Pemandu pendakian Indonesia yang mengetuai 19 pendaki ke Gunung Dukono pada 8 Mei menegaskan beliau tidak melanggar undang-undang, sambil memohon maaf atas kematian warga Singapura, Allahyarham Shahin Muhrez Abdul Hamid, dan mendiang Timothy Heng, serta warga Indonesia, mendiang Angel Krishela Pradita.

Encik Reza Selang, 35 tahun, memberitahu beliau tidak dimaklumkan tentang larangan mendaki gunung berapi aktif di Pulau Halmahera di Maluku Utara, Indonesia.

Beliau berkata pemandu lain juga telah membawa pendaki ke puncak gunung setinggi kira-kira 1,200 meter dari paras laut itu dalam beberapa minggu sebelumnya.

Menurut Encik Reza, beliau bergantung kepada seorang penduduk Kampung Mamuya, kira-kira 15 kilometer dari gunung berapi itu, yang memberi jaminan tiada tanda kegiatan terkini sebelum kumpulan itu memulakan pendakian.

Pihak berkuasa tempatan sebenarnya telah melarang pendakian pada 17 April berikutan peningkatan kegiatan gunung berapi, dengan tahap amaran dinaikkan ke tahap kedua daripada empat tahap amaran gunung berapi Indonesia.

Pihak berkuasa menutup gunung itu kepada pengunjung dan menegaskan semua kegiatan, termasuk pendakian, dilarang dalam radius 4 kilometer dari kawah Malupang Warirang.

Notis larangan itu diletakkan di Pos Pemerhatian Vulkanologi di Mamuya.

Encik Reza, yang berasal dari Pulau Ternate, mengakui beliau tidak singgah di pos pemerhatian itu kerana menurutnya ia hanya memberikan kemas kini status gunung berapi dan “tidak berkuasa mengeluarkan permit kepada pendaki”.

Beliau berkata: “Pertama sekali, saya memohon maaf kepada rakan-rakan dan keluarga mangsa... Cik Angel, Encik Timo dan Encik Shahin.

“Kedua, saya tidak memasuki Gunung Dukono secara haram. Kami tidak menerima surat amaran supaya tidak memasuki Gunung Dukono sebelum pendakian kami.”

Beliau menambah, pemandu pendaki dari Kampung Mamuya yang diupahnya juga tidak memaklumkan tentang peningkatan kegiatan gunung berapi itu, lapor The Straits Times.

“Masalahnya ialah golongan pendaki dan penyedia pendakian tidak menerima maklumat yang sama. Kami tidak menerima maklumat mengenai letusan itu.

“Malah, penganjur ekspedisi yang berpangkalan di Tobelo telah mendaki Gunung Dukono pada 1 dan 2 Mei; pada 8 Mei terdapat pendaki lain yang tiba di Gunung Dukono melalui laluan Ruko,” kata Encik Reza, yang membawa kumpulan individu mendaki pelbagai gunung berapi di Pulau Halmahera sejak September 2022.

Pemandu pendaki gunung, Encik Alex Djangu, 48 tahun, berkata penting bagi pendaki untuk mendaftar di pos pemerhatian.

“Anda tidak sepatutnya mendengar kata-kata penduduk kampung kerana mereka tinggal terlalu dekat dengan gunung dan mungkin tidak menyedari kegiatan seismik.

“Hanya pos pemerhatian yang boleh menasihati pemandu mengenai maklumat cuaca terkini dan ancaman bahaya,” katanya sambil menambah, pendaki asing mesti mendaftar di Tobelo, ibu kota Halmahera Utara.

Pelancong biasanya terbang ke Pulau Ternate sebelum menaiki feri ke Sofifi di Pulau Halmahera, dan meneruskan perjalanan empat jam ke Tobelo.

Dari Tobelo, mereka menuju ke Mamuya sebelum memulakan pendakian.

Walaupun terdapat dua pintu masuk rasmi ke Gunung Dukono, melalui Kampung Mamuya dan Kampung Ruko, terdapat juga beberapa laluan lain.

Laluan melalui kampung-kampung itu mempunyai pusat pemeriksaan yang ditempatkan di sepanjang denai.

Dalam ceritanya, Encik Reza berkata beliau dan 19 pendaki yang dipimpin telah memulakan perjalanan sekitar tengah hari pada 7 Mei, dan memulakan pendakian mereka awal keesokan harinya.

Kumpulan itu terdiri daripada 11 warga Indonesia dan sembilan warga Singapura termasuk Allahyarham Shahin dan mendiang Heng, yang menganjurkan perjalanan itu.

Warga Singapura itu telah memuat naik gambar berkumpulan di sebuah wadah media sosial sebelum mereka berangkat ke Indonesia.

Dalam kalangan warga Indonesia, tiga ialah pelancong, manakala baki lapan orang pula ialah pemandu dan pengangkut barang.

Mereka menggunakan laluan Mamuya, yang bermula dari kampung dengan nama sama dan merentasi kira-kira 15 kilometer.