Kumpulan kerja antara agensi yang ditugaskan untuk menyokong isu perkahwinan dan keibubapaan di Singapura telah ditubuhkan, dan salah satu tugas awalnya adalah untuk mendampingi masyarakat Melayu/Islam yang kadar kelahirannya telah merosot ke paras terendah sejak 1960.

Menurut Jabatan Statistik, jumlah kadar kesuburan (TFR) masyarakat Melayu telah merosot daripada 1.58 pada 2024 kepada 1.53 pada 2025.

Walaupun kadar ini kekal jauh lebih tinggi berbanding masyarakat Cina dan India, ia tetap menjadi satu kebimbangan.

Warga Cina melalui penurunan TFR yang ketara daripada 0.83 pada 2024 kepada 0.71 pada 2025, namun warga India meningkat daripada 0.91 kepada 0.92 dalam tempoh yang sama.

Perkembangan tersebut dikongsi Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara) ketika mengumumkan anggota dan perkembangan kumpulan kerja itu kepada wartawan di bangunan The Treasury pada 29 April.

Beliau, yang akan menjadi pengerusi Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan itu, akan turut disertai lapan pemegang jawatan politik (POH) dari kementerian berbeza.

Antaranya, Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; dan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Menjawab soalan Berita Harian (BH) mengenai apa yang akan dilakukan kumpulan kerja itu untuk mengatasi isu tersebut bagi masyarakat Melayu/Islam, Cik Indranee berkata:

“Kami berhasrat untuk melibatkan badan Melayu Islam.

“Saya telah pun bercakap dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan beliau menyatakan kesediaannya untuk memudah cara usaha tersebut.

“Saya juga ingin bercakap dengan pemimpin masyarakat, dan asatizah untuk turut memahami pandangan mereka.”

Ketika itu, beliau berkongsi bahawa langkah itu merupakan antara usaha pemerintah bagi menangani isu berhubung TFR Singapura yang terus merosot ke paras terendah baru, dengan data awal menunjukkan kadar bagi 2025 ialah 0.87 – lebih rendah berbanding 0.97 pada 2024.

Selain daripada Cik Rahayu dan Encik Zhulkarnain, kumpulan kerja itu juga akan disertai Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau.

Turut membentuk pasukan itu ialah Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming; Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan.

Sementara itu, menurut Jabatan Statistik, jumlah perkahwinan Islam juga merosot daripada 5,184 pada 2024 kepada 5,005 pada 2025 – terendah sejak 2014.

Cik Indranee berkata kumpulan kerja itu menandakan satu peralihan daripada pendekatan terdahulu yang sebahagian besarnya menumpukan kepada langkah-langkah dasar seperti meningkatkan subsidi, pembayaran bonus bayi dan sokongan Akaun Pembangunan Kanak-Kanak.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk menggembleng pelbagai pihak berkepentingan – termasuk majikan, pertubuhan agama dan masyarakat yang lebih luas – dalam apa yang beliau sifatkan sebagai usaha kolektif nasional.

Cik Indranee menambah, keputusan berkaitan perkahwinan dan keibubapaan dibentuk oleh faktor material dan tidak boleh ditangani melalui dasar sahaja.

“Kami telah mengenal pasti peralihan minda sebagai bahagian besar dalam usaha ini... dan (perkara ini) perlu dilakukan dengan kerjasama masyarakat.”

“Jadi walaupun kami adalah sebuah kumpulan kerja... seluruh jawatankuasa saya adalah seluruh Singapura, kerana kami memerlukan seluruh Singapura,” katanya.

Walau demikian, Cik Indranee akur bahawa antara kekuatan masyarakat Melayu/Islam ialah ikatan keluarga.

Beliau yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, berkata:

“Salah satu sebab mengapa saya rasa (TFR) masyarakat Melayu lebih baik berbanding yang lain ialah kerana keluarga menjadi tunjang utama bagi mereka.

“Ketika saya pergi ke Pasir Ris Mall atau White Sands, saya kerap melihat keluarga Melayu berkumpul sebagai satu keluarga... mereka lebih ketara berbanding masyarakat lain.

“Semangat kekeluargaan itu amat kuat dan itulah sesuatu yang kami mahu kekalkan.”

Namun, disebabkan ikatan kuat itulah, pasangan muda lebih cenderung untuk mendapatkan rumah berdekatan dengan keluarga dan ini menjadi masalah terutamanya di Pasir Ris di mana projek Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tidak begitu banyak.

Beliau menambah isu perumahan sudah menjadi masalah bagi pasangan bangsa lain juga.

Lantaran itu, Cik Indranee menegaskan penting untuk berjumpa dengan masyarakat Melayu/Islam agar dapat mengetahui cabaran yang dilalui mereka.