Setelah ibu bapanya berpisah, Encik Sahabudin Jamaludin, tidak berpeluang melanjutkan pengajian, malah terpaksa bekerja sambil belajar seawal usia 14 tahun, demi menyokong ibunya yang turut perlu menyara dua adik-beradiknya.

Pencinta filem dan muzik itu kemudian bekerja sambilan di sebuah pawagam hanya sehari selepas tamat Perkhidmatan Negara (NS) sekitar 2003, keputusan yang membuka ruang untuknya terus membangun masa depannya.

Apabila beliau kemudian bekerja sepenuh masa di pawagam, Encik Sahabudin, kini 44 tahun, gigih mengendalikan operasi di beberapa pawagam tempatan selama 15 tahun, sehingga diamanahkan tanggungjawab menerajui pelancaran pawagam di negara lain.

Dalam tempoh 15 tahun itu juga, minatnya terhadap bidang layanan tamu kemudian membawa Encik Sahabudin menggalas tanggungjawab mengurus operasi di hotel selama dua tahun.

Bagaimanapun, pada sekitar 2018, beliau berkhidmat sebagai pengurus kanan di sebuah hab kemasyarakatan dan hiburan, dengan menggalas tanggungjawab menyelia urusan mengatur acara, operasi, serta memimpin pasukan ahli teknikal.

Dengan kerjayanya semakin stabil, kesedarannya terhadap pembelajaran sepanjang hayat turut meningkat.

Apa yang menarik, beliau bukan sahaja memburu impian dalam meraih segulung diploma di Politeknik Republic (RP), malah dua diploma sekali gus digenggamnya dalam majlis berasingan.

Pada 4 Mei, beliau menerima Diploma Reka Bentuk dan Media (Hiburan Digital dan Acara), disusuli dengan Diploma Amalan Perniagaan (Pengurusan Layanan Tamui) pada 8 Mei.

Beliau antara 4,800 lulusan RP daripada 78 jurusan yang meraih diploma mereka di Majlis Penyampaian Diploma ke-21 RP, yang berlangsung dari 4 hingga 8 Mei.

Bagi Encik Sahabudin, yang masih bujang, pencapaian memiliki dua diploma tersebut bukan sahaja melengkapkan kerjayanya selama lebih dua dekad, malah menjadi persediaan buat beliau menghadapi dunia yang pesat berubah, dengan kerjayanya juga boleh bertukar di luar jangkaan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau berkata: “Saya berasa amat puas kerana akhirnya dapat memenuhi azam yang sekian lama tertangguh.

“Sebelum ini, saya lebih banyak menumpukan perhatian kepada pembangunan kerjaya sehingga tidak berpeluang meneruskan pengajian.

“Dari awal lagi, matlamat saya bukan sekadar lulus dalam dua diploma tersebut, tetapi keinginan meraih pengalaman lebih luas dan memegang jawatan lebih tinggi cukup menebal.

“Saya bahkan ingin menghasilkan prestasi cemerlang.”

Setelah menuntut di RP sekitar pertengahan 2023, Encik Sahabudin berjaya lulus dengan Kepujian untuk kedua-dua program diploma tersebut.

Encik Sahabudin memulakan kerjayanya secara sambilan di sebuah pawagam hanya sehari selepas tamat Perkhidmatan Negara (NS) pada sekitar 2003, sebelum bekerja sepenuh masa mengendalikan operasi di beberapa pawagam tempatan, sehingga menerajui pelancaran pawagam di negara lain.
Encik Sahabudin memulakan kerjayanya secara sambilan di sebuah pawagam hanya sehari selepas tamat Perkhidmatan Negara (NS) pada sekitar 2003, sebelum bekerja sepenuh masa mengendalikan operasi di beberapa pawagam tempatan, sehingga menerajui pelancaran pawagam di negara lain. - Foto BH oleh KHALID BABA

Namun, beliau perlu mengharungi beberapa cabaran apabila bergelar sebagai pelajar sekali lagi.

“Mula-mula saya rasa kekok juga sebab saya antara orang paling tua di situ, tapi ramai pelajar ajak saya bergaul dan kami berinteraksi tanpa mengira perbezaan usia,” kongsinya.

Selain rasa kekok kerana usianya, beberapa kali juga Encik Sahabudin hampir berputus asa kerana sukar mengimbangi tuntutan pengajian, pekerjaan dan perihal keluarga.

“Kelas pada hari biasa lazimnya diadakan pada waktu malam, manakala pada Sabtu pula, sesi berlangsung sepanjang hari.

“Memang memenatkan untuk membahagikan masa antara kerja sepenuh masa yang sering berlarutan sehingga lewat malam dengan ulang kaji untuk dua kursus sekali gus,” katanya.

Beliau juga perlu memenuhi tanggungjawab menjaga ibu yang berusia 75 tahun dan menghidap penyakit kencing manis.

Kakaknya, 50 tahun, pula didiagnosis dengan barah ovari (tahap empat) pada 2025.

“Pada masa ini, kakak saya sedang menjalani rawatan kemoterapi.

“Sebagai satu keluarga, kami menempuh situasi ini, namun secara jujurnya, ia tetap amat mencabar dari segi mental,” ujar beliau.

Kini, Encik Sahabudin bersyukur kerana di sebalik segala jerih payah, sokongan ahli keluarga dan rakan seperjuangan menjadi pemangkin yang membangkitkan semangat baginya memenuhi azam yang tersimpan.

“Saya berharap mereka yang ingin melanjutkan pengajian pada usia matang tidak ragu-ragu untuk mengambil langkah itu.

“Jika ada sokongan kukuh, azam kuat serta disiplin, sesiapa pun mampu mengecapi kejayaan seperti ini,” katanya.