Halangan struktur dan sosial masih terus membataskan kemajuan masyarakat Melayu, menurut sebuah kajian, walaupun sesetengah keluarga menunjukkan kemajuan yang ketara dalam bidang pendidikan dan pekerjaan. 

Laporan bertajuk Intergenerational Mobility Within The Malay Community In Singapore (Mobiliti Antara Generasi Dalam Masyarakat Melayu Di Singapura) mendapati bahawa 79 peratus responden telah melepasi tahap pendidikan ibu bapa mereka.

Seramai 73.4 peratus responden turut melaporkan bahawa keadaan kewangan mereka lebih baik berbanding ibu bapa mereka pada usia yang sama.

Kira-kira 90 peratus daripada mereka yang ditinjau bekerja menyandang jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen, atau PMET, berbanding hanya 37.8 peratus dalam generasi datuk nenek mereka.

Namun kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) itu mencadangkan bahawa walaupun sesetengah anggota masyarakat telah memperoleh kelayakan akademik yang lebih tinggi, ‘defisit modal sosial’ masih wujud.

Modal sosial merujuk kepada sumber dan kelebihan yang diperoleh seseorang melalui hubungan sosial mereka, termasuk akses kepada maklumat, kepercayaan dan pengiktirafan.

Menurut kajian itu: “Mereka yang memiliki modal sosial yang lebih kukuh, seperti akses kepada mentor, ahli keluarga yang bertugas sebagai karyawan atau rangkaian rakan kerja, lebih berupaya untuk mengemudi laluan pendidikan dan kerjaya, manakala yang lain bergantung kepada kelayakan formal dan usaha peribadi.” 

Dapatan kajian yang dikeluarkan pada 12 Mei itu adalah berdasarkan tinjauan dan temu bual yang dijalankan antara Oktober 2024 dengan Januari 2025.

Seramai 267 individu telah ditinjau dalam kajian itu, mewakili tiga generasi, iaitu datuk nenek, ibu bapa dan responden itu sendiri.

Lebih separuh daripada mereka berusia bawah 40 tahun. 

Kajian itu turut merangkumi temu bual mendalam dengan 33 responden, dengan dua pertiga berusia bawah 40 tahun.

Para penyelidik mengakui bahawa kajian itu dijalankan kebanyakannya daripada kalangan peserta menerusi rangkaian dan acara Rima serta organisasi induknya, AMP Singapura. 

Justeru, dapatan kajian mungkin lebih mencerminkan perspektif orang Melayu yang berpendidikan lebih tinggi dalam rangkaian khusus itu, berbanding masyarakat yang lebih luas.

Di peringkat nasional, pemerintah telah menyatakan hasratnya untuk mengukuhkan konmpak sosial Singapura. 

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada September 2025 berjanji akan memastikan lebih ramai rakyat berpeluang maju dalam kehidupan.

Ini menyusuli pengisytiharan Presiden Tharman Shanmugaratnam bahawa mobiliti sosial adalah antara agenda terpenting pemerintah.

Para penyelidik mendapati ramai responden masih tertumpu dalam sektor berasaskan perkhidmatan yang stabil, seperti pendidikan (17.2 peratus), perkhidmatan kesihatan dan sosial (16.4 peratus), serta pentadbiran awam (12.9 peratus). 

Mereka masih kurang diwakili dalam industri berpendapatan tinggi dan pertumbuhan pesat seperti perkhidmatan kewangan dan insurans (4.7 peratus) serta maklumat dan komunikasi (8.6 peratus).