Pada 2025, seorang pekerja migran warga Bangladesh lumpuh dari paras leher ke bawah akibat kemalangan di tempat kerja, sehingga dikhuatiri tidak mampu duduk sepanjang penerbangan pulang ke kampung halamannya.

Atas rasa ihsan, Encik Nasiruddin Mohd Rafiq, yang ketika itu sedang menjalani latihan bekerja sambil belajar sebagai pembantu fisioterapi di Hospital Universiti Nasional (NUH), meluangkan masa selama enam bulan untuk membantunya mendapatkan semula keupayaan duduk, mengimbangi badan serta bergerak dengan bantuan alat sokongan.

“Pekerja itu sebaya dengan saya.

“Bayangkan betapa peritnya keadaan seorang lelaki yang datang ke Singapura untuk mencari rezeki keluarga, tetapi tiba-tiba hilang keupayaan bekerja,” kata Encik Nasiruddin, 25 tahun, kepada Berita Harian (BH) dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Pelajar Diploma Pengurusan dan Penggalakan Kesihatan dari Politeknik Republic (RP) itu merupakan pelajar terbaik RP yang diminta mewakili rakan sekohort dalam kursusnya itu untuk menyampaikan ucapan penghargaan dan pengalaman pada Majlis Penyampaian Diploma ke-21 institusi itu, baru-baru ini.

Kesyukuran yang dirasakan Encik Nasiruddin selepas membantu pekerja migran itu adalah tatkala melihatnya mampu berdiri tegak sendiri selepas berbulan-bulan lamanya menjalani pemulihan.

Ini sekali gus membolehkannya pulang ke tanah air dengan selamat.

Detik tersebut merupakan pengalaman yang mencorak pandangan Encik Nasiruddin terhadap bidang penjagaan kesihatan.

Bagi beliau, ia tidak hanya tertumpu kepada rawatan atau kelangsungan hidup semata-mata.

“Bagi kita, duduk dalam penerbangan empat setengah jam perkara biasa, tetapi bagi pekerja ini, ia satu pencapaian besar.

“Membantu beliau sampai ke tahap itu sangat bermakna bagi saya,” tambah Encik Nasiruddin, anak kedua dalam tiga beradik lelaki.

Encik Nasiruddin Mohd Rafiq begitu bersemangat membantu individu mendapatkan semula kebebasan dan maruah diri selepas berdepan kecederaan.
Encik Nasiruddin Mohd Rafiq begitu bersemangat membantu individu mendapatkan semula kebebasan dan maruah diri selepas berdepan kecederaan. - Foto RP

Dari 2023 hingga 2025, Encik Nasiruddin juga menawarkan khidmat sebagai sukarelawan bagi persatuan kebajikan, Lion Befrienders, di Tampines.

Lawatan dari rumah ke rumah dilakukan untuk memantau kesejahteraan warga emas.

Beliau pernah bertemu seorang mak cik yang mengalami demensia dan sering tersesat dalam perjalanannya ke Pusat Penuaan Aktif (AAC) itu.

Menyedari cabaran tersebut, Encik Nasiruddin membimbingnya langkah demi langkah dari rumah ke pusat tersebut dengan menggunakan tanda tempat yang mudah diingati.

Beliau turut menggalakkan mak cik itu berinteraksi dengan warga emas lain bagi mengelakkan rasa terasing.

Lama-kelamaan, mak cik itu kian yakin dan mampu bergerak sendiri ke pusat berkenaan.

Dalam pada itu, pengalamannya sebagai paramedik bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turut memperkukuh pandangannya terhadap pekerjaannya.

Mengendalikan panggilan kecemasan 995, beliau berdepan kes kritikal seperti serangan jantung dan kemalangan jalan raya.

“Walaupun pesakit terselamat, tidak semua dapat kembali kepada kehidupan asal,” kongsinya.

Pengalaman itu mengubah pemahamannya tentang makna sebenar penjagaan kesihatan.

Sebagaimana katanya: “Saya sedar dalam bidang ini, kelangsungan hidup bukan matlamat akhir. Pemulihan sebenar adalah apabila seseorang mampu hidup dengan berdikari dan bermaruah.”

Encik Nasiruddin juga dianugerahkan Anugerah Prestasi dan Tingkah Laku Perkhidmatan Cemerlang pada 2023, serta Pingat Ketahanan Covid-19 Kebangsaan pada 2024 atas pencapaiannya.

Kini, beliau berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang Fisioterapi di Institut Teknologi Singapura (SIT), dengan hasrat untuk terus membantu pesakit bukan sekadar pulih, bahkan, kembali berdikari seperti dahulu.