Topik diikuti
Pergi ke BHkuWakil pekerja dan Kadi antara wajah baru dalam Majlis Keluarga Sepanjang Hayat 2026-2028
Wakil pekerja dan Kadi antara wajah baru dalam Majlis Keluarga Sepanjang Hayat 2026-2028
Anggota baharu Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL) sorot tekanan dalam imbangi tuntutan kerjaya, komitmen kewangan, dan jurang komunikasi merentas generasi.
Wakil pekerja dan Kadi antara wajah baru dalam Majlis Keluarga Sepanjang Hayat 2026-2028
Dua pemimpin dalam masyarakat Melayu/ Islam antara lima wajah baru yang menjadi anggota Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL).
Mereka ialah Ketua Pejabat Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah dan juga Kadi, Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim serta Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar, Cik Noor Irdawaty Jammarudin.
Bersama 13 anggota jawatankuasa majlis yang lain, kededua Ustaz Nuzhan dan Cik Noor Irdawaty telah mula penggal perkhidmatan dua tahun sejak 1 Januari 2026. Mereka menyertai barisan anggota yang terdiri daripada pakar dalam bidang akademia, kesihatan, agama, profesional, kumpulan bantuan diri dan pelbagai sektor lain yang akan berkhidmat sehingga 31 Disember 2028.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) Cik Irdawaty berkata isu kekeluargaan dekat di hatinya dan tekanan mengimbangi pelbagai tanggungjawab yang kian bertambah merupakan cabaran utama dalam kehidupan berkeluarga, bukan sahaja bagi masyarakat Melayu/Islam, bahkan juga masyarakat umum.
Ia merangkumi usaha serentak dalam mengimbangi tuntutan kerjaya, penjagaan ahli keluarga, komitmen kewangan, dan perkembangan anak-anak.
Sebagai ahli majlis yang baharu, beliau berharap dapat memanfaatkan pengalaman sebagai seorang ibu yang bekerja, pemimpin kesatuan sekerja dan seseorang yang sering berkecimpung dengan pekerja serta keluarga daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kebanyakan pasangan ingin meluangkan masa bermutu bersama anak-anak dan ibu bapa yang semakin dimamah usia, namun terhad oleh kekangan masa, kos sara hidup, dan bebanan emosi.
“Isu lain ialah jurang komunikasi merentas generasi. Ibu bapa hari ini berusaha membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang jauh berbeza, berhadapan cabaran media sosial, kebimbangan kesihatan mental, serta nilai-nilai yang sentiasa berubah.
“Kadangkala, cabarannya bukan terletak pada kurangnya keprihatinan, tetapi kerana mereka tidak tahu cara memulakan perbualan atau di mana untuk mendapatkan sokongan awal,” jelas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Utama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar.
Justeru, beliau turut mengetengahkan pelbagai inisiatif FFL yang mampu menyokong usaha pemerintah dalam mencetuskan perbincangan kekeluargaan agar lebih mudah dihayati oleh masyarakat.
Ia merangkumi penyediaan sumber bantuan kendiri serta program yang telah terbukti keberkesanannya dalam mempertingkat kemahiran serta ilmu keibubapaan.
FFL juga sedang meninjau kaedah untuk memperluas akses kepada bahan rujukan tersebut melalui pelbagai pendekatan, tambah Cik Irdawaty.
Majlis tersebut kini giat meneliti langkah untuk mempererat hubungan antara generasi, khususnya antara golongan belia dengan keluarga mereka, serta anak-anak dewasa bersama ibu bapa warga emas.
“Harapan saya adalah dapat mendorong para majikan supaya melaksanakan amalan di tempat kerja yang lebih menyokong keperluan keluarga.
“Sebagai sebuah majlis, matlamat kami adalah untuk membentuk keluarga yang lebih teguh serta kental dalam mengharungi setiap fasa kehidupan, di samping memupuk budaya masyarakat yang lebih prihatin terhadap institusi keluarga,” ujarnya.
