarkan berdasarkan tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus bersama pembaca serta pihak berkepentingan lain, yang menyuarakan “keutamaan kukuh” terhadap saiz yang lebih kompak, menurut SPH Media.

Encik Norazman berharap pembaharuan naskhah BH akan mendorong lebih ramai pembaca untuk kekal mengikuti perkembangan terkini melalui akhbar ini.

“Sejak kecil, penampilan surat khabar BH tidak pernah berubah dan naskhahnya semakin menipis. Jadi saya mengalu-alukan perubahan terkini akhbar ini.

“Apa sahaja perubahan yang mampu menggalakkan lebih ramai pembaca mengikuti berita terkini adalah positif,” tambahnya.

Encik Nathaniel Ismail, 41 tahun, pula meluahkan rasa teruja ketika melihat BH terus berkembang sambil kekal relevan kepada kededua generasi muda dan golongan warga senja.

Bagi kegunaan golongan muda khususnya, Encik Nathaniel menekankan penyertaan lebih banyak kod QR dalam edisi kompak, yang membolehkan pembaca mengakses kandungan digital BH, termasuk video dan podcast, dengan lebih lancar.

Encik Nathaniel, seorang jurusolek, menyifatkan akhbar cetak sebagai pembawa unsur tradisi dan mengembalikan kenangan zaman kanak-kanaknya.

“Ia mengingatkan saya kepada zaman saya kecil, terutamanya apabila dapat memegang akhbar fizikal.

“Saya masih ingat saya duduk membaca bersama ibu dan ayah. Itu sesuatu yang mungkin tidak dapat dirasai generasi muda jika kita melepaskan naskhah fizikal,” kata beliau.

Beliau berharap BH akan terus memberi liputan lebih tuntas tentang hal ehwal masyarakat sambil meneroka lebih banyak cara memperkukuh minat generasi muda terhadap bahan bacaan fizikal.

Lebih daripada itu, Encik Nathaniel menghargai peranan BH sebagai wadah mendidik dan membimbing masyarakat.

“Membaca BH ketika saya kecil membantu saya memperhalusi penguasaan bahasa Melayu, serta cemerlang di sekolah. Sehingga dewasa, saya rasa BH masih memainkan peranannya dengan begitu berkesan,” ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg