Topic followed successfully
Go to BHkuRebat cukai korporat dipertingkat, geran tenaga diperluas demi bantu perniagaan
Rebat cukai korporat dipertingkat, geran tenaga diperluas demi bantu perniagaan
Rebat cukai korporat dipertingkat, geran tenaga diperluas demi bantu perniagaan
Singapura bakal mengukuhkan sokongan buat perniagaan di tengah konflik Timur Tengah yang berterusan, dengan menaikkan rebat cukai korporat dan meluaskan geran kecekapan tenaga, ujar Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.
Rebat Cukai Pendapatan Korporat, yang diumumkan semasa Belanjawan 2026 pada Februari, bagi Tahun Penilaian 2026 akan dinaikkan daripada 40 peratus kepada 50 peratus, berkuat kuasa hujung April 2026.
Komponen geran tunai bagi syarikat yang layak akan dinaikkan daripada $1,500 kepada $2,000.
Had manfaat keseluruhan bagi setiap syarikat juga akan dinaikkan daripada $30,000 kepada $40,000.
Langkah itu dijangka membantu perniagaan mengendalikan aliran tunai, kata Encik Siow.
Mengumumkannya semasa kenyataan menteri yang disampaikan di Parlimen pada 7 April mengenai impak konflik di Timur Tengah, Encik Siow berkata:
“Kenaikan kos tenaga dan logistik akan terus menghimpit perniagaan merentas ekonomi buat seketika waktu.
“Syarikat kecil dan sederhana (SME) kita khususnya, lebih rentan terhadap lonjakan kos secara mendadak.”
Sementara itu, Geran Kecekapan Tenaga peringkat asas – yang asalnya hanya tertumpu pada enam sektor tertentu seperti perkhidmatan makanan dan runcit – kini akan diperluas ke semua sektor.
Sokongan itu dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Mac 2028, agar lebih banyak syarikat dapat merebut manfaatnya, jelas Encik Siow.
Ia membolehkan syarikat melabur dalam peralatan baru yang cekap tenaga.
“Walaupun kami sedang menyalurkan bantuan segera, tempoh yang mencabar ini juga merupakan peringatan tepat pada masanya bagi semua perniagaan kita untuk membina daya tahan jangka panjang terhadap harga tenaga yang tinggi dan berterusan.
“Dan kami akan menyokong mereka untuk berbuat demikian.
“Perniagaan yang melabur dalam kecekapan tenaga akan mengurangkan pendedahan mereka kepada harga tenaga tidak menentu dan merendahkan kos operasi jangka panjang mereka,” kata Encik Siow, yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan.
Selain itu, beliau berkata agensi pemerintah sedang mendekati beberapa syarikat dalam sektor tenaga dan kimia yang terjejas teruk akibat gangguan bekalan bahan mentah.
Mereka akan menilai cara terbaik untuk menyediakan sokongan bersasar “bagi memelihara keupayaan kritikal untuk ekonomi kita.”
Encik Siow menambah pemerintah juga bersedia berkongsi kenaikan kos yang berkaitan secara langsung dengan kos bahan api, bagi projek pemerintah yang penting, di mana sebarang penangguhan atau penghentian akan menjejas kepentingan awam.
“Ini termasuk projek infrastruktur utama pemerintah, seperti Laluan MRT Rentas Pulau, dan projek-projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru.
“Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) akan mengeluarkan pekeliling dengan butiran lanjut dalam masa terdekat,” kata beliau.
SOKONGAN UNTUK PERNIAGAAN
Rebat Cukai Pendapatan Korporat dinaikkan kepada 50% bagi Tahun Penilaian 2026
– Komponen geran tunai dinaikkan daripada $1,500 kepada $2,000
– Had manfaat keseluruhan ditingkatkan daripada $30,000 kepada $40,000
Geran Kecekapan Tenaga
– Peringkat asas geran diperluaskan kepada semua sektor; sokongan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2028
Pemerolehan pemerintah
– Pemerintah sedia kongsi kenaikan kos yang berkaitan secara langsung dengan kos bahan api, bagi projek-projek pemerintah yang penting

