Empat lulusan diploma Politeknik Republic (RP) telah melalui pelbagai jerih payah dalam usaha menimba ilmu. Pada upacara tamat pengajian ke-21 RP dari 4 hingga 8 Mei lalu, pencapaian 4,800 lulusan Latihan Prapekerjaan (PET) serta Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET), merangkumi 78 program, diraikan.
Berita Harian (BH) mengetengahkan kisah inspirasi mereka.

Setelah dinobatkan sebagai Lulusan Paling Cemerlang Politeknik Republic (RP) bagi 2026, pelajar Sains Farmaseutikal, Encik Faiq Faran, kini menyimpan impian menyambung pengajian ke universiti ternama di dunia, termasuk Maktab Imperial London.

Penerima Anugerah Lembaga Pengelola itu dipilih khas atas pencapaian menyeluruh dalam bidang akademik dan kegiatan kokurikulum yang memaparkan kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.

Namun, pelajar berusia 21 tahun itu mengakui kejayaan tidak datang bergolek.

Beliau terpaksa berdepan cabaran besar dalam menyesuaikan semula diri dengan kehidupan di Singapura setelah menetap di Arab Saudi dari 2015 hingga 2018.

Beliau mengimbau kembali detik sukar memperoleh keputusan angka tunggal sahaja bagi tiga mata pelajaran dalam percubaan ujian kemasukan sekolah menengah yang pertama.

Bukan itu sahaja, permohonannya juga pernah ditolak beberapa sekolah menengah kerana tidak mempunyai sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), selain faktor pentadbiran lain.

Bagaimanapun, pengalaman mencabar itu hanya membakar semangatnya.

Beliau akhirnya mendapat peluang menuntut di Sekolah Menengah Naval Base pada sekitar Julai 2018, detik penting yang menjadi titik tolak kepada rentetan kejayaannya.

Encik Faiq antara 4,800 lulusan RP dari 78 jurusan yang meraih diploma mereka di Majlis Penyampaian Diploma ke-21 RP, yang berlangsung dari 4 hingga 8 Mei.

Berkongsi kisahnya ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 30 April, beliau berkata:

“Kami sekeluarga berpindah ke Arab Saudi kerana bapa saya bertugas di sana dalam industri pemakanan haiwan.

“Namun, ibu bapa saya berpendapat Singapura menawarkan peluang pendidikan yang lebih baik untuk masa depan saya.

“Walaupun pada mulanya saya hampir tidak mendapat tempat di sekolah menengah, ibu bapa saya bertekad mendorong saya untuk terus berikhtiar.”

Encik Faiq Faran (tengah) bersama ibu bapanya, Encik Faran Hameed dan Cik Saiyama Abdul Rahim, mengunjungi Sekolah Menengah Naval Base pada 4 Mei selepas majlis tamat pengajian di Politeknik Republic.
Encik Faiq Faran (tengah) bersama ibu bapanya, Encik Faran Hameed dan Cik Saiyama Abdul Rahim, mengunjungi Sekolah Menengah Naval Base pada 4 Mei selepas majlis tamat pengajian di Politeknik Republic. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau tidak sia-siakan peluang yang diraih di Sekolah Menengah Naval Base.

Dalam tempoh kurang sebulan, Encik Faiq berjaya membiasakan dirinya dengan sukatan pelajaran Singapura untuk lulus di sekolah itu.

“Saya teringat ibu bapa saya membelikan buku rampaian siri 10 tahun yang menghimpunkan kertas peperiksaan di Singapura.

“Saya juga gigih mencari bahan pelajaran oleh guru tuisyen di YouTube dan Google.

“Alhamdulillah, saya berjaya lulus,” kongsi anak sulung dua beradik itu.

Encik Faiq, masih teringat kalangan pendidik di Sekolah Menengah Naval Base yang sanggup meluangkan masa tambahan untuk membimbingnya hampir setiap hari.

