Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis klasifikasi kes kematian di Gunung Dukono sebagai siasatan jenayah
Polis klasifikasi kes kematian di Gunung Dukono sebagai siasatan jenayah
Peningkatan aktiviti gunung berapi larang pendakian, pemandu tiada permit rasmi
Polis klasifikasi kes kematian di Gunung Dukono sebagai siasatan jenayah
MALUKU (Indonesia): Polis di Halmahera Utara secara rasmi meningkatkan siasatan kes kematian tiga pendaki di puncak Gunung Dukono ke peringkat siasatan jenayah selepas menemukan unsur kecuaian dalam tragedi tersebut.
Dua pemandu pendakian berinisial RS dan JA dikenal pasti sebagai individu yang berpotensi didakwa dalam kes tersebut.
Ketua Polis Halmahera Utara, Encik Erlichson Pasaribu, berkata keputusan itu dibuat selepas pihak polis mengadakan semakan kes itu pada 13 Mei.
“Semakan kes sudah dilakukan dan kes rasmi dinaikkan ke tahap siasatan jenayah. Ada dua individu yang berpotensi didakwa iaitu RS dan JA,” katanya.
Menurut beliau, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlaku kecuaian ketika kedua-dua pemandu itu mengiringi kumpulan pendaki tersebut, termasuk dakwaan pelanggaran prosedur keselamatan sepanjang pendakian.
“Kami terus mendalami unsur kecuaian yang menyebabkan mangsa kehilangan nyawa. Fokus utama kami ialah tanggungjawab pemandu di lokasi ketika kejadian berlaku,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua individu itu masih berstatus saksi dan belum dinamakan secara rasmi sebagai suspek.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa membuat penetapan sebagai suspek. Penyiasat masih melengkapkan dokumen siasatan dan mengumpul keterangan tambahan,” katanya.
Kes itu mendapat perhatian meluas selepas tiga pendaki, termasuk dua dari Singapura, maut ketika mereka berada di kawasan puncak Gunung Dukono yang merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia.
Ketika kejadian letusan itu berlaku pada 8 Mei lalu, seramai 20 pendaki dilaporkan berada di kawasan puncak.
Daripada jumlah itu, 17 pendaki berjaya diselamatkan manakala tiga lagi ditemui maut.
Dua mangsa yang maut itu dikenal pasti sebagai warga Singapura, Encik Heng Wen Qiang Timothy, 30 tahun, dan Allahyarham Shahin Muhrez bin Abdul Hamid, 27 tahun. Seorang lagi mangsa ialah warga Indonesia.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Halmahera Utara, Encik Rinaldi Anwar, berkata setakat ini enam saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis turut memperoleh surat edaran bertarikh 17 April 2026 yang melarang kegiatan pendakian di Gunung Dukono menyusuli peningkatan kegiatan gunung berapi tersebut.
“Berdasarkan keterangan pemandu, mereka tidak memiliki sijil atau permit rasmi untuk kegiatan pendakian,” katanya.
Menurut beliau, polis masih memerlukan beberapa dokumen tambahan termasuk maklumat daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia.
“Kami masih menunggu beberapa dokumen dan keterangan tambahan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Siasatan turut melibatkan pemeriksaan terhadap pihak pengendali perjalanan pendakian yang dipercayai menguruskan ekspedisi tersebut.
Polis juga dijangka memanggil beberapa saksi baharu sebelum membuat keputusan sama ada RS dan JA akan dinamakan secara rasmi sebagai suspek dalam kes tersebut.
Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa proses siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional sehingga kertas siasatan lengkap.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menghantar sampel serpihan tulang yang dipercayai milik dua warga Singapura tersebut ke Jakarta untuk proses analisis forensik lanjut.
Sampel tersebut dihantar melalui Lapangan Terbang Sultan Babullah di Ternate menuju ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta. – Agensi berita.
