Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: ‘Modal sosial’ masih cabaran utama, namun perlu dilihat secara objektif
Zaqy: ‘Modal sosial’ masih cabaran utama, namun perlu dilihat secara objektif
Zaqy: ‘Modal sosial’ masih cabaran utama, namun perlu dilihat secara objektif
Satu kajian terkini yang menunjukkan bagaimana halangan struktur dan sosial terus membatasi kemajuan masyarakat Melayu menjadi peringatan bahawa jurang dalam akses kepada “modal sosial” masih berterusan dan perlu diiktiraf sebagai satu “hakikat yang menyedihkan”.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga menggalas peranan sebagai pengerusi Mendaki, dalam catatan Facebook pada 13 Mei.
Catatan tersebut dibuat sebagai respons kepada kajian yang diterbitkan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), yang bertajuk Peningkatan Silang Generasi Dalam Masyarakat Melayu di Singapura yang mencadangkan bahawa walaupun sesetengah anggota masyarakat telah memperoleh kelayakan akademik yang lebih tinggi, “defisit modal sosial” masih wujud.
Modal sosial merujuk kepada kelebihan mengenali individu yang boleh membuka peluang, membimbing keputusan serta membantu seseorang mengharungi laluan pendidikan dan kerjaya.
Menjelaskan lebih lanjut, Encik Zaqy menambah kajian itu harus dilihat secara objektif tanpa bersikap defensif dan tanpa mengalihkan perhatian, kerana terdapat “kebenaran yang jujur” dalam dapatan tersebut.
Encik Zaqy menambah bahawa jurang dalam modal sosial masih menjadi cabaran utama, sambil menyifatkan perkara itu sebagai kelebihan mengenali individu yang boleh membuka peluang serta membimbing pilihan pendidikan dan kerjaya seseorang.
“Itu bukan kegagalan dari segi cita-cita atau aspirasi. Sebaliknya, itulah realiti yang dilalui mereka yang menjadi generasi pertama dalam keluarga untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kami tidak dibimbing tentang cara mencari mentor, mendapatkan akses kepada latihan amali atau memperoleh sokongan dan pengiktirafan bagi membuka peluang. Kami juga tidak mempunyai panduan yang lazimnya dimiliki keluarga yang lebih berada atau rangkaian mereka.
“Mereka yang berjaya selalu mencapainya secara kebetulan kerana mereka belajar dan mencari jalan sendiri sepanjang perjalanan itu. Kekurangan modal sosial ini bersifat struktur bagi ramai yang datang daripada latar belakang sedemikian, dan masyarakat kita pula sering lebih ramai terwakili dalam golongan tersebut,” kata Encik Zaqy.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kemajuan masyarakat Melayu hari ini berbanding generasi terdahulu, dengan lebih ramai mempunyai pencapaian pendidikan lebih tinggi, peluang kerjaya lebih luas serta keyakinan yang semakin meningkat.
Beliau menukil statistik nasional menunjukkan peratusan belia Melayu yang memiliki kelayakan posmenengah meningkat daripada sekitar 30 peratus pada tahun 2000 kepada sekitar 80 peratus pada 2020.
Jumlah lulusan universiti pula meningkat lima kali ganda manakala peratusan mereka yang bekerja dalam sektor profesional, pengurusan, eksekutif dan teknisyen (PMET) hampir berganda daripada 23 peratus kepada 40 peratus.
Dengan itu, beliau menekankan perlunya usaha daripada badan-badan seperti Mendaki, rakan-rakan kerjasama dalam M3+ serta sektor korporat bagi memperkukuh sistem bimbingan, pendedahan dan akses kepada rangkaian profesional supaya usaha seseorang dapat dipadankan dengan peluang yang sewajarnya.
“Modal sosial boleh dibina secara terancang. Sistem bimbingan boleh disusun. Pendedahan juga boleh direka dengan lebih bermakna.
“Apa yang diperlukan ialah komitmen daripada Mendaki, rakan-rakan kerjasama dalam M3+, sektor korporat, seluruh rakyat Singapura yang percaya bahawa usaha yang sama harus diterjemahkan kepada peluang yang sama rata, serta pemerintah yang komited terhadap kemajuan masyarakat Melayu/Islam dalam sistem meritokrasi kita,” ujar beliau.
