Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura miliki simpanan bahan api, pertimbang catuan elektrik
S’pura miliki simpanan bahan api, pertimbang catuan elektrik
S’pura miliki simpanan bahan api, pertimbang catuan elektrik
Loji jana kuasa di Singapura boleh menukar penggunaan bahan api daripada gas asli kepada diesel apabila perlu, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Ini penting kerana sekitar 95 peratus bekalan elektrik Singapura kini dijana oleh gas cecair asli.
Beliau, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, menambah bahawa Singapura memiliki simpanan bahan api – termasuk diesel dan gas asli – yang belum digunakan, dan negara ini merancang untuk meningkatkan simpanan tersebut.
Simpanan bahan api itu adalah milik pemerintah dan syarikat jana kuasa.
Semasa membentangkan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 7 April untuk menjelaskan usaha Singapura menghadapi kesan konflik di Timur Tengah, beliau menegaskan:
“Usaha meningkatkan simpanan bahan api ini memakan belanja yang tinggi, tetapi kami rasa ia satu kemestian.”
Beliau berkata pemerintah tidak bercadang mencatu penggunaan minyak pada masa ini.
Ini berikutan langkah beberapa negara mengenakan sekatan eksport atau mencatu bahan api sejak konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari, kata beliau.
“Kami belum melaksanakan langkah sedemikian. Buat masa ini, belum ada keperluan untuk mengambil tindakan sebegini,” ujarnya.
Menurutnya, keadaan itu disokong oleh kehadiran besar syarikat tenaga dan perdagangan sejagat utama di Singapura, yang merupakan hab perdagangan minyak ketiga terbesar dan hab eksport penapisan keenam terbesar di dunia.
Keupayaan itu telah dibina selama beberapa dekad, hasil strategi jangka panjang yang terancang, kata beliau.
Disebabkan itu, Encik Shanmugam menyatakan Singapura mempunyai jalinan yang erat dengan arus tenaga dunia, membolehkannya mencapai pelbagai sumber bekalan tenaga dan bahan api.
Ini memberikan Singapura kelonggaran untuk menangani sebarang gangguan, tambahnya.
Beliau berkata: “Buat masa ini, kita mesti mengekalkan akses kepada minyak mentah, dan kita berjaya memenuhi keperluan domestik serta obligasi bahan api antarabangsa.”
Namun, beliau mengakui tempoh ketidakpastian gangguan bekalan bahan api sejagat berterusan.
Justeru, Singapura perlu bersiap siaga menghadapi masa depan yang penuh cabaran, menjangkakan kemungkinan gangguan yang lebih parah dan berpanjangan.
Sehubungan itu, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains serta Teknologi, Dr Tan See Leng, menyarankan Singapura menjalankan catuan elektrik bagi menguji kesediaan negara.
Menjawab pertanyaan tambahan daripada Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azhar Othman, beliau menjelaskan negara sedang mempertimbangkan catuan tenaga, tetapi ingin mengelak daripada menimbulkan panik kerana keadaan sebenar masih terkawal.
Encik Azhar mengusulkan ganjaran kepada individu yang berjaya mengurangkan penggunaan tenaga.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pemerintah akan melaksanakan sekatan terhadap pengangkutan dan penggunaan tenaga, seperti yang dilakukan negara lain.
Dr Tan berkata: “Kami juga tidak ingin mencetuskan kebimbangan kepada pelabur, ekonomi sejagat dan rakan niaga kami yang menerima eksport produk penapisan.”
Meskipun begitu, beliau menyatakan Singapura boleh melaksanakan catuan tenaga – mungkin sebahagian daripada acara Hari Pertahanan Mutlak – bagi “menguji kesiapsiagaan negara dalam isu catuan tenaga”.
Beliau menambah bahawa Anggota Parlimen boleh memimpin usaha penjimatan tenaga di peringkat akar umbi, dan pemerintah menyambut baik inisiatif seumpama itu.
Selain itu, Dr Tan turut menyatakan bahawa Singapura mempunyai pelan luar jangka yang berbeza untuk senario berlainan, tetapi beliau tidak memberikan perincian lanjut kerana ia terkait dengan keselamatan negara.

