Berikutan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura yang menjunam ke paras terendah baharu (0.87), strategi utama akan bertumpu pada usaha membantu pasangan mencari kegembiraan dan makna mendalam dalam keibubapaan, demi meredakan kekhuatiran mereka.

Kekhuatiran itu merangkumi kos sara hidup yang melonjak, selain pengorbanan kerjaya dan gaya hidup peribadi.

Inti pati itu dikongsi oleh Pengerusi Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), Encik Keith Magnus, dalam sidang media di pejabat Evercore, Pusat Kewangan Marina Bay, pada 12 Mei.

Encik Magnus, yang berusia 52 tahun, merupakan Pengerusi Evercore Asia, sebuah syarikat pelaburan perbankan.

Beliau, yang menerajui majlis itu sejak 1 Januari, turut berkongsi matlamat FFL menjelang Pesta Keluarga Nasional (NFF) yang dijadual dari 30 Mei hingga 28 Jun.

NFF merupakan acara di bawah naungan gerakan FFL, yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

FFL, yang asalnya dibentuk pada 2006 sebagai Majlis Keluarga Nasional, bertujuan membina keluarga yang teguh.

Secara keseluruhannya, FFL memberi tumpuan pada usaha untuk memantapkan keutuhan keluarga serta membina masyarakat yang padu dan mesra keluarga, jelas Encik Magnus.

“Tindakan selanjutnya adalah untuk memperkasa ikatan kekeluargaan, di samping memupuk amalan dan ekosistem sokongan dalam masyarakat yang merangkumi semua generasi,” kata beliau.

Majlis yang dilantik bagi penggal 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028 itu menampilkan 15 anggota daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai pengalaman luas untuk menepati matlamat yang ditetapkan.

Antara lima anggota baharu itu ialah Ahli Jawatankuasa Utama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar, Cik Noor Irdawaty Jammarudin; dan Ketua Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim.

Encik Magnus mengakui gerakan FFL berupaya melengkapi daya usaha lebih besar, termasuk pelancaran Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan yang merangkumi lapan pemegang jawatan politik daripada kementerian berbeza.

Beliau, yang berkahwin sejak 2002, menekankan bahawa pembentukan budaya yang kukuh bagi menyokong perkahwinan, keibubapaan dan kekeluargaan menuntut penglibatan seluruh masyarakat, bukan sekadar bergantung pada perundangan.

“Justeru, gerakan seperti FFL berupaya menjadi wadah utama untuk mengemukakan saranan yang tepat, menetapkan tanda aras dalam memupuk peranan ahli keluarga yang positif, serta melengkapkan dan memberi galakan yang diperlukan kepada warga Singapura,” kata Encik Magnus, yang juga mantan pengerusi badan amal, Pusat Kebapaan.

Dalam pada itu, Encik Magnus menggariskan tiga pendekatan baharu yang akan menjadi teras bagi usaha FFL bagi penggal 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.

Pertama, FFL ingin memperluaskan takrif keluarga asas untuk merangkumi datuk, nenek dan saudara-mara demi memperkukuhkan gagasan bahawa tugas membesarkan serta menyokong keluarga merupakan satu usaha bersama.

Encik Magnus menjelaskan kepentingan langkah itu memandangkan masyarakat Singapura semakin menua dan saiz keluarga asas ‘semakin kecil’.

Selain merapatkan jurang antara generasi, pendekatan itu turut memperkasakan ilmu dan kekuatan warga emas dalam menyokong aspek penjagaan keluarga.

Beliau menambah bahawa langkah melibatkan saudara-mara juga cara baik untuk memperkukuhkan rangkaian sokongan keluarga.

Pendekatan kedua ialah memperkukuhkan budaya saling membantu dalam keluarga demi memantapkan lagi kesepaduan masyarakat.

“Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Kekuatan jalinan masyarakat terbina apabila keluarga yang kukuh tampil membantu mereka yang sedang diuji dengan cabaran,” ujar Encik Magnus.

Akhir sekali, FFL berhasrat menyemarakkan lagi keterbukaan pasangan untuk meraikan kemanisan dan kegembiraan bergelar ibu bapa, meskipun ia hadir seiring tanggungjawab besar.

Beliau, yang merupakan bapa kepada dua anak perempuan berusia 16 dan 21 tahun, dan seorang anak lelaki berusia 19 tahun, menyifatkan memiliki zuriat membawa kebahagiaan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

“Jika kebahagiaan ini dapat dihidupkan semula dalam jiwa masyarakat, segala pengorbanan dan penyesuaian demi keluarga akan terasa ringan, kerana didorong oleh kekuatan ikatan kasih sayang yang mendalam,” kongsi beliau.

Justeru, Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2026 menjadi teras utama untuk merealisasikan matlamat yang digariskan ini.

Encik Magnus berkata:

“Pesta-pesta sebelum ini telah berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kekeluargaan. Bagi langkah seterusnya, kami ingin meningkatkan keberkesanan.

NFF 2026 yang bertema, ‘Keluarga Bermula Dengan Saya’ bertujuan menggalakkan peserta memupuk amalan kekeluargaan harian yang sihat, satu asas yang kemudian boleh diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Pesta itu akan menawarkan pelbagai kegiatan bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga yang mempunyai warga emas, golongan belia, individu kurang upaya serta mereka daripada latar belakang berpendapatan rendah.

Selaras dengan visi FFL, tumpuan utama pesta itu adalah pada pembentukan budaya kerja yang mesra keluarga, di samping menerajui inisiatif yang menyokong aspek keibubapaan dan kekeluargaan.

Usaha ini diperkukuh dalam sektor korporat melalui pengenalan duta kekeluargaan di tempat kerja, bagi memimpin inisiatif yang memastikan keseimbangan kerjaya dan keluarga.

Mengulas lanjut kepada media, Encik Magnus menjelaskan bahawa FFL berusaha mencipta persekitaran yang memudahkan dan mengalu-alukan peranan ibu bapa.

“Mewujudkan tempat kerja mesra keluarga, yang meraikan dan menggalakkan masa diluangkan bersama ahli keluarga, turut mewujudkan persekitaran terbaik untuk mengekalkan bakat,” ujar beliau.

Usaha itu tambah beliau, akan melengkapi dasar sedia ada serta inisiatif yang bakal diperkenalkan oleh Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan yang baru ditubuhkan.