Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir putus asa, kini galas tugas pengurus sejurus tamat pengajian
Hampir putus asa, kini galas tugas pengurus sejurus tamat pengajian
Hampir putus asa, kini galas tugas pengurus sejurus tamat pengajian
Apabila akaun banknya kosong tanpa wang untuk tiga kali, keadaan itu menjadi titik yang mendorong Encik Muhammad Fadly Abdullah Lee, untuk bekerja lebih keras demi menampung yuran pengajiannya di Politeknik Republic (RP).
Pada usia itu, beliau berasa dirinya sudah jauh ketinggalan berbanding rakan sebayanya.
Namun, perjalanan hidup pelajar Diploma Pengalaman Pelanggan Dengan Perniagaan itu tidak mudah.
Beliau melalui perjalanan panjang dengan mengikuti setahun kursus Sijil Nitec dalam Teknologi Paparan dan setahun Sijil Nitec dalam Khidmat Perniagaan serta Nitec Lanjutan dalam Sumber Kemanusiaan sebelum mengikuti kursus diploma di RP.
Menyingkap jerih payahnya, Encik Muhammad Fadly, 28 tahun, berkata perceraian ibu bapanya menyebabkan beliau terpaksa berpindah-randah antara dua rumah, dengan ketiadaan sokongan kewangan yang stabil.
Keadaan itu memaksanya mencari bermacam pekerjaan sambilan bagi meneruskan kehidupan.
Dengan yuran pengajian antara $1,200 dengan $1,500 setiap penggal, beliau membataskan perbelanjaan harian ke tahap paling minimum dan bergantung kepada pendapatan yang segera diperoleh daripada kerja menghantar makanan melalui Grab.
“Saya tidak keluar bersosial. Selepas habis sekolah, saya terus pergi kerja, kemudian balik, belajar sedikit dan terus tidur,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Beliau mengimbangi jadual pengajian dari 8 pagi hingga 5 petang sebelum menyambung kerja sehingga lewat malam.
Pada hari-hari lain, beliau bertugas sambilan di kedai runcit untuk menambah pendapatan.
Walaupun penat lelah seharian hampir membuatnya berputus asa, beliau tetap mengingatkan dirinya tentang keputusan menyambung pendidikan tanpa sokongan kewangan keluarga.
“Saya yang memilih jalan ini, jadi saya tidak boleh berpatah balik.
“Kalau saya mengalah, semuanya berakhir. Saya perlu teruskan walau apa pun pengorbanannya,” kata beliau.
Ketabahan itu wujud sejak usia remaja.
Selepas gagal dalam pusingan pertama Nitec di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), beliau kembali dan menamatkan semula pengajiannya selepas Perkhidmatan Negara (NS), di samping meraih pengalaman singkat bekerja dalam industri perhotelan.
Beliau kemudian berjaya meningkatkan prestasi akademik walaupun pernah meragui kebolehannya.
Ketekunan itu membolehkannya melonjakkan Gred Purata Mata (GPA) daripada 1.9 kepada 3.3.
Pada 8 Mei lalu, beliau merai kecemerlangan dalam pengajiannya di RP sehingga ditawarkan jawatan pengurusan sebaik sahaja tamat pengajian.
Encik Muhammad Fadly, yang juga merupakan antara kohort awal Program Pembangunan Bakat (TAP) di bawah Sekolah Layanan Tamu RP, menjalani latihan industri lanjutan di syarikat logistik ternama, DHL.
Selepas setahun di DHL, beliau ditawarkan jawatan Ketua Pasukan, hasil kerja keras sepanjang latihan termasuk kesediaan memikul tanggungjawab tambahan dan kebolehan menyelesaikan masalah dengan berkesan.
“Sebelum latihan saya di DHL berakhir, saya diberi peranan menjadi pengurus sementara.
“Ia sangat mencabar, tetapi saya belajar melaluinya dengan tabah,” katanya.
Namun, ujian tetap ada dari segi isu kewangan dan kesukaran akademik, khususnya dalam modul ekonomi, serta jurang usia dengan rakan sedarjah.
Bagaimanapun, sokongan rakan akrabnya, Encik Mohamed Akesh Mohamed Yusoff Ram Nawal, banyak membantunya mengharungi cabaran tersebut.
“Akesh banyak membantu dan memberi semangat. Saya sangat berterima kasih,” tambah beliau.
Berkat sokongan itu, seiring keazaman diri, ia memboleh beliau merapatkan semula jurang akademik dan menyesuaikan diri dengan rentak pembelajaran.
Kini, beliau merancang untuk bekerja beberapa tahun lagi bagi mengumpul simpanan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah secara sambilan.
Apa yang dahulu kelihatan seperti titik noktah kehidupan kini menjadi permulaan kepada perjalanan yang dipacu ketabahan dan kemajuan berterusan.
