Topic followed successfully
Go to BHkuPembeli alat elektrik import perlu penuhi piawaian tenaga negara
Pembeli alat elektrik import perlu penuhi piawaian tenaga negara
Pemerintah turut wajibkan wadah platform dalam talian, syarikat dengan cawangan niaga di S’pura turunkan senarai barangan tidak patuh piawaian
Pembeli alat elektrik import perlu penuhi piawaian tenaga negara
Isi rumah dan perniagaan yang membeli peralatan elektrik seperti peti sejuk dan alat hawa dingin dari luar negara untuk kegunaan mereka sendiri kini perlu memenuhi piawaian tenaga negara.
Ia juga harus disertakan dengan label tenaga yang selaras dengan skim pelabelan tenaga wajib.
Ini selepas Rang Undang-Undang Penjimatan Tenaga (Pindaan) diluluskan di Parlimen pada 8 April.
Berkongsi lanjut, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berkata ini bagi memastikan kesemua barangan terkawal di Singapura tertakluk kepada keperluan Prestasi Tenaga Piawaian Minimum (MEPS) dan Skim Pelabelan Tenaga Wajib (MELS) yang sama.
Ini sekali gus memberikan hasil kecekapan tenaga lebih besar kepada pengguna akhir.
Selain itu, pemerintah akan turut mewajibkan platform dalam talian di Singapura, atau syarikat yang mempunyai cawangan perniagaan di Singapura, agar menurunkan senarai barangan yang tidak mematuhi piawaian, bagi memastikan barangan tersebut tidak ditawarkan kepada pengguna di sini.
Berucap di Parlimen, Dr Janil, berkata sebahagian besar barangan terkawal yang dibawa masuk ke Singapura untuk bekalan tempatan sememangnya sudah mematuhi piawaian.
“Jumlah barangan terkawal yang diimport untuk kegunaan sendiri adalah kecil buat masa ini.
“Ini terutamanya apabila kita mengambil kira peralatan seperti alat hawa dingin dan peti sejuk,” katanya.
Walaupun demikian, terdapat kebimbangan jumlah ini boleh meningkat pada masa hadapan memandangkan platform e-dagang memudahkan pengguna mengimport barangan tersebut bagi kegunaan sendiri.
“Pindaan yang dicadangkan ini akan memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan peraturan bagi mewajibkan platform dalam talian di Singapura menurunkan atau membetulkan senarai barangan terkawal yang tidak patuh pada piawaian.
“Ini bagi memastikan barangan yang tidak patuh, seperti yang tidak mempunyai label MELS, tidak ditawarkan kepada mana-mana pengguna di Singapura,” tambahnya.
Dr Janil menambah peraturan baharu itu hanya akan digunakan bagi barangan baharu yang diimport ke Singapura dan tidak merangkumi barangan terkawal terpakai atau sedia ada – sama ada ia dijual secara dalam talian mahupun di kedai fizikal.
Namun, barangan terkawal terpakai yang diimport untuk dijual semula sebagai barangan baharu tetap akan tertakluk kepada syarat pematuhan tersebut, tambah beliau.
Syarat pematuhan baharu itu juga dijangka tidak akan membebankan, katanya, bagi menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh kebanyakan Anggota Parlimen (AP) semasa perbahasan tersebut.
Sebagai contoh, sementara pembekal tempatan tertakluk kepada yuran pendaftaran sekitar $70 bagi setiap model untuk mendaftarkan model mereka bagi bekalan tempatan, yuran pendaftaran dan pembaharuan akan dikecualikan bagi pengguna akhir yang mengimport barangan terkawal untuk kegunaan sendiri.
Menjelaskan lanjut, Dr Janil berkata:
“Sama seperti pembekal tempatan, semua pengguna akhir yang mengimport barangan terkawal untuk kegunaan sendiri akan diwajibkan mendaftarkannya dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bagi membuktikan pematuhan terhadap piawaian MEPS dan MELS, tanpa mengira sama ada pengimport atau pengilang lain telah mendaftarkan barangan tersebut.”
“Ini kerana tanggungjawab perlu ditetapkan bagi tindakan mengimport barangan tersebut dan bagi memastikan laporan ujian yang dikemukakan adalah sepadan dengan barangan yang diisytiharkan.”
Bagi tujuan pendaftaran, NEA boleh menerima laporan ujian yang disediakan oleh pengilang peralatan dan pengguna akhir tidak perlu mendapatkan laporan ujian bebas, tambahnya.
Portal skim pelabelan tenaga akan dinaik taraf bagi memudahkan orang ramai mendaftarkan peralatan mereka dengan menggunakan Singpass.
NEA berhasrat melaksanakan penguatkuasaannya mulai 1 Julai ini, bagi menghalang pengguna akhir daripada mengimport produk yang tidak patuh pada piawaian.
Mereka yang didapati berbuat demikian boleh berdepan denda sehingga $10,000 bagi setiap barang yang diimport.