Encik Faiq Faran (empat dari kiri) bersyukur dengan adanya golongan pendidik Sekolah Menengah Naval Base yang berdedikasi. Antara individu yang menjadi tonggak sokongannya ialah (dari kiri) guru Kimia, Cik Oh Wei Shi; guru Matematik, Cik Nur Afnie Safrianie Miswari; pengetua, Cik Linda Yeo Sock Khoon; ibunya, Cik Saiyama Abdul Rahim; bapanya, Encik Faran Hameed; Naib Pengetua, Encik Lim Seow Kuan; dan guru bahasa Inggeris, Encik Daniel Troy Ingham.
Encik Faiq Faran (empat dari kiri) bersyukur dengan adanya golongan pendidik Sekolah Menengah Naval Base yang berdedikasi. Antara individu yang menjadi tonggak sokongannya ialah (dari kiri) guru Kimia, Cik Oh Wei Shi; guru Matematik, Cik Nur Afnie Safrianie Miswari; pengetua, Cik Linda Yeo Sock Khoon; ibunya, Cik Saiyama Abdul Rahim; bapanya, Encik Faran Hameed; Naib Pengetua, Encik Lim Seow Kuan; dan guru bahasa Inggeris, Encik Daniel Troy Ingham. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Usahanya membawa jaya apabila Encik Faiq muncul pelajar terbaik untuk peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ bagi kohortnya, dan kegigihan yang diasah itu menjadi asas kekuatan bagi beliau terus melakar kecemerlangan apabila melanjutkan pengajian di RP pada 2023.

Selepas tamat peperiksaan GCE Peringkat ‘N’, Encik Faiq memilih untuk melanjutkan pengajian dalam kursus Diploma Sains Farmaseutikal di RP menerusi Program Asas Politeknik (PFP).

Skim itu membolehkan pelajar aliran Normal (Akademik) di Menengah 4 memohon langsung ke politeknik untuk mengikuti tahun asas tanpa perlu menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ di Menengah 5.

Minat Encik Faiq dalam bidang Sains Farmaseutikal dipengaruhi bapanya yang mempunyai latar belakang dalam bidang Sains Veterinar, selain melahirkan keinginan berkhidmat kepada pesakit secara bersemuka setelah melalui pandemik Covid-19.

Encik Faiq juga rajin menabur bakti kepada pelbagai golongan rentan.

Selaku Pengerusi Sayap Belia di Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Encik Faiq bekerjasama dengan Persatuan Golongan Kurang Upaya Penglihatan Singapura (SAVH) dalam menjayakan acara iftar sempena Ramadan 2026.

Seramai 30 individu kurang upaya penglihatan daripada pelbagai kaum diraikan dalam sebuah majlis di masjid tersebut.

Selain mengadakan kegiatan penglibatan antara generasi, program itu turut bertujuan memberi kesedaran tentang kepayahan yang dilalui golongan tersebut.

Encik Faiq juga pernah menjadi pembimbing kepada pelajar daripada Persekutuan Palsi Serebrum Singapura (CPAS) ketika mereka mengikuti lawatan luar negara tanpa ditemani ibu bapa.

Beliau dan pelajar lain membimbing pelajar CPAS menjalani rutin seharian, serta melalui pelbagai kegiatan lain sepanjang lawatan itu.

Pada 2024, beliau dan beberapa belia Jawatankuasa Inisiatif Belia Masjid (Zon Utara) menjayakan lawatan sambil berkhidmat di Vietnam.

Mereka mengajar subjek asas di sekolah serta mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk setempat.

Beliau bersama pelajar RP lain dan Kor Belia Singapura pernah menganjurkan beberapa sesi penglibatan bersama pekerja migran di dormitori yang menumpu kepada usaha mempertingkatkan tahap kesejahteraan dan kesihatan mental mereka.

Sumbangan seperti itu melayakkan Encik Faiq menerima Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) Emas pada 2025.

Encik Faiq ingin menggabungkan ilmu sains bersama penggubalan dasar dan perniagaan ketika menuntut di universiti demi menyumbang bakti di peringkat nasional pula.
Encik Faiq ingin menggabungkan ilmu sains bersama penggubalan dasar dan perniagaan ketika menuntut di universiti demi menyumbang bakti di peringkat nasional pula. - Foto POLITEKNIK REPUBLIC

Berbekal pencapaian dan pengalaman luas itu, Encik Faiq berhasrat mendalami kepakaran dalam bidang sains, perubatan dan pengurusan di universiti demi menyumbang bakti di peringkat nasional, menerusi penggubalan dasar pula.

“Mengimbau kembali perjalanan saya setakat ini, pengalaman itu memang luar biasa dan mengajar saya kepentingan bersikap rendah hati.

“Perjalanan saya bukanlah yang lazim, tetapi ia membina daya ketahanan untuk mengharungi segala dugaan yang muncul.

“Ia bukti bagaimana permulaan kita tidak semestinya menjadi penanda aras kehidupan,” akhirnya.