Topik diikuti
Pergi ke BHkuKukuh jalinan keluarga melalui kegiatan Pesta Keluarga Nasional 2026
Kukuh jalinan keluarga melalui kegiatan Pesta Keluarga Nasional 2026
Kukuh jalinan keluarga melalui kegiatan Pesta Keluarga Nasional 2026
Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2026, kembali dengan pelbagai acara di seluruh Singapura, dan akan berlangsung dari 30 Mei hingga 28 Jun.
Pesta edisi kelima ini mengangkat tema, ‘Keluarga Bermula Dengan Saya’, menumpukan perhatian kepada kepentingan tindakan harian yang tekal dalam usaha membentuk ikatan kekeluargaan yang utuh.
Ia turut menekankan peranan kritikal tempat kerja dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran mesra keluarga.
Dianjurkan oleh Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), pesta 2026 melibatkan lebih 1,700 sukarelawan dan mendapat sokongan daripada lebih 240 rakan kongsi masyarakat serta 165 rakan kongsi korporat.
NFF merupakan sebahagian daripada gerakan FFL yang dikendalikan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Buat julung-julung kalinya juga, inisiatif yang dipimpin oleh golongan belia turut menjadi tumpuan utama pesta kali ini.
Program itu disokong pelbagai pihak antara lain termasuk, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Majlis Sukan Singapura (SportSG), Persatuan Rakyat (PA), Majlis Belia Kebangsaan (NYC), serta Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri.
Selain itu, lebih 200 pekerja Perbankan Standard Chartered berkhidmat sebagai sukarelawan di Karnival Keluarga di Expo serta kegiatan NFF di kawasan masyarakat, sebagai sokongan kepada pembangunan tempat kerja lebih mesra keluarga.
Pesta NFF dijadual membuka tirainya menerusi Karnival Keluarga yang berlangsung di Singapore Expo pada 30 hingga 31 Mei.
Keluarga berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan amali menerusi lima zon bertema yang unik.
Ia termasuk zon ‘Detik Jalinan Mesra Saya’, yang menawarkan kegiatan interaktif sambil mendidik tentang amalan murni keselamatan siber, penggunaan peranti digital serta kepentingan interaksi keluarga secara fizikal.
Turut dipaparkan ialah naskhah rakaman, 100 Dinners (100 Makan Malam), oleh pelakon dan pembuat filem, Royston Tan, yang menonjolkan keakraban 100 keluarga melalui rutin harian yang ringkas namun bermakna seperti berkongsi hidangan malam.
Selain karnival di Expo, sambutan NFF diteruskan dengan pelbagai kegiatan menarik di seluruh negara sepanjang bulan tersebut bagi merangkumi segenap lapisan masyarakat, termasuk warga emas, golongan muda, individu berkeperluan khas serta keluarga daripada golongan berpendapatan rendah.
Daya usaha itu merangkumi kegiatan berasas sukan, seni kreatif, ciri digital serta pelbagai bengkel yang dirancang khas untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Sekilas acara masyarakat sempena NFF 2026 di pelbagai lokasi serata Singapura:
- Kallang Wave Mall: 16 -17 Mei
- Century Square: 21 - 23 Mei
- Bedok Mall: 6 - 7 Jun
- Lot One: 12 - 14 Jun
- White Sands: 19 - 21 Jun
- Kampung Admiralty: 20 - 21 Jun
- Sengkang Grand Mall: 27 - 28 Jun
- Northshore Plaza: 27 - 28 Jun
