Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, akan memimpin delegasi Singapura bagi mengerjakan ibadah haji 2026.

Ini merupakan kali pertama beliau, mengetuai rombongan haji seramai 900 anggota jemaah, sejak memegang jawatan tersebut.

Buat pertama kali juga, semua anggota jemaah haji Singapura akan berangkat dan pulang bersama menerusi tiga penerbangan langsung ke dan dari Arab Saudi, selain menerima Kad Nusuk sebelum bertolak.

Dua langkah keselamatan baru ini diperkenalkan bagi memastikan kesejahteraan anggota jemaah haji kali ini, menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 25 April.

Bercakap semasa sesi taklimat sebelum keberangkatan haji 2026 pada 25 April di Pusat Konvensyen Suntec, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), melahirkan komitmen khususnya dalam memastikan keselamatan jemaah di tengah-tengah ketidaktentuan dunia.

“Saya tahu ramai anggota jemaah, termasuk ahli keluarga anda, mempunyai kebimbangan dan ini wajar, lebih-lebih lagi dengan perkembangan semasa di Timur Tengah.

“Kebimbangan ini kami dengar dengan jelas melalui interaksi bersama anggota jemaah, keluarga dan pemimpin masyarakat, termasuk Anggota Parlimen Melayu/Islam.

“Kami mengambil kira maklum balas anda, dan memandang serius mengenainya, dalam kita memperkukuhkan persiapan bagi haji kali ini.

“Seperti tahun-tahun sudah, persiapan rapi telah dimulakan dari awal lagi.

“Banyak usaha telah diikhtiarkan supaya anggota jemaah dapat berangkat dengan lebih yakin dan tenang,” ujarnya kepada jemaah dalam acara yang diadakan oleh Muis dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).

Menjelaskan lebih lanjut, Muis berkata jemaah Singapura akan berangkat dan pulang bersama-sama bagi membolehkan penyelarasan pergerakan jemaah yang lebih baik serta operasi haji lebih cekap.

Jemaah Singapura akan berangkat ke Madinah pada 9, 12 dan 14 Mei dan kembali ke tanah air dari Jeddah, pada 1, 5 dan 8 Jun.

Satu lagi langkah keselamatan baru diambil ialah kesemua anggota jemaah setempat akan diberikan Kad Nusuk sebelum berangkat.

Ini kali pertama anggota jemaah diberikan Kad Nusuk sebelum berangkat untuk ibadah haji.

Sebelum ini, kad tersebut diberikan kepada anggota jemaah, apabila mereka tiba di Tanah Suci.

Kad Nusuk merupakan dokumen rasmi Arab Saudi yang mengandungi maklumat peribadi anggota jemaah, menyediakan akses ke tapak-tapak suci serta menyertakan butiran penginapan dan pengangkutan bagi menyokong mereka sepanjang perjalanan ibadah.

Setiausaha Kehormat Amtas, Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata pemberian Kad Nusuk sebelum jemaah berangkat meningkatkan keselamatan mereka, dengan mengesahkan identiti sebagai anggota jemaah haji yang berdaftar.

Ia juga memastikan ketibaan dan proses ibadah di tanah suci berjalan dengan lebih lancar, selain menenangkan sebarang kerisauan para jemaah yang timbul sebelum mereka berangkat.

“Langkah ini akan membantu mengurangkan ketidaktentuan dan rasa bimbang, supaya jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan lebih lancar dan tenang,” katanya, yang juga pengarah syarikat Noor Mohamad Services & Travel.

Dr Faishal menjelaskan Muis telah mulakan persiapan teliti dengan bekerjasama dengan Amtas, ejen penjualan serta rakan sekerja di Arab Saudi dan Kementerian Haji dan Umrah (Mohu) Arab Saudi sejak dari awal lagi.

Tambah beliau, Muis dan rakan sekerjanya tidak berpeluk tubuh tatkala situasi di Timur Tengah menjadi tegang.

Mereka memantau situasi dengan begitu teliti, menyemak semula persiapan untuk memperhebatkan penyelarasan mereka, serta memperkenalkan langkah tambahan dan rancangan kontingensi.

“Rancangan kontingensi juga telah disediakan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami akan memastikan anda sentiasa mendapat maklumat dan informasi terkini,” tegasnya yang melawat Arab Saudi pada November 2025.

Dr Faishal turut menekankan kepentingan anggota jemaah menjaga kesihatan masing-masing sepanjang beribadah.

Beliau memberi jaminan bahawa sistem sokongan yang kukuh telah disediakan demi menjamin keselamatan dan kesihatan anggota jemaah sepanjang ibadah.

Ini termasuk mengerahkan anggota Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) di Tanah Suci dan penggunaan aplikasi PilgrimSG untuk bantuan kecemasan dan penyebaran maklumat penting.

Menurutnya, mereka akan mengambil langkah secara “berwaspada dan teliti”, terus memantau perkembangan terkini di Timur Tengah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Arab Saudi.

Seramai 11 anggota SPAO, termasuk Ketua Delegasi, Pengarah Pejabat Haji, Ketua SPAO, pegawai jemaah, pegawai agama dan ketua pegawai perubatan, akan dikerahkan di tapak suci.

Menurut Muis, pasukan SPAO akan menubuhkan Hab Operasi Haji dan klinik.